Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perjalanan ibadah haji diselubungi rasa bersalah, ragu

Nov 24, 2024 | 5:30 AM

Pasukan keselamatan Arab Saudi menjalankan rondaan semasa ibadah haji tahunan di Mina, berhampiran kota suci Islam, Makkah pada musim haji 2024.
Pasukan keselamatan Arab Saudi menjalankan rondaan semasa ibadah haji tahunan di Mina, berhampiran kota suci Islam, Makkah pada musim haji 2024. - Foto AFP

Walaupun sudah lebih lima bulan berlalu sejak musim haji 2024, perasaan bersalah yang mendalam masih terus menghantui jemaah.

Meskipun perjalanan ibadah haji menggunakan visa perniagaan mereka berjalan lancar tanpa sebarang gangguan besar, namun saban hari diselubungi bimbang andai ditahan polis Arab Saudi.

Jemaah yang menunaikan haji tanpa permit yang sah sukar menepis rasa bersalah kerana memilih jalan yang bertentangan dengan undang-undang.

Dalam temu bual bersama Berita Minggu (BM), seorang anggota jemaah lelaki berusia 70 tahun yang memilih untuk menggunakan visa perniagaan tanpa visa haji rasmi mengakui perasaan bersalah yang tidak dapat dihindari.

“Kami tahu apa yang kami lakukan ini tidak betul. Saya mahu pergi juga kerana tidak mahu menunggu lebih lama, memandangkan usia saya yang semakin lanjut,” katanya dengan nada penuh penyesalan.

Beliau membayar sekitar $27,000 untuk pakej selama 30 hari yang merangkumi perjalanan ke Makkah dan Madinah, bersama 80 anggota jemaah dari Singapura yang berangkat ke Riyadh pada 27 Mei, dua minggu sebelum wuquf di Arafah.

“Kami diberikan gelang haji tapi gelang ini adalah untuk jemaah tempatan, warga Saudi bukan untuk jemaah Singapura. Visa kami rupa-rupanya adalah visa khas untuk rakyat Saudi. Jadi, setiap masa kami sentiasa berhati-hati, bimbang jika diperiksa. Ada rasa takut dan rasa bersalah kerana kami tahu ini bukan cara yang sah,” tambah beliau dengan nada perlahan.

Mereka juga pernah ditahan oleh polis ketika menaiki bas untuk ke Makkah.

“Polis memeriksa pasport, melihat gambar dan bertanya kepada pemandu bas kami ke mana kami hendak pergi. Pemandu berkata kami hendak ke Thaif, padahal kami sebenarnya dalam perjalanan ke Makkah,” jelasnya.

Semasa di Makkah, mereka menginap di Hotel Pullman Makkah yang bertaraf lima bintang.

“Di hotel, kami hanya solat di musala hotel kerana kami bimbang ditangkap atau disoal oleh pihak berkuasa Saudi. Namun, ada juga jemaah yang menyelusup keluar bersolat di Masjidil Haram,” katanya.

Semasa musim haji semakin hampir, mereka menginap di hotel di Aziziyah, yang terletak sekitar tujuh kilometer dari Makkah, berbeza dengan jemaah Singapura yang menginap di Shisha.

“Kami diberikan hotel di Aziziyah untuk mengelakkan dikesan oleh pihak berkuasa,” jelasnya.

Cik Siti (nama samaran), seorang lagi anggota jemaah yang turut berkongsi pengalamannya menaiki kereta api yang hanya disediakan untuk warga tempatan Saudi ketika dalam perjalanan menuju ke Mudzalifah.

“Kereta api itu memang hanya untuk orang Arab. Kami terasa asing, tetapi kami teruskan juga. Rasa tidak selesa memang ada, tapi sudah sampai di sini, jadi kami teruskan perjalanan dengan tekad,” jelas Cik Siti yang turut memberitahu mereka diberi kemudahan khemah VIP semasa wuquf di Arafah.

Walaupun mereka dapat menunaikan ibadah haji dengan agak lancar dan memenuhi rukun dan syarat haji, Cik Siti mengungkapkan:

“Kami tahu kami tidak ikut undang-undang. Ambil jalan pintas berbanding dengan jemaah lain yang menunggu giliran lama. Kami bimbang juga jika ada masalah, langgar prosedur rasmi yang ditetapkan tetapi alhamdulillah kami selamat juga tunaikan haji.

“Tapi saya sendiri masih berasa menanggung beban perasaan bersalah ini. Kami mengharapkan haji kami diterima di sisi Allah walaupun kami melanggar undang-undang dunia.

“Jika saya diberi peluang sekali lagi untuk tunaikan haji, saya tidak akan memilih visa tanpa permit yang sah. Sukar untuk saya jelaskan tetapi jauh di sudut hati saya, saya tidak akan ulangi kesilapan ini.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg