Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih dari pingat, atlet BMX pikul harapan penggiat basikal di pentas Sukan SEA

Bagi Mikha Zuhayr Norman, penampilan di Sukan SEA 2025 merupakan pencapaian peribadi dan untuk komuniti BMX
Dec 11, 2025 | 7:27 PM
BMX, Sukan SEA 2025, Mikha Zuhayr
Atlet BMX Singapura, Mikha Zuhayr Norman, beraksi di trek BMX dan ‘pump track’ di Choa Chu Kang pada 15 November. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Di bawah terik matahari di kejiranan Keat Hong, Mikha Zuhayr Norman giat berlatih menjelang penampilan sulungnya di pentas Sukan SEA 2025 ini.

Mikha menarik perhatian penduduk di sekeliling trek BMX dan pump track di Choa Chu Kang apabila melompat lebih tiga meter ke udara ketika mengayuh basikalnya di atas bonggol trek itu.

Bercakap kepada Berita Harian (BH), Mikha berkata ramai orang sering menyaksikan beliau dan pasukan BMX berlatih, malah ada yang menyapa mereka dari pintu pagar.

“Ia menggembirakan saya apabila melihat orang lain menunjukkan minat dalam sukan kami. Selalunya mereka memuji aksi lasak kami di trek dan bertanya bila trek ini akan dibuka (kepada umum) supaya mereka boleh datang mencuba,” kata Mikha sambil bersenyum.

Bagi Mikha, temasya Sukan SEA Thailand ini bukan sekadar detik untuk beliau mempamerkan kerja keras sejak mula bergiat dalam sukan itu.

Ia juga melambangkan peningkatan populariti sukan BMX di samping peluang keemasan untuk mendorong kemunculan generasi pelumba BMX yang baru.

Walaupun baru berusia 18 tahun, Mikha sudah kerap berlumba di peringkat antarabangsa seperti di Australia, Malaysia, Thailand, Korea Selatan dan juga Amerika Syarikat.

Pada Julai 2025, beliau menjuarai Kejohanan BMX Malaysia bagi kategori Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) Belia Lelaki.

Sambutan baik terhadap acara basikal BMX di serata dunia telah membakar semangatnya untuk menyumbang kepada perkembangan sukan kesayangannya itu di Singapura.

Selain memartabatkan sukan BMX Singapura dengan mencapai prestasi cemerlang di kejohanan antarabangsa, beliau juga rajin menggunakan media sosial untuk berinteraksi dengan bakal penggiat BMX.

Mikha juga berhasrat mendapat lesen kejurulatihannya pada 2026 untuk membantu jurulatihnya, Mohamed Farhaan Bakar.

“Saya harap melihat lebih ramai orang mencuba sukan ini agar komuniti BMX boleh berkembang. Kini kita ada kemudahan khas untuk BMX dan pasukan nasional,” kata Mikha.

Atlet BMX Singapura, Mikha Zuhayr Norman, mulanya berjinak-jinak di dalam jenis basikal ‘mountain bike’ dan ‘road bike’ setelah berlatih bersama ibunya, Anita Abdul Gani, yang merupakan atlet triatlon dan Ironman.
Atlet BMX Singapura, Mikha Zuhayr Norman, mulanya berjinak-jinak di dalam jenis basikal ‘mountain bike’ dan ‘road bike’ setelah berlatih bersama ibunya, Anita Abdul Gani, yang merupakan atlet triatlon dan Ironman. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Mikha telah banyak menunjukkan kemajuan sejak mula berjinak-jinak dengan acara ‘mountain bike’ dan ‘road bike’ – mengikuti jejak langkah ibunya, Anita Abdul Gani, yang pernah aktif bersaing dalam sukan triatlon dan Ironman.

Si ibu sendiri tidak menyangka puteranya itu akan beralih ke basikal BMX.

“Sejak kecil lagi, Mikha hebat mengendalikan basikal ‘mountain bike’ dan ‘road bike’. Saya masih ingat lagi Mikha kelihatan kekok apabila mencuba basikal BMX pada usia 10 tahun,” kata Anita sambil tersenyum.

Anita bertambah: “Saya sangat bangga dengan perkembangan Mikha di peringkat tempatan dan antarabangsa... beliau semakin yakin dan berdikari.”

Mikha bersyukur boleh sentiasa bergantung kepada sokongan ibunya, yang juga seorang ibu tunggal, dalam mengatasi pelbagai halangan dalam persiapannya untuk ke Sukan SEA ini.

Pada Ogos, ibunya telah membantu menggantikan basikalnya yang rosak serta menyusun semula jadual penerbangan dan latihan supaya beliau dapat peluang ke Bangkok untuk berlatih di trek perlumbaan Sukan SEA.

Mikha menambah: “Sejak dulu, ibu saya membiayai kos latihan dan menghubungkan saya dengan pelbagai jurulatih dari luar negara... beliau kerap meringankan beban tekanan yang saya hadapi.”

Di Thailand, Mikha akan berlumba di trek sepanjang 410 meter yang mempunyai tanjakan setinggi lapan meter di garis permulaan. Trek perlumbaan tersebut terdiri daripada laluan ‘pro’ yang merangkumi bonggol besar untuk lompatan lebih tinggi, dan laluan ‘rhythm’ yang merangkumi beberapa bonggol kecil.
Di Thailand, Mikha akan berlumba di trek sepanjang 410 meter yang mempunyai tanjakan setinggi lapan meter di garis permulaan. Trek perlumbaan tersebut terdiri daripada laluan ‘pro’ yang merangkumi bonggol besar untuk lompatan lebih tinggi, dan laluan ‘rhythm’ yang merangkumi beberapa bonggol kecil. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Dengan kurang sebulan sebelum temasya Sukan SEA, Mikha memberi fokus sepenuhnya kepada persiapan untuk acara ujian masa individu (time trial) dan perlumbaan BMX.

Mikha kekal tenang walaupun mengakui tidak dapat banyak peluang untuk berlatih di trek yang mempunyai tanjakan setinggi lapan meter, seperti di trek BMX Sukan SEA 2025.

Beliau berbual dengan penuh keyakinan bahawa kerja kerasnya selama beberapa bulan ini akan menyerlah dalam perlumbaan sengit 45 saat yang penuh dengan adrenalin.

“Setiap minggu, saya mengasah teknik melompat dan mengawal basikal... lama-kelamaan saya menjadi lebih yakin dengan keupayaan saya,” ujar Mikha.

Mikha bertambah: “Saya bangga dapat beraksi di pentas sebesar Sukan SEA dan saya tak sabar untuk bersaing dengan atlet elit yang hebat dari rantau ini.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg