Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perlindungan bagi pengendali model perusahaan sosial tidak ambil kesempatan atas keuntungan

Kerjasama rapat dengan NEA serta penjaja pastikan keperluan penjaja dan penduduk dipenuhi
Nov 13, 2024 | 10:19 PM
Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran), Dr Koh Poh Koon membalas notis usul mengenai budaya penjaja yang dibentangkan Parti Kemajuan Singapura (PSP) di Parlimen pada 13 November.
Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran), Dr Koh Poh Koon membalas notis usul mengenai budaya penjaja yang dibentangkan Parti Kemajuan Singapura (PSP) di Parlimen pada 13 November. - Foto MDDI

Pemerintah mempunyai langkah perlindungan bagi memastikan bahawa pengendali di bawah model perusahaan sosial tidak mengambil kesempatan atas keuntungan yang dikaup dan diharapkan bekerjasama rapat dengan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) serta golongan penjaja bagi memastikan keperluan kedua-dua penjaja dan penduduk dipenuhi, kata Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran), Dr Koh Poh Koon.

Beliau berkata demikian bagi membalas notis usul mengenai budaya penjaja yang dibentangkan Parti Kemajuan Singapura (PSP) di Parlimen pada 13 November, di mana dua Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) dari parti, Cik Hazel Poa dan Encik Leong Mun Wai, telah mengemukakan beberapa saranan untuk menyokong golongan penjaja.

Dua NCMP itu telah menarik perhatian tentang cabaran yang dihadapi golongan penjaja di tengah-tengah inflasi dan kos sara hidup yang semakin meningkat, termasuk kos sewa gerai dan bahan-bahan mentah yang semakin tinggi dan juga isu ketiadaan pengganti dan kekurangan tenaga kerja.

Tidak kira sama ada pengendali dilantik di bawah model Pusat Penjaja Keusahawanan Sosial (SEHC) atau diurus NEA, Dr Koh menjamin bahawa prisip asas kekal sama, iaitu penjaja serta pelanggan kekal sebagai tumpuan utama dasar yang dibentuk.

Menjelaskan mengenai penubuhan awal SEHC, Dr Koh berkata ia adalah dengan tujuan untuk meneroka model baru sedang Singapura membuat penyesuaian kepada konteks mengendalikan pusat penjaja yang jauh beza daripada tempoh awal pusat penjaja ditubuhkan iaitu untuk menempatkan semula penjaja jalanan.

“Pusat penjaja perlu bertenaga dengan jumlah pengunjung yang ramai. Ia perlu menyediakan gabungan makanan pelbagai yang bertindak balas kepada keperluan berubah-ubah bagi demografik berbeza dan dapat menyesuaikan diri serta ditubuhkan dengan keadaan sesuai bagi memastikan ia berdaya maju dan mampan bagi jangka masa panjang.

“Semua ini memerlukan kepintaran perniagaan sesuai,” katanya sambil menambah bahawa agensi pemerintah tidak mempunyai kebolehan atau naluri untuk mengendalikan perniagaan.

Mengulas lanjut, Dr Koh menjelaskan bahawa pengendali SEHC memiliki pengalaman dan pengetahuan industri yang diperlukan bagi memastikan pusat penjaja kekal bertenaga, contohnya dengan mengadakan program yang memberi nasihat serta sokongan kepada bakal penjaja.

Selain itu, pengendali boleh memanfaatkan rangkaian makanan dan minuman mereka bagi memperhalusi menu makanan mereka, lantas menyokong perniagaan penjaja serta memenuhi cita rasa pelanggan. 

Pengendali juga boleh memperkenalkan amalan inovatif dan baru bagi menyokong pemilik gerai dalam mengemudi konteks operasi berubah-ubah dan perkembangan industri, seperti penggunaan wadah memesan dalam talian dan digital.

“Ini membantu pusat penjaja kita berubah dan mengikuti trend. Jumlah kunjungan dan kurasi yang baik merupakan bahan penting untuk pusat penjaja yang bertenaga,” katanya.

“Pusat penjaja perlu bertenaga dengan jumlah pengunjung yang ramai. Ia perlu menyediakan gabungan makanan pelbagai yang bertindak balas kepada keperluan berubah-ubah bagi demografik berbeza dan dapat menyesuaikan diri serta ditubuhkan dengan keadaan sesuai bagi memastikan ia berdaya maju dan mampan bagi jangka masa panjang.”
 Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran), Dr Koh Poh Koon.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg