AMALAN saling membantu, dengan yang mampu menghulur bantuan kepada yang memerlukan, perlu terus dipupuk, lebih-lebih lagi dalam keadaan pandemik Covid-19 sekarang.
Kehidupan tolong-menolong bagai aur dengan tebing ini dapat membangunkan sebuah masyarakat penuh ihsan, utuh dan bersatu padu.
Demikian ditekankan Anggota Parlimen Pasir Ris-Punggol, Encik Mohamed Sharael Taha, ketika ditemui wartawan di acara pengagihan habuan kepada penerima zakat di kawasan Pasir Ris anjuran Masjid Al-Istighfar dengan sokongan M Kuasa Tiga (M3) semalam, sempena bulan maulid Nabi Muhammad saw.
"Inisiatif masyarakat sebegini amatlah penting kerana mereka kenal dan tahu akan keperluan dalam kalangan penduduk di sini. Oleh itu, melalui cara ini kita dapat memastikan yang sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan akan menerimanya," ujarnya.
Habuan itu ditampung daripada dana yang dikumpulkan masjid tersebut dan sumbangan M3 serta pemimpin akar umbi.
Ia dijayakan dengan bantuan sekitar 60 sukarelawan yang menyiapkan dan menghantar habuan itu kepada 85 penerima.
Pengerusi masjid Al-Istighfar, Encik Azman Ariffin, berkata beliau berterima kasih kerana mempunyai sokongan sukarelawan berdedikasi yang membantu dengan menggunakan kenderaan sendiri.
Bagi memastikan pengurusan selamat Covid-19, masjid itu memperuntuk masa tertentu bagi sukarelawan datang mengambil habuan untuk diagih.
"Kami juga memastikan setiap kereta hanya ada seorang pemandu dan tiga penumpang. Setiap kereta menghantar empat hingga lima habuan kepada penerima," ujarnya lagi.
Antara penerima habuan itu ialah Cik Nur Fadilah Osman, yang berkata beliau bersyukur mendapatnya.
"Apa bantuan pun, sekecil mana, amat saya hargai. Barang-barang ini lebih daripada cukup untuk membantu mengurangkan kos perbelanjaan dan makanan keluarga saya," kata suri rumah tiga anak itu, yang tinggal di flat sewa.
Pengagihan habuan itu telah dijalankan selama lima tahun dan diadakan tiga kali setahun - pada Ramadan, Hari Raya Haji dan menjelang cuti sekolah Disember - bagi membantu keluarga memerlukan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg