JOHOR BAHRU: Malaysia telah mengeluarkan sejumlah 50 amaran kepada pemilik kereta berdaftar Singapura yang memasuki Malaysia kerana tidak memohon Permit Masuk Kenderaan (VEP) sejak penguatkuasaan bermula pada 1 Oktober, kata Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke.
Bercakap dalam sidang media di kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Malaysia di Johor Bahru pada 3 Oktober, Encik Loke berkata sejumlah 112,658 tag VEP telah dikeluarkan, dengan lebih 75,000 telah dipasang dan diaktifkan.
Sebanyak 678 kereta telah diperiksa oleh pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Tambak Johor dan Linkedua.
Namun, notis amaran hanya diberikan kepada pemilik kenderaan yang belum memohon VEP, katanya, lapor The Straits Times (ST).
Mereka yang telah memohon VEP, tetapi belum selesai memasang tag pengenalan frekuensi radio (RFID) VEP pada kenderaan mereka, tidak akan diberi notis amaran.
Pemandu yang terjejas dimaklumkan melalui amaran yang dipancarkan di kaunter pemeriksaan imigresen ketika pasport mereka diperiksa.
Mereka juga akan menerima amaran bertulis dan melalui aplikasi MDGS pada telefon mereka.
Beberapa gambar yang tular namun tidak dapat disahkan mengenai pemandu Singapura yang menerima slip amaran bertulis muncul di media sosial sejak penguatkuasaan bermula pada 1 Oktober.
Sebahagian pemandu yang belum memohon VEP, atau belum memasang tag pada kereta masing-masing, mendakwa mereka diarahkan berpatah balik ke Singapura selepas pegawai JPJ melakukan pemeriksaan pada kenderaan mereka.
Semua kenderaan berdaftar asing yang memasuki Malaysia melalui darat dari Singapura diwajibkan mempunyai VEP mulai 1 Oktober.
VEP berfungsi seperti “kad pengenalan” bagi kenderaan dari luar negara yang memasuki Malaysia.
Antara lain, ia membolehkan pihak berkuasa Malaysia mengesan rekod trafik kenderaan dari luar negara, termasuk saman tertunggak dan kesalahan trafik.
Pemilik kenderaan asing yang tidak mempunyai VEP sah boleh dinafikan kemasukan ke Malaysia, atau didenda sehingga RM2,000 ($614).
JPJ berkata pada 27 September bahawa kenderaan berdaftar asing yang belum memasang tag VEP tetap akan dibenarkan masuk ke Malaysia, dan penguatkuasaan akan dilaksanakan secara berperingkat.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg