Kanak-kanak hari inilah yang akan memakai kebaya pada masa akan datang, justeru adalah penting untuk mereka tahu tentang pakaian tradisional popular wanita Asia Tenggara itu sejak dari usia muda lagi, kata pengasas Kebaya by Ratianah, Cik Ratianah Tahir.
Cara meningkatkan kesedaran tentang pakaian itu pula tidak terhad kepada pemakaian atau penghargaan reka bentuknya, tetapi juga boleh dilakukan secara digital, melalui permainan yang boleh menarik minat dan perhatian si kecil untuk mahu tahu lebih lanjut tentang kebaya.
“Kebaya adalah lambang wanita zaman dahulu, hari ini dan akan datang. Ia adalah pakaian tradisi yang telah wujud di rantau ini sejak beratus tahun dahulu dan hingga hari ini ia masih tetap dengan reka bentuknya, ia masih mempunyai fungsi dan ia masih dipakai hingga ke hari ini.
“Kita mahu berkongsi pakaian ini kepada dunia. Dan kami berharap, anak-anak muda kita, apabila mereka kelak melanjutkan pengajian atau bekerja di luar negara, mereka tetap bangga memakai kebaya. Mereka boleh menjadi duta kebaya,” kata Cik Ratianah.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Berita Minggu (BM) pada 7 Disember di pelancaran siri anak patung memakai kebaya yang dinamakan Orkids by Ratianah.
Acara yang diadakan di butik di 23 Bussorah Street itu meriah dengan kehadiran hadirin pelbagai kaum yang kebanyakannya mengenakan kebaya.
Inisiatif Orkids by Ratianah adalah sebahagian usaha menyokong pencalonan kebaya sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara (ICH) Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).
Pada 4 Disember, Unesco mengumumkan bahawa kebaya diiktiraf sebagai warisan budaya dunia.
Permohonan bagi kebaya disenaraikan dalam ICH Unesco dibuat secara bersama oleh lima negara Asia Tenggara yang mempunyai pemakai kebaya – Singapura, Malaysia, Indonesia, Brunei dan Thailand.
Orkids by Ratianah terdiri daripada tiga anak patung bernama Orchid, Jasmine dan Rose yang masing-masing memperagakan tiga jenis kebaya Nusantara iaitu kebaya sulam, kebaya panjang dan kuta baru.
Kebaya yang digayakan anak patung itu mencerminkan kepelbagaian fesyen kebaya di rantau ini dan telah direka dan dibuat sendiri oleh Cik Ratianah.
Setiap anak patung mempunyai kod QR yang memberi akses ke Orkids’ Town – wadah digital bagi pembelajaran, permainan dan penerokaan budaya yang dibangunkan bersama Mini Monsters.
Pengurus Pembangunan Perniagaan Mini Monsters, Cik Lydia Cheriyan, berkata walaupun permainan dalam Orkids’ Town ditujukan buat kanak-kanak berumur tiga tahun dan ke atas, ia juga boleh dimainkan oleh pelancong dan orang dewasa yang mahu memahami lebih lanjut tentang kebaya.
“Dengan bermain permainan ini, mereka dapat belajar tentang kebaya dalam cara yang menyeronokkan. Dengan kebaya kini disenaraikan dalam ICH Unesco, kini menjadi lebih penting untuk ia dipelajari oleh kanak-kanak semuda mungkin, dalam cara yang menyeronokkan dan dapat menarik perhatian mereka,” katanya sambil menambah wadah digital itu akan diperkenalkan ke sekolah-sekolah pada 2025 menerusi program pengayaan yang Mini Monsters tawarkan.
Setiap satu anak patung dalam siri Orkids by Ratianah dijual pada harga $58 dan boleh didapatkan di butik Kebaya by Ratianah.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg