Menabung wang berpuluh tahun, malah ada yang bergadai harta dengan niat mahu menunaikan fardu haji.
Namun selepas saat yang dinanti tiba dan kaki sudah pun menjejak bumi Makkah, malang pula menimpa apabila tidak diketahui impian mengerjakan kewajipan itu tertunai atau tidak.
Itulah nasib kira-kira 300 jemaah haji Malaysia yang terkandas di Makkah selepas agensi umrah yang menguruskan perjalanan mereka gagal menunaikan janji mendapatkan kebenaran mengerjakan haji pada musim ini.
Bakal haji terbabit ke Makkah menggunakan visa pelancong. Mereka terpedaya dengan pakej murah yang ditawarkan agensi umrah terbabit.
Janji manis agensi itu untuk mendapatkan visa daripada kerajaan Arab Saudi untuk menunaikan haji hanya tinggal janji.
Sedih dan kasihan, namun saban tahun, pasti ada saja berita mengenai jemaah haji terkandas dan menjadi mangsa penipuan agensi umrah.
Contohnya, pada 2019, seramai 26 jemaah rakyat Malaysia terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Jeddah kerana memiliki visa haji furada (persendirian) yang tidak sah, menyebabkan mereka terpaksa diterbangkan pulang ke Malaysia.
Visa furada adalah visa haji yang diperoleh dengan berurusan secara langsung dengan Kedutaan Saudi dan tidak membabitkan Lembaga Tabung Haji (TH) atau kuota haji sesebuah negara.
Namun mangsa pihak tidak bertanggungjawab dalam urusan haji ini yang digelar ramai sebagai ‘pembedal haji’ bernasib baik kerana mereka pantas bertindak melaporkan kepada pihak berkuasa.
Syarikat pengurusan umrah yang terbabit diarah memulangkan RM634,400 ($182,032) iaitu baki pemulangan bayaran pakej haji menggunakan visa furada kepada jemaah terlibat.
Pada 2022 pula, kira-kira 380 bakal jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), juga selepas tertipu dengan tawaran agensi pelancongan untuk menunaikan haji menggunakan visa furada.
Dengan laporan di media setiap tahun mengenai jemaah haji terkandas, seharusnya bakal jemaah haji lebih prihatin untuk memastikan mereka memilih jalan yang betul untuk menunaikan ibadah itu.
Menurut jurucakap TH yang dihubungi Berita Minggu (BM), berkata kurang pengetahuan dan keghairahan bakal jemaah menunaikan haji menyebabkan ada dalam kalangan mereka mudah terpedaya dengan tawaran agensi pelancongan yang kononnya dapat merealisasikan impian jemaah.
Ini kerana tempoh menunggu penggiliran haji yang agak panjang menyebabkan ramai mahu mencuba alternatif lain untuk menunaikan haji, tanpa mengetahui mereka sebenarnya terjerat dengan tawaran agensi umrah yang tidak bertanggungjawab.
Menurutnya, kerajaan Saudi meluluskan kuota untuk 31,600 jemaah haji Malaysia bagi 2024, dan TH yang ditubuhkan kerajaan, berperanan menguruskan perjalanan jemaah haji dari Malaysia ke Makkah setiap tahun.
Justeru katanya, kuota jemaah haji seramai 31,600 yang diluluskan kerajaan Saudi akan dipenuhi TH yang menawarkan tiga kategori haji yang boleh dipilih jemaah.
“Yang pertama ialah kategori muasasah, selain pakej iaitu kendalian syarikat swasta yang berdaftar dengan TH atau apa yang dipanggil Pengelola Jemaah Haji (PJH) iaitu agensi yang berkongsi kuota dan dilantik TH untuk menguruskan dan membawa jemaah haji ke Makkah.
“Apa yang menjadi masalah ialah lazimnya bakal jemaah yang memilih untuk tunai haji dengan agensi umrah ini tidak membuat semakan dengan TH sama ada agensi berkenaan berdaftar dengan TH atau tidak.
“Ini kerana jika tidak berdaftar dengan TH, maka sukar dan mustahil untuk mereka memperoleh visa daripada kerajaan Arab Saudi sebagaimana didakwa agensi umrah ini,” katanya kepada BM.
Menurutnya, ada 25 syarikat yang berdaftar di bawah TH yang menawarkan PJH. Jika anggota jemaah memilih daripada syarikat itu, tidak akan timbul sebarang masalah seperti terkandas di Makkah.
“Ada mangsa yang beritahu bahawa mereka ditawarkan untuk tunai haji oleh syarikat agensi umrah atau pelancongan ini, tetapi tidak menerima surat tawaran haji dari TH.
“Perlu diingat, jika bakal jemaah tidak mendapat surat tawaran daripada TH untuk menunaikan haji, maka itu isyarat mereka mungkin sudah terjerat dengan agensi umrah yang tidak bertanggungjawab,” terangnya.
Apa pun, dalam mengejar pahala untuk beribadah terutama menunaikan kewajipan haji, adalah menjadi tanggungjawab setiap umat Islam untuk memastikan jalan yang diambil tidak ada unsur syubhah (kesamaran) dan meragukan, yang boleh menjejas kesucian ibadat itu, malah lebih menyedihkan lagi menyebabkan Islam itu dipandang sinis.
Peringatan oleh Ketua Rombongan Haji TH, Datuk Seri Syed Salleh Syed Abdul Rahman, supaya rakyat Malaysia tidak menyalahgunakan visa pelancong untuk melaksanakan haji perlu diambil berat kerana ia akan mencalarkan imej Malaysia sebagai negara yang menjaga peraturan dan undang-undang.
Lebih malang, Malaysia berdepan risiko hilang keistimewaan yang diberi kerajaan Saudi jika rakyat Malaysia secara berterusan melanggar undang-undang dan peraturan yang ditetapkan negara itu termasuk menggunakan visa pelancong untuk mengerjakan haji.
Jadi sama-sama ambil iktibar dan jadikan peringatan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg