Meskipun terpaksa menahan cuaca panas dan beratur panjang sehingga berjam-jam lamanya, ia bukan hambatan bagi Cik Aidah Idris untuk mendapatkan pastri pencuci mulut yang menjadi kegilaan ramai baru-baru ini dan tular di media sosial, iaitu kunafa.
Di acara Absolut Food Fest yang berlangsung dari 16 hingga 18 Ogos di Kallang, Cik Aidah, 50 tahun, dan suaminya, yang tertarik dengan sajian itu selepas menonton video tular di media sosial, sanggup beratur dari 8.30 pagi hingga 12.45 tengah hari untuk membeli tujuh keping Kunafa Aiwahhh – jenama pastri kunafa milik pempengaruh Malaysia yang dikenali sebagai, Ojenn Aiwahhh, yang mengendalikan beberapa reruai di pesta tersebut.
“Kami minat dengan Ojenn dan follow dia di media sosial... sebab dia bukan hanya menjual, malah macam buat persembahan konsert,” katanya kepada Berita Minggu (BM).
“Jadi bila dapat tahu Ojenn datang (ke Singapura), kami pun turunlah,” tambah Cik Aidah, yang berniaga dari rumah.
Cik Aidah adalah antara sejumlah ‘peminat’ kunafa yang ditinjau BM, dengan ramai daripada mereka sanggup beratur panjang termasuk sehingga 10 jam demi kunafa.
Menurut pakar pemasaran dan usahawan, ‘demam’ kunafa yang menyelubungi Kota Singa sekarang ini – terutama dalam kalangan pembeli Melayu – adalah contoh klasik kuasa pemasaran menerusi media sosial.
Dalam pemasaran sedemikian, penyedia khidmat atau produk berjaya menjadikan khidmat atau produk yang mereka tawarkan menguasai media sosial, sekali gus menimbulkan ‘perasaan’ dalam kalangan pengguna bahawa mereka tidak boleh ketinggalan.
Para pakar memberitahu BM, trend ini akan kekal sehinggalah ada pihak yang berjaya menjadikan makanan lain tular di media sosial, atau pelanggan mula jemu atau letih, atau dalam bahasa Inggeris, fatigue.
Namun, selagi trend kunafa ini terus menular, ia juga akan melahirkan juadah-juadah sampingan berunsur kunafa seperti yang dilihat sekarang dalam coklat kunafa dan croissant kunafa.
Ahli akademik dan Ketua Program Pemasaran Sekolah Perniagaan, Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), Profesor Madya Lau Kong Cheen, berkata gaya pemasaran oleh peniaga kunafa kini mencerminkan nilai gotong-royong dalam masyarakat Melayu, iaitu peniaga dan pelanggan sambil membantu serta menyokong antara satu sama lain.
Para penjual pula memastikan mereka membuat pelanggan rasa dihargai, sekali gus terpanggil untuk terus menyokong mereka.
Para penjual juga bijak memanfaatkan fenomena orang beratur panjang untuk membeli produk mereka. Ini mendorong lebih ramai pelanggan menyertai trend tersebut.
“Psikologi beratur panjang ini mewujudkan tanggapan bahawa produk yang dijual itu bermutu baik dan sanggup dinanti-nantikan, dan ia juga menjadi satu pengalaman sosial yang dikongsi antara pelanggan serta teman dan anggota keluarga,” katanya sambil merujuk kepada produk tular lain seperti telefon bimbit iPhone serta patung Hello Kitty edisi terhad dari Mcdonald’s.
“Apabila pengalaman itu disebarkan, ramai orang tidak akan mahu berasa ketinggalan mendapatkan sesuatu produk yang baik atau dianggap baik itu.”
Namun, para pelanggan yang ditemui BM berkata mereka bukan setakat mengikut trend.
Mutu produk yang ditawarkan harus memenuhi selera dan cita rasa mereka supaya berbaloi setelah beratur panjang dan berbelanja besar.
“Memang kunafa ini sudah lama dijual di restoran Arab,” kata Cik Nur Aisyah Abdullah.
Beliau berkunjung ke Absolut Food Fest untuk membeli 120 Kunafa Aiwahhh yang ditempah oleh 35 orang yang memesannya setelah beliau memuat naik hantaran di media sosial bahawa beliau akan ke pesta makanan itu khususnya untuk membeli kunafa.
“Tapi versi kunafa yang tular ini lebih menarik sebab ada pelbagai perisa,” tambah guru tajaka berusia 23 tahun itu.
Trend itu dipercayai bermula di Malaysia dua tahun lalu dan kemudian tular ke Singapura selepas seorang peniaga popular di sini yang dikenali sebagai Mangobossku memperkenalkannya di bazar Raya Geylang Serai pada Ramadan lalu.
Tidak seperti sajian asli kunafa dari Timur Tengah – diperbuat daripada tepung jenis kataifi serta kandungan keju dan disajikan dengan air gula atau krim – versi kunafa yang tular ini disajikan dengan sos ‘banjir’ pelbagai perisa seperti coklat premium, red velvet dan kacang pistasio.
Mangobossku, yang kini sudah bergelar pempengaruh hasil kejayaan produk dan kandungan media sosialnya pada Ramadan lalu, contohnya menggunakan pelbagai strategi pemasaran termasuk menggunakan ‘watak samseng’ untuk menarik perhatian di media sosial.
Memberi pandangannya, Encik Ridjal Noor, pemilik syarikat PullUpStand.com Pte Ltd, yang juga menguruskan sebuah perniagaan makanan dan minuman (F&B), berkata kaedah pemasaran tersebut “sangat bijak” dan jadi semacam “hiburan” bagi pelanggan.
“Masyarakat kita memang mudah terpikat dengan gaya pemasaran ini, mungkin disebabkan filem popular seperti KL Gangster.
“Tapi apa yang lebih menarik perhatian ialah para peniaga yang kini pempengaruh terbuka berkongsi kisah peribadi mereka, kisah jatuh bangun mereka sebagai individu yang mahu mengembangkan perniagaan dan memperbaiki produk mereka.
“Kisah-kisah seperti ini dihargai pengguna media sosial. Selain itu para peniaga ini juga sering meluahkan penghargaan mereka kepada pelanggan dan ini membina keyakinan serta hubungan antara peniaga dengan pelanggan.”
Peniaga lain turut ‘menikmati’ kesan trend kunafa seperti Encik Hairul Aswan, pengarah dan pemilik kedai menjual bahan membuat roti, Papa Bakerz.
Menurutnya, kedai beliau kini berdepan masalah bekalan bagi tepung kataifi kerana ramai mahu cuba membuat kunafa sendiri gara-gara trend yang tular itu.
“Kami mula membawa masuk tepung kunafa sejak lewat Mei, kemudian setiap kali kami isi stok, dalam lebih kurang seminggu separuh tan boleh laris,” katanya.
Para pakar industri dan usahawan memberitahu BM bahawa peniaga yang bijak menggunakan media sosial sebagai wadah pemasaran harus pantas mencipta produk baru yang berupaya tular.
Ini kerana mereka juga sedar bahawa setiap trend di media sosial mempunyai jangka hayatnya.
Pengarah dan pemilik bersama syarikat penganjur acara MakBesar Pte Ltd, Cik Haryani Othman, berpendapat sedang aspek pemasaran itu penting, peniaga juga harus mengambil berat soal mutu.
“Zaman sekarang, rahsia di balik sesebuah kejayaan itu adalah pemasaran dan kuasa pempengaruh,” katanya sambil merujuk kepada berita kekurangan timun di Iceland ekoran fenomena salad yang tular di TikTok setelah seorang pempengaruh, Cucumber Guy, memuat naik resipi menarik menggunakan timun.
“Namun apa yang penting adalah mutu produk perlu setaraf dengan pemasaran. Bagi trend kunafa ini, ia telah bertahan agak lama kerana pelanggan dapat lihat mutunya dikekalkan, malah diperbaiki dengan lain-lain peniaga melakukan eksperimentasi untuk menambah perisa dan mempelbagaikan jenis produk kunafa mereka.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg