Dibesarkan di Rumah Kanak-Kanak Pertapis dari usia tiga tahun hingga tujuh tahun, Encik Mohamed Shahfiq Mohamed Sharom, cukup faham cabaran yang dihadapi kanak-kanak yang dijaga di rumah kebajikan itu.
Kini berusia 19 tahun dan seorang pelajar Nitec Lanjutan dalam Perniagaan Runcit di Institut Pendidikan Teknikal (ITE), beliau membalas budi dengan menyumbang kembali dan menawar khidmat di rumah yang pernah menjadi tempat perlindungannya dulu.
Beliau meluangkan masa dan tenaga untuk kerja sukarela, dengan harapan dapat membawa perubahan kepada kehidupan kanak-kanak di Pertapis.
“Saya suka melihat senyuman yang terukir di wajah kanak-kanak di sana (Pertapis) dan benar-benar berasa seronok melakukan kerja sukarela kerana inilah impian saya untuk menyumbang kembali kepada masyarakat.” ujar Encik Shahfiq.
Encik Shahfiq masih ingat lagi perasaan takut apabila beliau bersama tujuh adik-beradiknya ditempatkan di rumah kebajikan Pertapis disebabkan keadaan keluarga mereka waktu itu.
Namun, kakitangan di rumah itu membuat mereka berasa lebih selamat dan menganggap mereka sebagai anak mereka sendiri.
“Saya ingat kali pertama saya terima kek hari jadi daripada Pak Hassan (kakitangan rumah kebajikan itu) apabila saya di Tadika Dua,” kata Encik Shahfiq.
Sementara itu, seorang lagi kakitangan yang dikenalinya sebagai Mak B, turut membina sebuah taman permainan khas untuk Encik Shahfiq serta tujuh adik-beradiknya untuk bermain bersama.
Kebaikan mereka meninggalkan kesan yang mendalam bagi Encik Shahfiq.
“Setiap pengalaman ini mengajar saya pentingnya memberi sokongan kepada orang lain,” ujarnya.
Encik Shahfiq kini tinggal bersama ibu tunggalnya serta dua adiknya yang lain.
Bagi Encik Shahfiq, ibunya menjadi sumber inspirasi beliau.
Sejak kecil lagi, ibunya menanamkan nilai kerja sukarelawan dalam dirinya, sering mengingatkannya untuk bersikap baik hati dan pemurah.
Beliau juga merupakan sukarelawan bagi inisiatif, Free Food For All, dengan membantu untuk menghantar barangan makanan kepada penduduk, yang dijalankan di bawah blok rumahnya.
Selain melakukan kerja sukarela di Pertapis, Encik Shahfiq juga aktif dengan pelbagai acara di sekolah.
Beliau sering membantu untuk merancang acara seperti Hari Sukan, Hari Raya dan majlis berbuka puasa.
Sebagai pengiktirafan di atas dedikasinya, Encik Shahfiq telah dianugerahkan Anugerah Sukarelawan Cemerlang Sinar Bakti Tabung Amal Aidilfitri (TAA) 2024 baru-baru ini.
Anugerahnya itu mengiktiraf pencapaian beliau menyelesaikan 88 jam kerja sukarela, melebihi keperluan minimum sebanyak 14 jam.
Program Sinar Bakti dimulakan TAA pada 2024 untuk memberi peluang kepada pelajar posmenengah daripada keluarga benefisiari TAA, menyumbang kembali kepada masyarakat melalui kerja sukarela.
Peserta juga diberikan ganjaran atas usaha mereka dengan menerima $100 bagi setiap lapan jam sumbangan yang dilakukan sebagai tanda penghargaan.
Ganjaran tersebut bertujuan membantu dalam menampung perbelanjaan seharian mereka.
Daripada pengalamannnya menjadi sukarelawan, ada satu peristiwa yang sukar dilupakan Encik Shahfiq.
Beliau teringat seorang budak lelaki yang berkongsi cita-citanya untuk menjadi tukang masak tetapi berasa kecewa kerana orang lain mengatakan pekerjaan itu hanya untuk perempuan.
Encik Shahfiq meluangkan masa berbual dengannya dan memberikan budak lelaki itu kata-kata perangsang.
Kini, Encik Shahfiq berasa bangga apabila mengetahui bahawa budak lelaki itu telah berjaya mengejar cita-citanya.
Bagi dirinya pula, Encik Shahfiq bercita-cita untuk menjadi anggota bomba suatu hari nanti.
Ketika di sekolah menengah, beliau telah menyertai Pasukan Kadet Pertahanan Awam Kebangsaan (NCDCC) dan mendapati beliau gemar dengan rutin yang mencabar serta peluang untuk membantu orang lain.
Beliau berpegang teguh pada prinsip: “Jangan sesekali berputus asa. Ini hidup kamu, dan hanya kamu yang boleh menentukannya”.
“
Saya suka melihat senyuman yang terukir di wajah kanak-kanak di sana (Pertapis) dan benar-benar berasa seronok melakukan kerja sukarela kerana inilah impian saya untuk menyumbang kembali kepada masyarakat.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg