Perkhidmatan e-mel beberapa agensi pemerintah, bank-bank utama dan mahkamah terjejas pada 13 November, menyusuli gangguan sejagat pada sistem Microsoft yang menjejas ribuan pengguna di serata dunia.

Jurucakap Agensi Teknologi Pemerintah (GovTech) dalam respons kepada Berita Harian (BH) pada 13 November berkata pihaknya sedang bekerjasama dengan Microsoft untuk memulihkan sistem pemerintah yang terjejas secepat mungkin.

Agensi itu menyatakan meskipun penjawat awam masih boleh menggunakan wadah Microsoft Teams bagi urusan dalaman, gangguan perkhidmatan e-mel mungkin menyebabkan kelewatan dalam membalas pertanyaan yang diajukan oleh orang ramai.

Perkhidmatan kecemasan kekal beroperasi sepenuhnya dan boleh dihubungi melalui talian 995 dan 999 seperti biasa, manakala sistem Singpass tidak terjejas, tambahnya.

Ia menasihatkan orang ramai supaya menghubungi pusat panggilan agensi atau kementerian berkaitan bagi urusan yang memerlukan respons segera, selain menyemak laman web atau saluran media sosial rasmi untuk mendapatkan maklumat terkini.

Jurucakap itu menambah bahawa maklumat lanjut akan diberikan sebaik sahaja ia tersedia.

Sistem Microsoft mengalami gangguan sejak 13 November disebabkan masalah pada pelayan komputer yang tidak dapat diakses secara tiba-tiba, sekali gus memberi tekanan tambahan terhadap prasarana pelayan, kata Microsoft dalam satu kenyataan.

Syarikat itu menambah bahawa peningkatan beban tersebut bukan disebabkan oleh lonjakan trafik pengguna. Sebaliknya, ia berpunca daripada sebahagian besar pelayan yang gagal berfungsi, lalu permintaan itu beralih kepada pelayan lain yang masih berfungsi.

Sistem Microsoft yang terjejas termasuk aplikasi emel Outlook – salah satu daripada aplikasi dalam wadah Microsoft 365 yang digunakan antara lain oleh syarikat perniagaan bagi komunikasi dan menjana produktiviti.

Sehubungan itu, Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) dalam satu hantaran Facebook pada 13 November menyatakan respons ICA bagi sesetengah perkhidmatan yang dikemukakan melalui FormSG mungkin mengalami kelewatan.

Namun, perkhidmatan kad ketibaan digital atau SG Arrival Card bagi mereka yang memasuki Singapura tidak terjejas apabila BH memeriksa portal tersebut.

Hantaran Facebook di laman Penguasa Tanah Singapura (SLA) pada 13 November menyatakan beberapa perkhidmatan dalam talian mungkin terjejas akibat gangguan sistem Microsoft, sambil menambah bahawa gangguan pada sistem emel mungkin menyebabkan kelewatan dalam respons.

Lantaran itu, orang ramai digesa untuk menghubungi SLA melalui saluran lain seperti talian hotline yang disenaraikan di laman web korporatnya, ujar badan itu.

Kementerian Pembangunan Negara (MND) dalam hantaran Facebook pada 13 November turut memaklumkan ia sedang mengalami gangguan pada perkhidmatan e-mel akibat gangguan sistem sejagat.

Menurut Penguasa Hasil Mahsul Singapura (Iras) dalam hantaran Facebook, pengguna yang mendapati sebarang kesukaran menghantar e-mel boleh menggunakan kemudahan chat langsung atau hantar mesej melalui myTax Mail di portal myTax.

Mahkamah Singapura menerusi hantaran Facebook juga menyatakan gangguan tersebut mungkin menjejas penerimaan permohonan mahkamah dan respons terhadap pertanyaan yang dihantar melalui e-mel.

Sistem pemfailan mahkamah dalam talian dan sistem pemberitahuan emel automatik kekal berfungsi, dengan orang ramai dinasihatkan menghubungi talian 6587-8423 bagi sebarang permintaan segera.

Sehubungan itu, bank tempatan dan asing turut melaporkan gangguan pada perkhidmatan emel, namun operasi perbankan teras tidak terjejas.

Menukil notis yang tertera di laman web rasmi, UOB melaporkan masalah pada sambungan e-mel dek gangguan pada Microsoft 365, manakala DBS Bank menyatakan adanya kelewatan dalam membalas e-mel akibat gangguan tersebut.

Maybank Singapore dalam hantaran Facebook pula menyatakan penghantaran emel mungkin mengalami kelewatan.

Oleh itu, para pelanggan yang menggunakan saluran digital, mesin juruwang automatik (ATM) dan terminal layan diri dinasihatkan untuk mengambil maklum berkenaan perkara tersebut, namun semua perkhidmatan perbankan digital dan fizikal kekal selamat dan beroperasi seperti biasa.