Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perkukuh perancangan legasi demi keluarga, pahala berterusan

Dapatkan pengetahuan perancangan pusaka di Perkampungan Perancangan Legasi Islam anjuran Muis
Sep 26, 2025 | 5:30 AM
Perkampungan Perancangan Legasi Islam (ILPV) 2025, Muis,Surat Kuasa Berkekalan (LPA), Perancangan Jagaan Lanjut (ACP).
Perkampungan Perancangan Legasi Islam (ILPV) 2025 menghimpunkan di bawah satu bumbung pelbagai usaha perancangan legasi, atau harta pusaka – daripada penamaan, atau nominasi, CPF kepada insurans, penulisan wasiat kepada menulis Surat Kuasa Berkekalan (LPA) dan Perancangan Jagaan Lanjut (ACP). - Foto MAJLIS UGAMA ISLAM SINGAPURA (MUIS)

Dalam Islam, pembahagian harta pusaka bukan sekadar urusan undang-undang selepas kematian, tetapi mempunyai makna yang jauh lebih mendalam.

Ia adalah salah satu bentuk khidmat penting kepada keluarga serta peluang untuk memperoleh pahala yang berterusan, ujar Anggota Majlis Tertinggi Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) merangkap anggota Kumpulan Kerja Perancangan Legasi Islam (ILPW), Ustaz Tarmizi Wahid.

Ustaz Tarmizi turut mengingatkan firman Allah: “Dan apa sahaja yang kamu nafkahkan, maka Allah akan menggantikannya. Dan Dia adalah sebaik-baik pemberi rezeki.” (Surah Saba’, 34:39)

Harta pusaka boleh jadi sumber pahala berpanjangan

Ustaz Tarmizi berkata: “Fikirkan apa yang boleh anda tinggalkan untuk meraih manfaat berkekalan.

“Contohnya, dalam konteks Singapura, anda boleh menyalurkannya kepada wakaf yang menyokong madrasah dan pembangunan asatizah baru. Anda juga boleh memastikan masjid sentiasa mempunyai dana mencukupi untuk beroperasi.

“Dalam Islam, setiap legasi kita adalah ibadah. Wasiat bukan sekadar kertas, tetapi ia doa dan janji kita terhadap pemberian Allah swt.”

Di sinilah pentingnya konsep wakaf sebagai cara terbaik menghasilkan sedekah berterusan. Rasulullah saw bersabda: “Apabila seseorang meninggal dunia, terputuslah segala amalnya kecuali tiga: sedekah jariah, ilmu bermanfaat, dan anak soleh yang mendoakannya.” (HR Muslim).

Rancang legasi anda di bawah satu bumbung

Justeru, perancangan harta pusaka, atau legasi, perlu dilakukan dengan bijak untuk mendapat pahala berpanjangan. Walaupun sering dianggap membingungkan, ia tidak serumit yang disangka.

“Kebanyakan anggota masyarakat kita masih menganggap langkah-langkah perancangan harta pusaka sebagai satu proses mahal dan rumit. Sebenarnya, dengan pengetahuan tepat, ia boleh menjadi lebih mudah dan berpatutan,” ujar Encik Imran Rahim, rakan kongsi firma guaman Eldan Law LLP yang juga anggota ILPW.

Tingkatkan kesedaran anda mengenai pelbagai alat perancangan pusaka di Perkampungan Perancangan Legasi Islam (ILPV), yang dianjurkan buat kali kedua oleh Muis pada 27 September.

Buat julung kalinya, acara tersebut akan menggabungkan pelbagai usaha dan peluang bagi individu melengkapkan perancangan pusaka di bawah satu bumbung.

Ini termasuk penamaan, atau nominasi, Tabung Simpanan Pekerja (CPF), insurans dan persiapan menulis wasiat. Mereka juga boleh membuat Surat Kuasa Berkekalan (LPA) dan Perancangan Jagaan Lanjut (ACP).

Forum terbuka bersama pakar

Sementara itu, dua forum juga bakal diadakan bagi membincangkan pelbagai mitos tentang perancangan pusaka Islam, seperti faraid dan harta pusaka.

Forum pertama – ‘Amanah Terakhir: Mengemudi Realiti Keluarga dalam Perancangan Legasi’ – akan menangani senario-senario kompleks seperti keluarga campuran, anak angkat, dan harta di luar negara. Panelisnya ialah Ustaz Irwan Hadi daripada Mahkamah Syariah Singapura dan Encik Imran.

Forum kedua – ‘Legasinya, Haknya: Panduan Wanita untuk Legasi & Perancangan Islam’ – pula akan menjelaskan hak wanita dalam warisan Islam yang sering disalah tafsir. Ia akan menampilkan panelis Ustaz Tarmizi dan seorang peguam, Cik Shehzhadee Abdul Rahman.

“Dengan menyertai forum-forum ini diharapkan kebimbangan anda bertukar menjadi kefahaman mendalam. Paling penting, anda akan melihat perancangan legasi bukan sebagai beban tetapi sebagai ibadah yang melindungi keluarga anda dan membolehkan anda mendapat ganjaran daripada Allah,” kata Ustaz Tarmizi.

Tambah ilmu, kumpul ganjaran!

Umumnya, menyertai ILPV bukan sekadar memahami dokumen undang-undang, tetapi juga suatu pelaksanaan kasih sayang terhadap keluarga dan khidmat masyarakat. Inilah peluang untuk memulakan perbincangan penting dalam keluarga anda tentang perancangan masa depan.

Sehubungan itu, ILPV menawarkan e-baucar bernilai $10 kepada peserta yang berjaya menamatkan empat tugasan interaktif di setiap reruai.

Dengan kerjasama Agensi Teknologi Pemerintah (GovTech) pula, peserta boleh memantau dan mendapat mata ganjaran mudah melalui platform GovRewards. Jangan lepaskan peluang ini untuk memperoleh ilmu yang akan melindungi keluarga anda sambil mendapat e-baucar sebagai bonus!

INFO RINGKAS:

• Hadiri ILPV 2025 pada Sabtu, 27 September 2025 di Singapore Expo, Dewan 1, dari 12 tengah hari hingga 7 malam untuk mempelajari lebih lanjut dan mulakan perancangan harta anda.

• Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, layari https://bit.ly/ILPV2025.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg