Meskipun kesemua 13 stesen LRT Bukit Panjang tutup sehari pada Ahad, penumpang nampaknya tidak begitu terjejas memandangkan terdapat pengangkutan awam alternatif seperti bas ulang-alik yang berjalan dengan lancar.
Penutupan itu dilakukan untuk Pusat Kawalan Operasi (OCC) LRT itu berpindah ke pusat sementara, bagi pusat sedia ada menjalani kerja naik taraf yang akan berjalan selama tiga tahun.
OCC itu, yang telah beroperasi sejak 1999, berperanan mengawal dan memantau isyarat, bekalan kuasa dan sistem komunikasi, serta kemudahan stesen laluan.
Pada Ahad, perkhidmatan bas ulang-alik percuma disediakan bagi pengguna bagi salah satu laluan LRT – Perkhidmatan LRT B.
Selain itu, pengguna boleh menggunakan perkhidmatan bas sedia ada.
Perkhidmatan bas ulang-alik, yang bermula berhampiran stesen Pusat Tukaran Bas Choa Chu Kang, beroperasi dengan lancar sekitar 9.30 pagi, dengan masa menunggu kira-kira lapan minit antara setiap bas, lapor The Straits Times.
Setiap kali, sekitar 15 orang menaiki bas tersebut.
Encik Tan Kim Kiat, 37 tahun, yang sedang menuju ke Bukit Panjang, berkata pengangkutan alternatif itu tidak menyusahkan memandangkan tempoh menunggu bas tidak lama.
“Saya fikir ada ramai orang tetapi ia lebih baik daripada apa yang saya fikirkan kerana banyak bas disediakan,” kata Encik Tan kepada akhbar itu.
Di dalam bas pula, terdapat seorang marsyal yang mengumumkan perhentian bagi penumpang yang mungkin tidak pasti. Keadaan juga kelihatan lancar di tempat permulaan khidmat bas ulang-alik berhampiran simpang Bukit Panjang.
Seorang pelajar menengah tiga, Nur Fasihah Rahman, sedang menuju ke kelas tuisyennya apabila dia sedar dia tidak boleh menaiki LRT.
“Saya belajar lewat malam, jadi saya penat pagi ini dan terlupa stesen LRT ditutup,” kata pelajar berusia 15 tahun itu.
Namun, seorang kakitangan yang bertugas di situ membimbingnya ke tempat menaiki bas.
“Guru tuisyen saya memahami, jadi saya memberitahunya saya akan lewat 5-10 minit hari ini kerana saya perlu mengambil laluan berbeza,” tambahnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg