Meskipun memikul tanggungjawab lebih berat sebagai penyelia, Encik Monteiro Mohamad Azhar Abdul Aziz, 32 tahun, sedar akan cabaran dan keprihatinan bekerja kolar biru.
Ini kerana beliau mula memasuki alam pekerjaan dulu sebagai buruh kasar.
Justeru, apabila diajak melibatkan diri dalam kesatuan sekerja pada 2015, Encik Monteiro melihatnya sebagai peluang menyuarakan apa yang beliau rasakan adalah perlu bagi melindungi dan memperjuangkan hak pekerja, terutama mereka yang bergaji rendah.
Beliau, yang kini bertugas sebagai penyelia bangunan di syarikat logistik, CWT Pte Ltd, terus aktif dalam kesatuan dan sekarang menjadi pengerusi cawangan CWT di bawah Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC).
Bagi pelibatannya yang aktif dalam NTUC, Encik Monteiro dipilih menganggotai Perikatan untuk Bertindak (AfA) bagi Pekerja Bergaji Rendah (LWW), yang membantu menyokong kenaikan gaji dan peningkatan pekerja bergaji rendah.
“Dengan kos kehidupan semakin meningkat disebabkan inflasi, penting untuk kita melibatkan diri dalam perbincangan dan rundingan proaktif bagi memastikan gaji pekerja dapat dinaikkan secara adil dan bonus pekerja turut ditetapkan dengan saksama.
“Sebagai anggota aktif perikatan ini, saya dapat mengendalikan projek yang bertujuan mempertingkat kesejahteraan pekerja,” kata Encik Monteiro.
Komitmennya dalam memperjuangkan hak pekerja diiktiraf pada Majlis Anugerah Hari Pekerja NTUC 2023 apabila beliau diberi anugerah Pekerja Contoh.
Majlis itu, yang diadakan di Pusat Pameran dan Persidangan Suntec Singapore, mengiktiraf 172 penerima anugerah yang terdiri daripada pemimpin kesatuan, pekerja, rakan kerja pengurusan dan wakil pemerintah.
Encik Monteiro memulakan kerjayanya di Keppel Shipyard sebagai fitter, atau pekerja pemasangan, peralatan kapal sebelum beliau beralih ke industri lain dan menyertai CWT sebagai penolong penyelia bangunan pada 2018.
Beliau menjalani kursus diploma sambilan pada 2021 dalam bidang pengurusan prasarana dan kemampanan, sambil mengimbangi tuntutan pekerjaan, pelibatan dalam kesatuan dan juga pembelajaran.
Semangatnya untuk mempertingkat kemahiran diiktiraf apabila beliau diberi tanggungjawab lebih berat dalam syarikat tersebut dan dinaikkan pangkat untuk memainkan peranan penyelia bangunan pada 2021.
Encik Monteiro kini menguruskan salah satu gudang terbesar di Singapura dan juga memainkan peranan sebagai pengurus keselamatan kebakaran di tempat kerjanya.
Semua tanggungjawab itu dipikul di samping memainkan peranan sebagai anggota kesatuan dalam usaha memperbaiki keadaan di tempat kerja serta menaikkan gaji dan bonus pekerja.
“Sebagai bekas pekerja kolar biru, seorang pekerja, dan juga anggota kesatuan, saya percaya mengutamakan kesejahteraan pekerja merupakan langkah penting dalam usaha mempertingkat kesejahteraan tempat kerja secara menyeluruh, memandangkan kita meluangkan masa yang banyak dalam kehidupan profesional kita.
“Ini merangkumi memberikan gaji yang adil dan lebih baik kepada semua pekerja yang menyumbang secara konsisten terhadap kejayaan syarikat, sambil memastikan syarikat mampu mengekalkan tenaga kerjanya yang bernilai tinggi.
“Penting juga untuk mengiktiraf usaha pekerja dan mewujudkan kemesraan selain sikap saling membantu antara satu sama lain di tempat kerja,” ujar beliau.
“
“Dengan kos kehidupan semakin meningkat disebabkan inflasi, penting untuk kita melibatkan diri dalam perbincangan dan rundingan proaktif bagi memastikan gaji pekerja dapat dinaikkan secara adil dan bonus pekerja turut ditetapkan dengan saksama. Sebagai anggota aktif perikatan ini, saya dapat mengendalikan projek yang bertujuan mempertingkat kesejahteraan pekerja.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg