Seorang bapa tiga anak kecil telah dijatuhi hukuman penjara 23 bulan dan dua minggu serta dua sebatan pada 12 Januari, setelah berulang kali memukul dan membanting isterinya ke lantai akibat perselisihan faham.
Au Yong Khin Mun, 40 tahun, mengaku bersalah atas tuduhan sengaja menyebabkan kecederaan parah.
Isterinya mengalami pelbagai keretakan pada muka, tulang selangka, dan rusuk.
Mahkamah dimaklumkan Au Yong dan isterinya sedang dalam proses perceraian.
Serangan itu berlaku pada 2 Disember 2024 di sebuah kantin Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD) di Changi.
Pasangan yang sudah berumah tangga sekitar lima tahun itu berada di situ untuk bersarapan setelah menghantar kembar perempuan mereka yang berusia empat tahun ke prasekolah berdekatan.
Mereka juga mempunyai seorang anak lelaki berusia dua tahun.
Ketika bersarapan, Au Yong menyuarakan hasrat menggunakan hasil jualan kondominium mereka untuk melangsaikan hutang kad kreditnya.
Isterinya membantah, sebaliknya mencadangkan wang itu digunakan untuk membeli flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).
Akibat marah dengan penolakan itu, Au Yong cuba menampar isterinya dua kali dari seberang meja.
Apabila gagal berbuat demikian, dia bangkit, menghampiri isterinya, dan memukul kepala serta belakang badan mangsa berkali-kali.
Semasa isterinya berpaling, Au Yong memukul kepalanya dengan cawan yang berisi kopi ais dan pinggan makanan.
Dia juga menendang belakang isterinya dengan lutut, serta menariknya dari belakang, dan membantingnya ke lantai.
Isterinya itu mengalami patah tulang di beberapa bahagian tubuhnya, dan terpaksa dirawat di hospital selama enam hari.
Memohon hukuman penjara antara 24 dengan 26 bulan dan enam sebatan, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Suriya Prakash, menyifatkan perbuatan Au Yong sebagai “amat pengecut” kerana menyerang mangsa dari belakang.
Mereka yang didapati bersalah menyebabkan kecederaan parah dengan sengaja boleh dipenjara sehingga 10 tahun, didenda, dan disebat.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg