Di kolong Blok 228A Ang Mo Kio Street 23, tiga kanak-kanak berseragam sekolah duduk di meja batu sambil berkongsi semangkuk bijirin.
Walaupun sajian dihidangkan terhad pada pagi itu, mereka tidak keberatan untuk berkongsi.
Bagi Cik Lydia Susiyanti Sukarbi, 36 tahun, detik seperti itu menjadi inspirasi untuk meneruskan usaha menyediakan makanan percuma bagi kanak-kanak, yang dimulakannya sejak Februari lalu.
Menurut beliau, berdasarkan pengalamannya, masih terdapat kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah yang ke sekolah tanpa bersarapan.
Justeru, beliau berharap tiada kanak-kanak di kejiranannya perlu memulakan hari persekolahan dalam keadaan perut kosong.
“Ini satu kenyataan yang masih berlaku dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah,” kata Cik Lydia Susiyanti.
Dengan itu, beliau memulakan projek yang dipanggil Breakfast Buddy dengan menyediakan sarapan ringkas setiap hari untuk kanak-kanak di blok tersebut.
Daripada hanya lapan kanak-kanak yang menyertai program itu semasa dilancarkan empat bulan lalu, jumlah itu kini melonjak kepada sekitar 30 hingga 35 setiap pagi.
Meskipun bersyukur atas sambutan usaha tersebut, antara cabaran Cik Lydia hadapi ialah kekurangan ruang untuk menyimpan barang makanan.
Menu yang ditawarkan juga telah berubah.
Cik Lydia Susiyanti pernah menyediakan telur goreng, sosej dan roti, tetapi kini menunya lebih selaras dengan cita rasa kanak-kanak seperti roti dengan krim coklat Nutella, bijirin Froot Loops dan minuman Milo panas.
Perubahan menu itu pada mulanya memerlukan beliau untuk memperuntuk lebih 10 peratus daripada pendapatan hasil tiga kerja sambilan untuk membeli ‘barang dapur’.
“Pada mulanya, memang saya gunakan sekitar $300 daripada pendapatan sendiri untuk menampung keperluan makanan.
“Ia satu pengorbanan, tetapi saya percaya jika niat kita baik, bantuan akan datang secara semula jadi,” ujar beliau.
Mujur, bantuan daripada badan masyarakat seperti Pejabat Perkongsian Pemerintah Singapura (SGPO) telah menghubungkannya dengan Persatuan Rakyat (PA) untuk mendapatkan ruang stor di Rangkaian Penduduk Teck Ghee Palm View.
Selain itu, sumbangan dalam bentuk barangan daripada pihak luar seperti Chua Foundation turut meringankan beban beliau dalam meneruskan usahanya itu.
Sementara itu, Cik Lydia turut mendapat sokongan penuh daripada suaminya yang memainkan peranan penting dalam menjaga anak-anak mereka semasa beliau menjalankan inisiatif itu.
Suaminya, Encik Mohammad Kahirul Abdul Aziz, 37 tahun, yang tidak dapat bekerja selepas terlibat dalam kemalangan semasa bertugas sebagai pemandu bot pelancong berkata:
“Meskipun jarang menyumbang dari segi tenaga, peranan saya adalah memastikan urusan rumah tangga berjalan lancar supaya Lydia dapat menumpukan sepenuh perhatiannya kepada kegiatan sukarelawan beliau.”
Seorang lagi yang membantu menjayakan inisiatif itu ialah rakan sukarelawan, Cik Halinah Yatim, 52 tahun, yang telah membantunya setiap pagi.
Walaupun bantuan kini lebih stabil, Cik Lydia berpendapat bahawa sokongan masyarakat tetap penting untuk memastikan inisiatif ini dapat terus berjalan.
Justeru, beliau mengalu-alukan lebih ramai orang tampil menghulurkan bantuan menyokong program itu, dari segi wang atau tenaga bagi menaja kegiatan hujung minggu bagi kanak-kanak di bawah usaha ini.
“Setiap sumbangan boleh membawa senyuman dan harapan buat kanak-kanak ini.
“Selagi mereka dapat mulakan hari dengan perut yang kenyang dan hati yang gembira, itu sudah memadai buat saya,” jelas Cik Lydia.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg