PERNIAGAAN makanan kecil-kecilan di rumah (HBB) akan perlu mematuhi langkah pengurusan selamat yang ketat apabila mereka dibenarkan beroperasi semula mulai 12 Mei ini, kata Kementerian Sekitaran dan Sumber Air (MEWR) dalam kenyataannya hari ini.

MEWR berkata HBB akan dibenarkan menerima dan mempersiapkan tempahan yang akan dipenuhi mulai 12 Mei ini, namun mereka perlu mematuhi langkah-langkah dalam satu senarai garis panduan.

Berikut garis panduan yang disediakan kementerian itu:

1. Hanya penghantaran dan pengambilan tempahan makanan dibenarkan.

2. Hanya individu yang tinggal di dalam rumah yang sama, iaitu menetap di alamat rumah yang sama, boleh bekerja dalam HBB itu. Individu daripada rumah lain tidak dibenarkan memasuki rumah peniaga untuk membantu dalam persiapan makanan.

3. Pengendali makanan juga perlu mengamalkan kebersihan dan keselamatan semasa mempersiapkan makanan.

4. Kaedah penghantaran atau pengambilan tempahan termasuk membolehkan pelanggan mengambil tempahan mereka sendiri, dan pemilik perniagaan menghantar tempahan tersebut atau dengan menggunakan syarikat penghantaran pihak ketiga. Langkah pengurusan selamat berikut mesti diamalkan:

a) Pastikan kaedah penghantaran/pengambilan tiada sentuhan - Jarak selamat sekurang-kurangnya 1 meter mesti dikekalkan antara penjual dengan pekerja penghantaran atau pembeli pada setiap masa. Penjual juga mesti menggunakan pelitup muka (meskipun jika berada di pintu rumah) semasa pengambilan tempahan. Letakkan atau gantung makanan di pintu/pagar di luar unit dan elakkan interaksi bersemuka sejauh mungkin.

b) Pengambilan tempahan makanan hanya boleh dibuat menerusi janji temu sahaja - Masa pengambilan harus dijarakkan dan hanya satu orang saja (pembeli atau pekerja penghantaran) harus mengambil makanan pada satu masa. Tidak boleh ada orang yang berkumpul. Tidak harus ada orang yang menunggu atau beratur di kawasan am.

c) Gunakan kaedah bayaran tanpa tunai - Tidak boleh ada pertukaran wang secara fizikal. Gunakan kaedah bayaran tanpa tunai, seperti PayNow, pemindahan bank dan sebagainya.

d) Gunakan alat digital untuk membolehkan penjejakan kontak lebih pantas - Penjual, pekerja penghantaran dan pembeli digalak memuat turun dan menggunakan aplikasi TraceTogether secara aktif. Agensi Makanan Singapura (SFA) mungkin memerlukan aplikasi lain dimuat turun dan digunakan. Butiran lanjut akan disediakan.

MEWR berkata jamuan privet di rumah tidak akan dibenarkan.

HBB yang menyediakan barangan dan perkhidmatan lain, seperti barang kemas dan kain, dan yang melibatkan pengunjung, pelanggan atau khidmat penghantaran pihak ketiga datang ke premis untuk mengambil dan/atau menghantar barangan juga akan terus ditutup.

Kementerian itu menambah bahawa agensi penguatkuasaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang tidak mematuhi langkah-langkah.

"Bagi HBB yang gagal mematuhi langkah pengurusan selamat, pesalah kali pertama akan dikenakan denda kompaun $1,000, dan pesalah berulang akan dikenakan denda lebih tinggi atau didakwa di mahkamah.

"Bagi pelanggan atau penyedia khidmat penghantaran pihak ketiga yang melanggar langkah-langkah tersebut, pesalah kali pertama akan dikenakan denda kompaun $300, dan pesalah berulang akan dikenakan denda $1,000 atau didakwa di mahkamah," kata MEWR.