Perkhidmatan awam beri penghormatan kepada Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, atas kepimpinan beliau terajui sektor awam dengan jelas, berani dan yakin semasa Majlis Kepimpinan Perkhidmatan Awam tahunan pada 17 September.
Ketua perkhidmatan awam, Encik Leo Yip, dalam ucapannya di majlis itu berkata kepimpinan Encik Lee “benar-benar menunjukkan apa itu Perkhidmatan Awam dan memberi contoh yang baik kepada kita semua”.
Encik Yip menambah bahawa Encik Lee menunjukkan kewibawaan dan telah berikan keyakinan kepada perkhidmatan awam untuk terus melakukan tugas mereka dengan baik, walaupun dalam masa sukar.
“Mesej anda kepada kami kekal jelas - untuk menegakkan standard kewibawaan tertinggi kerana ia penting dalam membina kepercayaan dengan rakyat,” kata Encik Yip.
“Dalam masa krisis, anda memberi keyakinan kepada kami untuk terus mengharungi ribut apabila laut bergelora dan langit gelap.
“Anda menerajui jalan dalam meyakinkan rakyat Singapura tentang pilihan sukar yang perlu kami buat, dan dalam malam yang paling gelap, meyakinkan semua orang bahawa kita mempunyai jalan yang jelas di hadapan untuk menangani cabaran dan bangkit lebih kukuh,” tambah beliau.
Encik Yip mengucapkan terima kasih kepada Encik Lee kerana memberi sokongan kuat kepada perkhidmatan awam dan tugas mereka.
“Anda menerajui jalan dalam meyakinkan rakyat Singapura untuk menerima pilihan sukar dan dasar-dasar yang perlu dibuat pemerintah, mewujudkan ruang politik bagi tugas dasar dan pelaksanaan yang baik,” kata beliau.
“Perkhidmatan tanpa mementingkan diri seumur hidup anda dan dorongan tanpa henti anda untuk menjadikan dan mengekalkan Singapura yang luar biasa, telah memberi inspirasi kepada kita semua,” tambah Encik Yip.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg