“Secara jujurnya, dengan keadaan di mana saya dibesarkan, saya hampir gagal.”
Demikian pengakuan Cik Mumtaz Abdul Halim, 25 tahun, satu-satunya penerima Biasiswa Alla’udin-Masjid Khalid, yang pertama kali disampaikan pada 2024.
Penyampaian anugerah itu dibuat semasa majlis penyampaian Anugerah Biasiswa Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) yang diadakan di Atrium Holiday Inn Singapore pada 13 September.
Acara itu dihadiri oleh Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim.
Dalam ucapannya kepada sekitar 110 tetamu, termasuk 40 penerima biasiswa LBKM yang lain, Encik Zhulkarnain berkata:
“Sejak ditubuhkan pada 1965, LBKM telah secara konsisten menghulurkan bantuan kepada pelajar daripada semua lapisan masyarakat dan daripada pelbagai bidang pengajian di institusi setempat dan luar negara.
“Pelbagai bentuk bantuan kewangan yang disediakan telah berjaya mengurangkan kebimbangan kewangan yang mungkin dihadapi oleh para pelajar semasa memulakan perjalanan pendidikan mereka.”
Encik Zhulkarnain menambah bahawa beliau berasa berbesar hati dengan kerjasama antara beberapa pertubuhan penderma, seperti Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) dan Masjid Khalid untuk mewujudkan biasiswa bersama demi menyokong liputan lebih luas pelajar lepasan ijazah.
Biasiswa Alla’udin-Masjid Khalid, yang dilancarkan pada April 2023, ditubuhkan dengan kerjasama antara Masjid Khalid dengan LBKM bagi para pelajar lepasan ijazah yang terlibat dalam bidang penyelidikan yang bertujuan memupuk kepercayaan dan keselamatan dalam lingkungan masyarakat.
Dengan biasiswa tersebut, Cik Mumtaz bakal menerima $10,000 untuk menampung yuran tuisyen serta kos perbelanjaan lain.
Beliau kini mengikuti pengajian Sarjana Undang-Undang (LLM) dalam jurusan Undang-Undang dan Teknologi di Universiti Pengurusan Singapura (SMU).
Menceritakan kisah hidupnya dengan Berita Harian, Cik Mumtaz, dengan linangan air mata, berkata: “Ibu saya menjadi inspirasi saya. Beliau pernah menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
“Beliau kerap mendidik saya bahawa pendidikan menjadi kunci supaya saya boleh berdikari sebagai seorang wanita.”
Kursus Undang-undang dan Teknologi yang baru dilancarkan oleh SMU memberi pelajar pendedahan kepada isu undang-undang dan pengawalan terkini bagi teknologi pengurusan data, kecerdasan buatan (AI), rantaian bekalan dan teknologi kewangan (fintech).
Cik Mumtaz berminat meninjau bidang AI dan kemajuan teknologi lain yang boleh digunakan sebagai bukti di bilik mahkamah.
“Selalunya, terdapat beberapa bidang undang-undang yang dahulunya tidak berkaitan dengan teknologi.
“Sebagai contoh, dalam keganasan rumah tangga, anda mempunyai laporan kesihatan daripada doktor sebagai bukti seseorang telah menjadi mangsa keganasan,” ujar Cik Mumtaz.
“Bagi keganasan lain, seperti penderaan narsistik di mana emosi berbagai-bagai pihak juga terlibat, adalah sukar bagi seseorang membuktikan bahawa mereka adalah mangsa tanpa bukti,” tambahnya.
Cik Mumtaz bersyukur dengan sokongan yang diberikan sehingga beliau meraih biasiswa itu.
“Saya secara jujur amat bersyukur dengan betapa indahnya Allah swt telah merancang kehidupan saya, dan saya hanya mampu mengucapkan alhamdulillah.
“Jadi saya fikir, jika saya terpaksa melalui semua yang saya lalui sekali lagi, dengan mengetahui bahawa saya akan berada di mana saya berada hari ini, saya dengan senang hati akan melaluinya lagi,” ujar beliau.
“
“Saya secara jujur amat bersyukur dengan betapa indahnya Allah swt telah merancang kehidupan saya, dan saya hanya mampu mengucapkan alhamdulillah. Jadi saya fikir, jika saya terpaksa melalui semua yang saya lalui sekali lagi, dengan mengetahui bahawa saya akan berada di mana saya berada hari ini, saya dengan senang hati akan melaluinya lagi.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg