Permintaan juadah mangkuk tingkat ikut selera pelanggan naik jelang Ramadan
Permintaan juadah mangkuk tingkat ikut selera pelanggan naik jelang Ramadan
Perniagaan dari rumah buat penyesuaian, tawar hidangan penuhi cita rasa pelanggan
Meskipun terdapat pelbagai pilihan bagi khidmat hidangan mangkuk tingkat di pasaran, permintaan terhadap khidmat sedemikian yang disesuaikan mengikut cita rasa pelanggan kian meningkat menjelang Ramadan 2026.
Antara lain, sebab yang mendorong permintaan bagi khidmat sedemikian adalah pilihan untuk menyesuaikan menu mengikut cita rasa pelanggan, penjimatan masa dan kemudahan yang diperoleh daripada penghantaran pesanan terus ke rumah.
Beberapa perniagaan dari rumah (HBB) yang dihubungi Berita Harian (BH) berkongsi mereka berdepan dengan persaingan hebat kerana terdapat banyak penyedia khidmat hidangan mangkuk tingkat – iaitu makanan yang dimasukkan ke dalam bekas – di pasaran.
Namun, mereka menyifatkan persaingan demikian sebagai pembakar semangat dan menawarkan kelainan bagi menonjolkan khidmat yang mereka tawarkan.
“Tentu sekali persaingan memang wujud kerana terdapat ramai penyedia hidangan mangkuk tingkat ini di pasaran.
“Dengan keadaan sekarang, ramai yang ingin berkecimpung dalam bidang perniagaan, khususnya makanan.
“Kami mementingkan mutu masakan, dengan menu yang konsisten, rasa hidangan masakan rumah, penggunaan bahan segar, serta tiada atau kurang penggunaan perasa makanan,” kongsi pengasas, Ana Mohd Tingkat Services, Cik Farhana Mohd.
Bersependapat, pengasas Bakebabesg, yang hanya ingin dikenali sebagai Cik Lydia, berkata sebagai perniagaan yang masih baru lagi dalam industri, terdapat persaingan daripada syarikat yang lebih dikenali ramai.
“Saya rasa apa yang membuat kami terserlah ialah tawaran makanan bagi kanak-kanak dan warga emas yang disesuaikan, bagi mereka yang mempunyai keadaan kesihatan dan keperluan makanan tertentu,” ujar beliau.
Bakebabesg mula menawarkan hidangan mangkuk tingkat pada 2024, kata Cik Lydia.
Pada awalnya, beliau hanya memenuhi lima pesanan untuk Ramadan 2026.
Beliau telah membuka ruang untuk memenuhi pesanan tambahan dek permintaan yang meningkat.
Dalam pada itu, pengasas HBB berkongsi mereka tidak mampu memenuhi pesanan yang terlalu banyak, berbanding dengan syarikat katering.
Sebagai contoh, pengasas Bueno Palate, Cik Hafisa Kamarudin, berkata jumlah pesanan yang dapat beliau penuhi adalah antara lapan dengan 12.
Ini kerana menu yang ditawarkan tidak dimasak di dapur pusat atau dapur lebih besar seperti di gerai makanan, sebaliknya hanya dimasak di rumah.
Setakat awal Januari, Cik Hafisa telah menerima tiga pesanan dan menjangka akan menerima lebih banyak menjelang permulaan Ramadan.
Namun, hal itu berbeza pula dengan Ana Mohd Tingkat Services, yang dapat memenuhi antara 30 dengan 50 pesanan semasa Ramadan, berbanding dengan 20 hingga 25 pesanan pada hari-hari biasa.
Di samping itu, pemilik generasi kedua, Warung Selera Masakan Kampung, Cik Nashibah Tahar, berkata beliau tidak mengehadkan jumlah pesanan pada 2026.
“Saya menerima 30 pesanan pada 2025 apabila saya mula menawarkan khidmat hidangan mangkuk tingkat buat kali pertama.
“Buat 2026 saya dan keluarga membuat keputusan untuk tidak menentukan berapa banyak pesanan yang boleh kami terima.
“Selagi kami boleh memenuhinya, kami akan membuka ruang untuk pelanggan buat pesanan,” ujar Cik Nashibah.
Berkongsi lanjut, beliau berkata oleh kerana terdapat pelanggan lanjut usia, hidangan yang menjadi pilihan mereka adalah lauk-pauk Melayu seperti asam rebus dan ikan masak kicap, berbanding dengan hidangan Barat seperti pasta.
Cik Nashibah turut merancang menawarkan hidangan istimewa pada hujung minggu seperti nasi ambeng dan nasi rawon, di samping bekerjasama dengan restoran, Fizi Specialties, untuk menawarkan nasi beriani, nasi mandy atau maqluba bagi menarik lebih ramai pelanggan.
Berbeza dengan Warung Selera, Elegant Delicacy pula berkongsi bahawa menu hidangan Barat yang mereka tawarkan lebih memenuhi cita rasa pelanggan.
Pengasas, Cik Norsusilawani Nani, atau lebih mesra dikenali sebagai Cik Wanny, berkata antara lain, beliau menerima pesanan daripada pelanggan yang merupakan pasangan suami isteri yang bekerja dan mempunyai anak kecil, atau pasangan yang telah berumah tangga tanpa anak.
“Mereka yang mempunyai anak-anak kecil selalunya minta makanan yang kurang pedas.
“Ada juga yang meminta pilihan lebih sihat seperti kurang garam atau perasa, yang sebenarnya memang tidak digunakan oleh tukang masak kami,” ujar Cik Wanny.
Justeru, tidak sukar bagi Cik Wanny untuk memenuhi permintaan pelanggan dengan membuat penyesuaian mengikut keperluan.
Dari sudut harga, Cik Wanny akur harga yang ditetapkan bagi hidangan mangkuk tingkat mungkin tidak dimampui segelintir pelanggan.
Oleh itu, beliau cuba untuk mengekalkan harga yang sama, iaitu $560 untuk 20 hari dengan satu hidangan utama, satu lauk sampingan, sayur-sayuran, minuman serta pencuci mulut.
Cik Nashibah pula berkongsi beliau harus meningkatkan harga daripada $600 ke $700 ekoran peningkatan kos penghantaran, daripada $10 ke $15 untuk setiap lokasi.

