Topik diikuti
Pergi ke BHkuPerlu bina kepercayaan dan tanggungjawab bersama bagi bangun sistem kesihatan mampan
Perlu bina kepercayaan dan tanggungjawab bersama bagi bangun sistem kesihatan mampan
Perlu bina kepercayaan dan tanggungjawab bersama bagi bangun sistem kesihatan mampan
Dalam usaha mengekang peningkatan kos penjagaan kesihatan, pembinaan kepercayaan dan amalan tanggungjawab bersama antara semua pihak dalam ekosistem kesihatan menjadi semakin penting, kata Anggota Parlimen (AP) GRC West Coast-Jurong West, Dr Hamid Razak.
Beliau menegaskan bahawa isu kos kesihatan bukanlah sesuatu yang mudah, sebaliknya melibatkan pelbagai faktor yang saling berkait – daripada penuaan penduduk, kemajuan teknologi perubatan, hinggalah kepada tingkah laku pesakit sendiri.
“Pembiayaan kesihatan sangat rumit. Kita ada pelbagai pihak – pesakit, hospital, doktor, syarikat insurans – semuanya memainkan peranan dalam menentukan bagaimana sistem ini berfungsi,” jelas beliau dalam podcast BHerbual, Berita Harian (BH).
Menurut Dr Hamid, yang juga pakar bedah ortopedik, antara faktor utama yang mendorong peningkatan kos ialah perubahan profil kesihatan penduduk.
Dengan jangka hayat semakin panjang, lebih ramai rakyat hidup dengan penyakit kronik seperti kencing manis dan penyakit jantung, sekali gus meningkatkan keperluan rawatan jangka panjang.
Namun, beliau menekankan bahawa aspek tingkah laku juga tidak boleh diketepikan.
Salah satu fenomena yang dibangkitkan ialah apa yang digelar sebagai ‘sindrom bufet’ – keadaan apabila pesakit cenderung mendapatkan pelbagai ujian atau rawatan yang tidak semestinya diperlukan, terutama apabila dilindungi sepenuhnya oleh insurans.
“Apabila semuanya dilindungi, ada kecenderungan untuk ‘ambil semua’ walaupun tidak perlu dari segi perubatan. Ini membawa kepada penggunaan sumber kesihatan secara berlebihan,” katanya.
Kesan daripada amalan itu bukan sahaja dirasai oleh individu, bahkan, ia turut memberi tekanan kepada keseluruhan sistem, termasuk meningkatkan premium insurans yang akhirnya perlu ditanggung oleh pengguna.
Malah, premium pelan tambahan insurans dilapor meningkat sekitar 17 peratus dalam beberapa tahun kebelakangan ini, sekali gus menimbulkan persoalan tentang kemampanan jangka panjang sistem tersebut.
Sehubungan itu, Dr Hamid menegaskan bahawa prinsip asas sistem kesihatan Singapura – iaitu pembayaran bersama atau co-payment – perlu diperkukuh.
Pendekatan itu memastikan pesakit menanggung sebahagian kos rawatan, sekali gus menggalak penggunaan khidmat kesihatan secara lebih berhemah.
Langkah terkini pemerintah yang mewajibkan bayaran bersama bagi pelan insurans tertentu dilihat sebagai usaha untuk mengembalikan keseimbangan dalam sistem.
Pada masa sama, beliau turut menekankan pentingnya menerapkan ‘amanah’ antara semua pihak berkepentingan.
“Hospital perlu adil dalam penggunaan sumber, doktor perlu jujur dalam cadangan rawatan, dan pesakit perlu bertanggungjawab dalam mendapatkan rawatan,” ujarnya.
Beliau turut memberi contoh bagaimana sesetengah pelan insurans boleh secara tidak langsung menggalakkan penggunaan secara berlebihan.
Sebagai contoh, insentif tunai bagi tempoh kemasukan ke hospital yang lebih lama dari yang diperlukan berdasar aspek perubatan.
Namun, Dr Hamid mengingatkan bahawa penyelesaian jangka panjang tidak boleh hanya tertumpu kepada kawalan kos semasa.
Sebaliknya, pendekatan lebih menyeluruh diperlukan dengan memberi tumpuan kepada kesihatan rakyat sejak awal.
“Yang paling penting adalah memastikan penduduk kekal sihat pada setiap peringkat usia.
“Jika kita dapat capai ini, keperluan terhadap rawatan akan berkurangan dan kos keseluruhan juga akan berkurang,” katanya.
