Topik diikuti
Pergi ke BHkuPerniagaan gagal pada usia muda, semangat kejar cita-cita tidak pernah luntur
Ahmad Musoddaq Ahmad Mazhar kini lanjut pengajian di NUS, antara empat penerima sulung Dermasiswa Pendidikan BH-AMP
Perniagaan gagal pada usia muda, semangat kejar cita-cita tidak pernah luntur
Bagi Encik Ahmad Musoddaq Ahmad Mazhar, kegagalan bukanlah pengakhiran, sebaliknya peluang untuk bangkit dan terus memperbaiki diri.
Pegangan itu lahir daripada pengalamannya menubuhkan agensi pemasaran AXKA pada usia 18 tahun, yang terpaksa ditutup selepas setahun beroperasi dek masih hijau dalam dunia perniagaan.
Sebagai rakan kongsi pengurusan, beliau bertanggungjawab menyelaras tugas empat anggota pasukannya serta mengawasi pelaksanaan projek.
“Saya belajar orang yang kita bekerja bersama sangat penting.
“Mereka mungkin kawan yang baik, tetapi apabila melibatkan kerja, kita perlu memilih orang yang boleh bekerjasama dan menerima maklum balas.
“Antara sebab perniagaan itu gagal ialah kami tidak dapat bekerjasama dengan baik,” katanya, 22 tahun, kepada Berita Harian (BH).
Ketika itu, beliau menuntut di Politeknik Singapura (SP) dalam bidang Media, Seni dan Reka Bentuk (Pemasaran dan Komunikasi Bersepadu), sebelum menamatkan pengajian pada 2024.
Wawancara tersebut diadakan sempena majlis penyampaian Dermasiswa Pendidikan BH-AMP yang buat kali pertama berlangsung di Auditorium SPH pada 9 Oktober.
Dermasiswa itu disampaikan oleh tetamu terhormat, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad dalam majlis itu.
Encik Musoddaq, yang kini merupakan mahasiswa tahun pertama Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan (Kepujian) dalam Komunikasi dan Media Baharu, dengan jurusan kedua dalam Analisis Data di Universiti Nasional Singapura (NUS), merupakan antara empat penerima dermasiswa tersebut.
Selain Encik Musoddaq, tiga lagi penerima ialah mahasiswa tahun kedua Pengajian Melayu di Universiti Nasional Singapura (NUS), Encik Syahmi Akmal Hakim Mohamad Ismail, 23 tahun; pelajar Diploma Pengurusan Komunikasi Media di Politeknik Nanyang (NYP), Cik Haifa Norhaizal, 24 tahun; serta penuntut Diploma Pendidikan (Bahasa Melayu) di Institut Pendidikan Nasional (NIE), Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Cik Siti Nur Syahirah Yusman, 24 tahun.
Di bawah dermasiswa itu, pelajar politeknik menerima $1,500 manakala mahasiswa universiti menerima $2,500.
Dermasiswa itu bukan sahaja menyediakan bantuan kewangan, malah turut menawarkan peluang bimbingan mentor, latihan amali dan lawatan pembelajaran.
Menurutnya, pengalaman gagal itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus mengejar cita-cita baharu.
Malah, sebagai penerima dermasiswa itu, beliau berazam memanfaatkan bantuan tersebut sebaik mungkin bagi menyokong pengajiannya.
Anak keempat dalam keluarga lima beradik itu turut berharap dapat menjadi inspirasi kepada golongan muda agar tidak mudah berputus asa menghadapi cabaran di menara gading.
“Saya percaya kita perlu berani mencuba sesuatu kerana kita mungkin akan menyesal jika tidak mengambil peluang tersebut.
“Kalau sudah mahu mencuba, lakukanlah dengan sepenuh hati.
“Jangan sekadar mencuba separuh jalan atau masih berasa ragu-ragu,” ujarnya, yang bercita-cita untuk menimba pengalaman di syarikat pemasaran terkemuka dunia dan mengendalikan kempen jenama antarabangsa.