Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perlunya sikap prihatin, empati urus tahanan

Jan 17, 2026 | 12:10 PM
Barangan peribadi banduan disusun pegawai penjara sebelum gambar diambil di hadapannya dan kemudian barangan tersebut disimpan dalam lokar.
Barangan peribadi banduan disusun pegawai penjara sebelum gambar diambil di hadapannya dan kemudian barangan tersebut disimpan dalam lokar. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Beberapa tahun lalu, seorang wanita yang berada dalam tahanan yang dipantau Penolong Superintendan Penjara (ASP) Muhamad Asfadly Aspar mula menangis dalam keresahan dan tidak sanggup untuk menjalani hukumannya.

Ini disebabkan dia terpaksa berpisah daripada anak-anaknya dan tiada siapa yang dapat menjaga mereka ketika itu.

Tanpa bersikap keras meminta wanita itu untuk mematuhi arahannya, ASP Asfadly sebaliknya berhenti sejenak dan cuba menenangkan wanita tersebut.

“Saya cuba untuk menenangkan wanita itu, dengan memberitahunya bahawa semuanya akan baik-baik saja.

“Dia boleh menggunakan sistem telefon di sel tahanan ini untuk berkomunikasi dengan anak-anaknya atau sesiapa yang perlu dia hubungi,” jelas ASP Asfadly.

Semasa ditemui wartawan baru-baru ini, ASP Asfadly, 46 tahun, berkata bahawa pengalaman tersebut kekal terpahat dalam ingatannya hingga ke hari ini.

Ini disebabkan ia merupakan peringatan berterusan bahawa empati dan keprihatinan itu sangat diperlukan ketika mengurus pesalah dalam tahanan.

Baru-baru ini, media tempatan diundang untuk menyaksikan proses pemindahan pesalah ke kompleks penjara Changi.

ASP Asfadly yang telah berkhidmat dengan Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) selama 21 tahun, merupakan ketua pasukan bagi Operasi Luar Penjara (PEO) di Mahkamah Negara.

Selaku Ketua Pasukan Lokap Mahkamah Negara (SCLU), beliau bertanggungjawab dalam memastikan segala operasi pengurusan tahanan dijalankan dengan lancar.

Semasa lawatan media itu, satu simulasi keseluruhan proses dan prosedur di mana seorang tahanan di Mahkamah Negara dipindahkan dan dimasukkan ke Kompleks Penjara Changi, telah diadakan.

Media juga ditunjukkan tentang kelengkapan teknologi masa kini di SCLU seperti lokar biometrik dan juga sistem komunikasi telefon yang boleh digunakan oleh tahanan untuk membuat panggilan penting.

Namun demikian, SCLU tidak mempunyai sebarang pusat perubatan kerana ia merupakan tempat tahanan sementara.

Justeru, para pegawai PEO akan membuat rondaan secara kerap untuk bertanyakan kepada para tahanan sekiranya mereka mengalami masalah kesihatan dan memerlukan rawatan.

Sekiranya ada kecemasan perubatan, para pegawai akan segera menghubungi ambulan untuk membawa tahanan itu ke hospital.

ASP Muhamad Asfadly Aspar berkongsi pengalamannya ketika mengurus seorang tahanan wanita yang mula menangis dan cemas kerana harus berpisah daripada anak-anaknya dan tiada siapa yang dapat menjaga mereka ketika itu
ASP Muhamad Asfadly Aspar berkongsi pengalamannya ketika mengurus seorang tahanan wanita yang mula menangis dan cemas kerana harus berpisah daripada anak-anaknya dan tiada siapa yang dapat menjaga mereka ketika itu - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Menurut ASP Asfadly, sejumlah tahanan yang berbeza latar belakang perlu diuruskan setiap hari.

Bagi ASP Asfadly, ini merupakan satu cabaran kerana para pegawai harus pantas memahami keperluan para tahanan yang berlainan ini.

Berkongsi tentang pengalamannya, ASP Asfadly berkata:

“Lazimnya, ada para tahanan ini tidak biasa dan rasa terasing kerana ia merupakan kali pertama mereka ditahan.

“Jadi, mereka akan mula rasa resah dan tertekan. Dalam hal ini, para pegawai yang mengurus tahanan ini harus dilengkapi dengan kemahiran yang mampu bersikap prihatin dan punya empati terhadap mereka,” tambah beliau.

Justeru setiap pegawai perlu menjalani latihan oleh SPS demi memastikan mereka dapat mengurus tahanan dengan penuh rasa prihatin dan hormat, tambah beliau.

Bagi ASP Asfadly sendiri, sikap prihatin, hormat serta sifat empati dan juga kasih sayang merupakan kualiti yang sangat penting ketika mengurus tahanan.

Ini merupakan prinsip kemanusiaan yang dipegang teguh dalam dirinya.

“Kita harus melayani mereka dengan cara yang kita ingin dilayani,” tambah beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg