Pernah trauma hampir lemas, kini bapa 2 anak bergelar ‘IRONMAN’

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pernah trauma hampir lemas, kini bapa 2 anak bergelar ‘IRONMAN’

Atasi rasa takut air sertai acara ‘Ironman’ dua kali yang rangkumi cabaran renang, berbasikal dan lari
Jan 11, 2026 | 5:30 AM

Pernah trauma hampir lemas, kini bapa 2 anak bergelar ‘IRONMAN’

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Encik Muhammad Noor Fadzly Othman, melintasi garisan penamat dengan mengenakan tanjak sebagai ‘trademark’ di acara ‘Ironman’ yang berlangsung di Busselton, Australia Barat.
Encik Muhammad Noor Fadzly Othman, melintasi garisan penamat dengan mengenakan tanjak sebagai ‘trademark’ di acara ‘Ironman’ yang berlangsung di Busselton, Australia Barat. - Foto ihsan MUHAMMAD NOOR FADZLY OTHMAN

Selepas terselamat daripada peristiwa hampir lemas yang mengancam nyawa pada 2001, mengharungi selama hampir dua dekad, Encik Muhammad Noor Fadzly Othman, bergelut dengan akuafobia – rasa takut melampau terhadap air.

Peristiwa yang sukar dilupakan itu berlaku ketika beliau berusia 20 tahun, semasa berenang bersama rakan-rakan sekolah politekniknya.

Tanpa disedari, beliau berenang ke bahagian kolam yang lebih dalam, menyebabkan beliau hampir lemas dan terpaksa menjerit meminta pertolongan.

Mujur, ada individu yang berada di lokasi tersebut menyelamatkannya.

Namun, kejadian itu meninggalkan parut emosi yang mendalam.

Menurut Encik Fadzly, trauma tersebut menghantui dirinya selama bertahun-tahun lamanya sehingga beliau bukan sahaja tidak mampu berenang, malah, berasa gentar apabila berada di dalam kolam yang airnya melebihi paras leher.

Hanya 19 tahun kemudian dan didorong oleh keinginan untuk berenang bersama anak-anaknya yang sedang menghadiri sesi latihan berenang, pembangun web kanan di sebuah syarikat perjualan dalam talian, FortyTwo, itu akhirnya memberanikan diri untuk berdepan dengan rasa takut terhadap air.

“Anak-anak saya adalah motivasi terbesar saya. Saya mahu berenang dan meluangkan masa bersama mereka tanpa rasa takut,” katanya yang kini berusia 45 tahun.

Keputusan itu menjadi titik perubahan besar dalam hidupnya.

Daripada seorang individu yang tidak mampu berenang dan takut kepada air, bapa dua orang anak itu telah meraih pencapaian yang kelihatan mustahil sedikit masa dahulu – iaitu menamatkan maraton pertandingan ‘Ironman’ keduanya.

Namun, beliau mengakui perjalanan untuk menghilangkan rasa fobia itu bukan sesuatu yang mudah.

Pada 2015, beliau mula menghadiri kursus berenang secara formal.

Walaupun berjaya menamatkan latihan tersebut, jiwa atlet dalam dirinya masih belum berpuas hati, dan rasa takut terhadap air masih belum lenyap sepenuhnya.

“Saya sedar bahawa saya memerlukan satu kegiatan sebagai pemangkin untuk mendorong diri saya melangkaui rasa takut – dan di situlah acara triatlon mula menjadi sebahagian daripada perjalanan saya,” katanya yang juga merupakan seorang atlet balapan.

Beliau kemudian mula mencari jurulatih yang sesuai untuk membantunya keluar daripada zon selesa demi mempersiapkan diri bagi acara triatlon dengan lebih baik.

Usaha itu membuahkan hasil apabila pada 2023, beliau menyertai acara ‘Ironman’ pertamanya di Langkawi selepas menyertai beberapa acara triatlon sebelum ini.

Perlumbaan ‘Ironman’ tersebut merangkumi tiga acara – renang sejauh 3.8 kilometer (km); berbasikal 180 km; dan lari 42.2 km.

Walaupun masih dihantui rasa takut semasa acara renang, beliau bersyukur kerana berjaya mengawal emosinya.

Menurutnya, ketika perlumbaan berlangsung, terdapat beberapa peserta lain yang gagal menyelesaikan cabaran renang dan terpaksa dibantu keluar oleh pihak penganjur.

“Saya rasa sangat bernasib baik kerana tidak berada dalam kelompok yang sama. Jika tidak, mungkin semangat saya akan tergugat untuk meneruskan perlumbaan.

“Peserta dalam kelompok ini menyaksikan sendiri beberapa individu dibawa keluar dari air – dan ini satu pemandangan yang sememangnya menguji mental,” kongsinya.

Encik Fadzly berjaya menamatkan ‘Ironman’ pertamanya dengan catatan masa peribadi yang baik.

Pada 7 Disember 2025, beliau kembali mencabar diri dengan menyertai ‘Ironman’ keduanya di Busselton, Australia Barat.

Menurutnya persiapannya ketika itu termasuk menyesuaikan diri dengan keadaan air yang lebih sejuk akibat lokasi yang berlainan.

Persiapan tersebut juga dilakukan melalui latihan secara tekal bersama kumpulan penggiat sukan triatlon, Terai-Melayu SG.

Latihan mereka merangkumi sesi pagi dan petang selama 14 jam hampir setiap minggu selama lima bulan bagi mempersiapkan diri menghadapi tiga disiplin ‘Ironman’.

Walaupun diuji dengan kekejangan otot dan hampir dua kali disingkirkan akibat had masa penamat yang ketat, Encik Fadzly tetap memaksa diri untuk terus mara dan menamatkan perlumbaan.

“Ini untuk diri saya sendiri dan demi keluarga yang telah memberikan sokongan padu sejak awal lagi,” kata bekas atlet pentatlon nasional.

Pentatlon nasional adalah sukan Olimpik yang menguji kepelbagaian kemahiran melalui lima disiplin iaitu lawan pedang, renang, menunggang kuda, tembakan laser dan larian merentas desa.

Segala usahanya selama ini membuahkan hasil apabila beliau melintasi garisan penamat dengan mengenakan tanjak sebagai ‘trademark’.

“Tanjak ini menambah elemen warna dan budaya dalam perlumbaan, di samping menjadi simbol bahawa orang Melayu juga mampu menamatkan acara triatlon yang mencabar,” kata Encik Fadzly yang sentiasa mempersiapkan diri bagi acara perlumbaan seterusnya.

Pengalamannya turut dirakamkan dalam buku berjudul, #ICUCAN1 MY TRIATHLON JOURNEY, yang diterbitkan oleh Encik Fadzly pada 2024, sebagai jurnal beliau menangkis rasa takut dan bangkit daripada kegagalan.

Buku fizikal itu boleh ditempah secara dalam talian dengan harga $20 senaskhah. Ia juga terdapat secara dalam talian.

Buku berjudul, ‘#ICUCAN1 MY TRIATHLON JOURNEY’, yang dihasilkan oleh, Encik Muhammad noor Fadzly Othman, menjadi catatan peribadi beliau yang ingin memberi inspirasi kepada para pembaca agar berani menghadapi rasa takut dalam diri masing-masing.
Buku berjudul, ‘#ICUCAN1 MY TRIATHLON JOURNEY’, yang dihasilkan oleh, Encik Muhammad noor Fadzly Othman, menjadi catatan peribadi beliau yang ingin memberi inspirasi kepada para pembaca agar berani menghadapi rasa takut dalam diri masing-masing. - Foto-foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Semangat Encik Fadzly turut memberi inspirasi kepada dua sahabatnya, Encik Robin Koh, 41 tahun, dan Encik Shamsuri A Rahman, 55 tahun.

Mereka turut menyahut cabaran menyertai perlumbaan separuh ‘Ironman’ buat kali pertama di Busselton, Australia Barat, menjadikan perjuangan peribadi itu satu kejayaan yang dikongsi bersama.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg