Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Daya utama bantu lulusan poly, uni rancang kerjaya diperkenal

Dec 5, 2024 | 4:43 PM
Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad, mengumumkan daya utama ‘Polaris daripada Penasihat Kerjaya Sukarelawan (VCA)‘ yang bertujuan memberi nasihat kerjaya kepada pelajar sebelum mereka memasuki sektor pekerjaan.
Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad, mengumumkan daya utama ‘Polaris daripada Penasihat Kerjaya Sukarelawan (VCA)‘ yang bertujuan memberi nasihat kerjaya kepada pelajar sebelum mereka memasuki sektor pekerjaan. - Foto fail

Lulusan politeknik dan universiti akan mendapat lebih banyak sokongan dan pandangan industri untuk membangunkan laluan kerjaya mereka, sebelum mereka memasuki sektor pekerjaan.

Ini adalah di bawah daya utama yang diperluaskan Penasihat Kerjaya Sukarelawan (VCA) yang diumumkan oleh Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad, di Majlis Penghargaan VCA di Marina Bay Sands pada 4 Disember.

Dalam ucapannya, Encik Zaqy berkata lebih 7,600 individu telah meraih manfaat daripada bimbingan oleh lebih 550 VCA merentasi pelbagai sektor.

Pada awalnya diasaskan untuk menangani kebimbangan pekerja matang yang menghadapi ketidakpastian pekerjaan, ramai penasihat kini menyatakan minat untuk melakukan lebih daripada itu, khususnya bagi membantu mereka yang ingin memulakan kerjaya.

“Amat menggembirakan melihat 97 peratus penasihat ingin mengesyorkan daya utama ini kepada orang lain.

“Ini sejajar dengan visi kami untuk meningkatkan kerjaya yang sihat dan daya tahan merentasi semua peringkat kehidupan kerja individu,” jelas Encik Zaqy.

Sesuai dengan hal itu, Tenaga Kerja Singapura (WSG) akan melaksanakan daya utama ‘Polaris daripada Penasihat Kerjaya Sukarelawan (VCA)’, pada suku pertama 2025.

Ia menyasarkan untuk memberi nasihat kerjaya kepada 500 pelajar yang akan menyertai sektor pekerjaan.

Antara bimbingan kerjaya yang akan diberikan termasuk pengkhususan dalam industri, pandangan tentang trend dan permintaan pasaran pekerjaan, dan merangka pelan pembangunan kerjaya yang sesuai dengan bidang pilihan mereka.

Menurut Encik Zaqy, dengan mengembangkan VCA kepada pelajar, ia akan memberi mereka peluang mencedok pengalaman pekerjaan yang berharga daripada penasihat kerjaya.

“Pelajar-pelajar ini akan mendapat pendedahan awal kepada perancangan kerjaya yang disepadukan dengan pandangan industri anda (penasihat kerjaya), yang disampaikan melalui sesi nasihat secara individu oleh VCA berdedikasi kami.

“Ini sekali gus membina asas untuk pertumbuhan dan perkembangan profesional mereka,” ujar beliau sambil menambah bahawa pemerintah akan bekerjasama dengan beberapa politeknik dan universiti berautonomi untuk mendekati peserta muda itu yang bersemangat merancang kerjaya mereka.

Daya utama itu adalah sebahagian daripada usaha Career Health SG, satu inisiatif di peringkat nasional dalam menyokong SkillsFuture.

Ia bertujuan memperkasa individu dalam merangka laluan kerjaya jangka panjang melalui bimbingan kerjaya dan mendalami pengetahuan dan kemahiran seseorang dengan pandangan tentang pekerjaan dan industri yang berkembang.

Rakyat Singapura kemudian boleh mengambil langkah proaktif untuk meningkatkan peluang dalam kerjaya mereka melalui latihan, latihan sambil belajar serta pertukaran kerja yang dirancang.

Encik Zaqy menambah bahawa pekerja mesti memastikan kerjaya mereka berada dalam keadaan yang baik, mengejar peluang pekerjaan dan latihan secara berkesan dan bermatlamat.

“Pasaran pekerjaan hari ini sedang berkembang pesat, dengan kemajuan kecerdasan buatan (AI) dan kehadiran teknologi baru.

“Tidak cukup dengan hanya bertindak balas terhadap perubahan ini apabila ia datang, pekerja harus menjadi proaktif,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg