Rakyat Singapura dan warga serantau harus berbangga dan meraikan pencapaian besar bahawa kebaya, sebuah warisan bersama yang dikongsi pelbagai negara, telah termaktub dalam Senarai Warisan Budaya Tidak Ketara (ICH) Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

Namun, masih banyak lagi yang perlu dilakukan untuk meningkatkan kesedaran tentang pakaian tradisional popular wanita Asia Tenggara itu, bukan sahaja sebagai peninggalan masa lalu untuk dipamerkan di muzium, bahkan untuk memastikan ia terus dipakai sebagai sebahagian daripada tradisi, kata pengamal warisan kebaya tempatan.