Apabila Encik Hassan (bukan nama sebenar), 45 tahun, meninggal dunia, Allahyarham meninggalkan seorang balu, tiga orang anak perempuan dan seorang ibu.
Anak bongsunya berkeperluan khas manakala ibunya, seorang warga emas, memerlukan rawatan perubatan.
Allahyarham mempunyai sebuah flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) 4-bilik sebagai aset.
Mengikut hukum faraid – ibu, balu, anak-anak perempuan dan seorang abangnya mempunyai hak dalam pembahagian harta pusaka Allahyarham Hassan.
Namun, Allahyarham tidak memiliki sebarang wasiat, tiada penamaan CPF, tidak memilih pemilikan bersama (joint tenancy) bagi flatnya, dan tiada penamaan insurans.
Disebabkan flatnya mengikut pemilikan berkongsi berasingan (tenancy-in-common), ia terpaksa dijual kerana bahagian milik Allahyarham perlu diagih mengikut faraid.
Tanpa perancangan legasi Islam yang rapi, balu Allahyarham terpaksa berdepan masalah kewangan kerana tidak dapat menerima wang tunai segera – ekoran aset keluarga menjadi ‘harta beku’. Proses pentadbiran yang lama untuk mengagihkan harta pusaka pula menambahkan tekanan emosi dan kewangan.
Akhirnya, keluarga Allahyarham Encik Hassan bukan sahaja kehilangan seorang suami dan bapa, tetapi turut kehilangan rumah serta kestabilan kewangan yang sepatutnya melindungi masa depan mereka.
Kes sedemikian biasa terjadi di Singapura di mana para keluarga terpaksa melalui litigasi berlarutan yang mahal dan adakalanya memakan masa bertahun untuk diselesaikan. Setiap minggu, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) menerima sekurang-kurangnya satu panggilan berkaitan isu pewarisan seperti ini.
Lebih menyedihkan, ada juga dalam kalangan anggota keluarga yang bertelagah dan berpecah belah kerana pertikaian legasi dan pengagihan harta pusaka.
Kes ini menunjukkan betapa pentingnya bagi umat Islam di Singapura untuk mengambil langkah awal dalam perancangan legasi Islam. Dengan menggunakan instrumen seperti wasiat, hibah, penamaan CPF dan insurans, keluarga dapat dilindungi daripada risiko harta beku, pertelingkahan faraid, dan masalah kewangan.
Perancangan legasi Islam bukan sahaja menjamin amanah ditunaikan, tetapi juga memastikan keharmonian keluarga serta masa depan orang tersayang terjaga.
Untuk meningkatkan pemahaman masyarakat Islam tentang perancangan legasi Islam, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) akan menganjurkan program Perkampungan Perancangan Legasi Islam (ILPV). Program ini bertujuan membantu mereka membuat perancangan legasi yang tepat, termasuk hal-hal berkaitan akhir hayat mereka serta meninggalkan legasi untuk keluarga dan orang tersayang serta meneroka pemberian legasi bagi tujuan amal.
Program ini akan diadakan pada hari Sabtu, 27 September 2025 di Singapore Expo, Hall 1 dari jam 12 tengah hari hingga 7 malam.
Ketua Unit Wakaf Masyarakat Singapura (WMS), MUIS, Cik Nur Ayuni Affandi Salleh, berkata: “Secara khusus, ILPV bertujuan memberi kesedaran lebih tinggi kepada masyarakat Islam serta memberi peluang untuk keluarga menimba ilmu bersama, mendapatkan nasihat pakar, dan melengkapkan pelbagai alat perancangan legasi di bawah satu bumbung.”
“Daya usaha ini juga bertujuan menggalak masyarakat mempertimbangkan pemberian legasi – seperti kepada organisasi Melayu Islam, masjid, madrasah atau sedekah jariyah kepada wakaf. Dengan cara merancang untuk wakaf, manfaatnya bukan sahaja untuk masyarakat tetapi juga buat diri penyumbang dalam bentuk pahala yang berterusan.”
Format perkampungan ini menyediakan beberapa reruai yang membolehkan masyarakat mempelajari tentang perancangan legasi Islam dan mengambil tindakan sesuai, seperti membuat penamaan (nominations). Orang ramai boleh belajar daripada pelbagai agensi pemerintah serta rakan kongsi tentang perancangan legasi, termasuk rundingan peribadi dengan pakar perancangan legasi Islam yang ada di perkampungan tersebut. Terdapat juga forum mengenai senario-senario kompleks dan topik penting seperti hak legasi wanita.
• Dua forum utama berbayar untuk membimbing pelbagai kerumitan keluarga dan hak wanita dalam perancangan legasi
• Zon Reruai Penemuan (Discovery Booth Zone) dengan MUIS, agensi-agensi pemerintah dan rakan kongsi
• Zon Perundingan untuk bimbingan Perancangan Legasi Islam secara peribadi oleh rakan kongsi Kumpulan Kerja Perancangan Legasi Islam (ILPW) seperti pakar undang-undang, kewangan dan asatizah
• Zon Pelengkapan untuk sokongan melengkapkan alat tindakan Perancangan Legasi Islam seperti penyediaan wasiat, penamaan CPF dan insurans.
Forum pertama yang bertajuk “Amanah Terakhir: Mengemudi Realiti Keluarga dalam Perancangan Legasi” ditujukan khas untuk mereka yang mempunyai susunan keluarga yang kompleks serta para mualaf.
Penceramah undangan ialah Ustaz Irwan Hadi Mohd Shuhaimy dari Mahkamah Syariah Singapura untuk memberikan perspektif agama dan pakar undang-undang Encik Imran Rahim, Rakan Kongsi Eldan Law LLP, Anggota Majlis Tertinggi MUIS dan Ahli Kumpulan Kerja Perancangan Legasi Islam (ILPW).
Tokoh selebriti Fiza O diundang selaku moderator forum. Acara ini akan diadakan pada jam 2 hingga 4 petang.
Antara yang akan dibincangkan termasuk kes-kes sebenar berkenaan anak angkat, anak tiri, ahli keluarga berkeperluan khas, saudara berlainan agama, harta bersama dan aset luar negara.
Cik Nur Ayuni berkongsi: “Anak tiri atau anak angkat, walaupun dibesarkan dengan penuh kasih sayang seperti darah daging sendiri, tetap tidak diiktiraf sebagai waris faraid. Inilah hakikat yang sering mencetuskan kegusaran dan luka emosi dalam keluarga. Ramai ibu bapa merasakan anak-anak ini tidak kurang nilainya dalam ikatan kasih, namun dari segi hukum, mereka sebenarnya tidak mewarisi apa-apa.”
Beliau menambah, keluarga yang mempunyai situasi sebegini perlu merancang lebih awal. Peruntukan khusus mesti dilakukan agar anak-anak atau ahli keluarga ini tidak tercicir. Sebagai contoh, wasiat membenarkan sehingga satu pertiga daripada harta pusaka diasingkan bagi mereka yang bukan waris faraid.
Sebagai alternatif, penamaan CPF atau insurans yang dianggap sebagai hibah atau hadiah oleh Fatwa MUIS membolehkan seseorang memberi sebarang peratusan atau bahagian yang disalurkan terus kepada mereka.
Pelbagai senario lain berhubung dengan susunan keluarga yang kompleks juga akan dibincangkan.
Forum kedua bertajuk “Legasinya, Haknya: Panduan Wanita untuk Legasi & Perancangan Islam” akan diadakan pada jam 5 hingga 7 petang.
Tujuannya untuk mengupas bagaimana perancangan legasi Islam memperkasakan wanita dan menepis tanggapan salah tentang jantina dan faraid. Forum ini juga menekankan peranan lelaki dalam melindungi dan mengurus harta keluarga serta memastikan keadilan, mencegah perselisihan, dan menegakkan prinsip Islam demi kestabilan keluarga.
Cik Nur Ayuni menekankan bahagian lebih besar yang diterima lelaki dalam faraid bukanlah suatu kelebihan istimewa. Sebaliknya, ia adalah amanah berat yang datang bersama tanggungjawab dalam Islam seperti memberi nafkah kepada ahli keluarga perempuan yang ditinggalkan, seperti balu, anak-anak dan adakalanya ibu bapa atau saudara perempuan.
Beliau menjelaskan, “Dalam konteks hari ini, prinsip faraid mesti dilaksanakan dengan kebijaksanaan dan belas kasihan. Apabila waris lelaki gagal menggalas amanah ini, kaum wanita sering berasakan diri mereka kurang bernasib baik. Namun ini bukan satu kelemahan prinsip dalam faraid, tetapi sebaliknya kegagalan untuk memahami faraid secara mendalam.”
Tambahnya, faraid wajar dilihat sebagai sebahagian daripada pelan menyeluruh dalam perancangan legasi, digabungkan bersama instrumen-instrumen seperti wasiat, hibah dan penamaan.
Penceramah undangan ialah Ustaz Muhammad Tarmizi Abdul Wahid, Anggota Majlis Tertinggi Muis dan Anggota Kumpulan Kerja Perancangan Legasi Islam (ILPW) dan pakar undang-undang, Cik Shehzhadee Abdul Rahman, Pengarah Urusan Shehzhadee Law Corporation.
Menurut Cik Nur Ayuni, tarikan sebenar program ini merupakan Zon Pelengkapan, di mana para hadirin boleh melengkapkan instrumen perancangan legasi Islam secara langsung di zon tersebut. Ini termasuk melengkapkan penamaan bagi Tabung Simpanan Pekerja (CPF) dan insurans, Perancangan Jagaan Awal (ACP) dan Surat Kuasa Berkekalan (LPA).
Acara ini disokong pelbagai agensi pemerintah termasuk MyLegacy oleh LifeSG, CPF, Pejabat Penjaga Awam (OPG), dan Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC), bersama rakan kongsi masyarakat.
ILPV 2025 akan dihadiri oleh tetamu kehormat Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim.
Program dalam Bahasa Inggeris ini menyasarkan sekitar 1,200 hadirin.
Daftar sekarang untuk sertai Forum dan Perkampungan Perancangan Legasi Islam (ILPV) 2025 September ini di www.go.gov.sg/ilpv-2025


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg