Perniagaan yang menawarkan bantuan kepada pemilik kereta Singapura dalam permohonan tag Permit Masuk Kenderaan (VEP), yang dikuat kuasa oleh Malaysia mulai 1 Oktober, menyaksikan lebih banyak permintaan.
Perkhidmatan ‘langkau baris gilir’ itu meliputi bantuan untuk memohon VEP dalam talian, meminda butiran peribadi, membatalkan pendaftaran permit sedia ada dan mengumpul serta memasang tag pengenalan frekuensi radio (RFID) di pusat pengumpulan VEP di Johor dan Singapura, kata pelanggan dan penyedia perkhidmatan itu kepada The Straits Times (ST).
Perkhidmatan sedemikian mengenakan bayaran antara $25 dengan $168, berbanding RM40 ($12.20) yang dibayar pemilik kenderaan jika mereka mendaftar sendiri melalui laman web Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia.
Dalam laman webnya, JPJ berkata ‘wakil’ dibenarkan membuatkan pendaftaran bagi pihak pemilik kenderaan, selagi mereka “memastikan maklumat yang diberi benar dan tepat”.
Pemandu Singapura yang memasuki Malaysia melalui dua sempadan darat di Tambak Johor dan Linkedua wajib mempunyai VEP mulai 1 Oktober.
Tetapi proses permohonan dicemari kelewatan dan isu teknikal, menyebabkan barisan panjang di pusat-pusat pengambilan VEP.
Malaysia berkata buat masa ini kereta dari Singapura masih boleh memasuki Johor tanpa VEP.
Bagaimanapun, mereka yang belum memohon permit itu akan diberi amaran bertulis.
The New Paper melaporkan pada Ogos bahawa sebuah syarikat Singapura, Innox Group, menawarkan perkhidmatan ‘langkau baris gilir’ VEP pada bayaran $138. Ia telah menaikkan bayaran itu kepada $168.
Di laman webnya, syarikat itu berkata ia “mengalami jumlah tinggi pelanggan yang permohonan mereka belum diselesaikan” dan akan mengambil hanya 20 permohonan baru sehari.
Syarikat cuci kereta Singapura, Radiant Wash, yang mula menawarkan perkhidmatan permohonan VEP pada Ogos di bawah Radiant VEP Solutions, juga mencatat perniagaan yang baik.
Ketika ditanya tentang kebimbangan mengenai keselamatan data peribadi pemandu, pengarah syarikat itu, Encik Derrick Heng, berkata semua dokumen pengesahan VEP dikeluarkan secara langsung oleh JPJ dan pelanggan boleh mengakses akaun JPJ mereka untuk memantau permohonan mereka dalam masa nyata.
Pada 3 Oktober, Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke, mengumumkan 112,658 tag VEP telah dikeluarkan, dengan 75,412 telah dipasang dan diaktifkan.
Bagi menjawab pertanyaan ST, jurucakap TCSens – vendor Malaysia yang dilantik oleh JPJ untuk mengendalikan permohonan VEP – berkata ia tidak menggalak permohonan dibuat melalui ejen.
Tetapi ada kes pengguna mendapatkan bantuan melalui wakil, yang dibenarkan mengikut prosedur operasi standard JPJ.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg