Ia sangat mencabar bagi individu yang telah menetapkan sesebuah sistem untuk mempersoalkan sistem tersebut dalam kedudukan sebagai Presiden Dipilih.
Situasi itu bak mencerminkan sistem ‘diri sendiri semak diri sendiri’.
Demikian dinyatakan calon Presiden, Encik Ng Kok Song, kepada pihak media selepas sesi bertemu penduduk di sekitar Marine Terrace pada Selasa, dengan ditemani tunangnya, Cik Sybil Lau.
Dalam apa yang dilihat sebagai rujukan kepada seorang lagi calon Presiden, Encik Tharman Shanmugaratnam – yang pernah menyandang jawatan Menteri Kewangan selama sembilan tahun – Encik Ng berkata:
“Saya rasa bahaya (yang timbul), terutamanya dari segi perlindungan rizab, adalah apabila bekas menteri kewangan yang menetapkan peraturan cara rizab boleh digunakan... kini beraspirasi menjadi Presiden.
“Saya tidak rasa ia sesuai (kerana) ia sangat sukar bagi seseorang yang telah menetapkan sesuatu sistem untuk mencabar sistem tersebut.”
Beliau menambah mungkin timbul kesukaran jika hal itu berlaku.
Encik Ng menegaskan pendiriannya sebagai calon Presiden yang tidak berpihak kepada mana-mana parti politik, baik pihak pembangkang mahupun pihak pemerintah.
Seorang Presiden tidak sepatutnya dimanipulasi dan berat sebelah, kata beliau.
Encik Ng, 75 tahun, akur sememangnya tidak mudah untuk mendapatkan seorang yang cekap, boleh dipercayai dan tidak berpihak kepada mana-mana parti.
“Saya yakin saya tahu pertanyaan yang harus ditanya. Saya tahu saya akan berjaga-jaga. Dan saya tidak berpihak (kepada mana-mana parti).
“Jadi saya boleh melaksanakan tanggungjawab saya tanpa rasa takut atau pilih kasih,” ujarnya.
Beliau turut membidas beberapa kenyataan yang dibuat oleh Encik Tharman dalam Forum Presiden Singapura menerusi kenyataan susulan kepada pihak media.
Dalam forum yang disiarkan di Mediacorp pada Isnin, Encik Tharman menyifatkan pemberian label kepada seseorang individu sebagai “terlalu mudah”, sama ada individu itu pernah menjadi anggota bagi parti politik atau tidak.
Encik Tharman kemudian memberi contoh bahawa hal sedemikian mungkin tidak melayakkan beberapa mantan-mantan calon presiden sebelum ini – antara nama yang disebutnya termasuk mantan Presiden Encik Ong Teng Cheong dan mantan Presiden Encik Tony Tan.
Syarikat peribadi, syarikat binaan dan syarikat pengurusan dana juga bergantung pada pihak pemerintah lantas tidak boleh dilihat sebagai bebas, tambah Encik Tharman dalam forum itu.
Encik Ng menyangkal kenyataan Encik Tharman yang membuat perbandingan antara mereka yang ada hubungan parti politik pada masa lalu dengan individu yang bergantung pada pemerintah sebagai “tersasar jauh bagi mengetengahkan hujahnya”.
“Terdapat perbezaan yang besar antara seorang pemimpin kanan pemerintah dengan warga marhaen lain,” ujar Encik Ng.
Beliau menambah bahawa bagi Presiden Dipilih memainkan peranan semak dan imbang secara berkesan, Presiden mestilah mendapatkan mandat terus daripada rakyat.
Encik Ng juga membidas kenyataan Encik Tharman bahawa Pilihan Raya Presiden ini adalah pilihan raya antara individu kerana ia menjangkau melebihi individu tersebut.
“Ia adalah tentang sistem tadbir urus yang diperlukan Singapura bagi melindungi masa hadapan kita.
“Di peringkat tertinggi tadbir urus bagi Singapura, Presiden Dipilih memainkan peranan semak dan imbang pada pihak pemerintah (dan) terhadap penyelewengan atau rasuah,” kata Encik Ng.
Pada sebelah petang, beliau mengunjungi Pusat Makan dan Pasar 448 di Clementi bagi bertemu penduduk di sana.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg