Topik diikuti
Pergi ke BHkuPerpustakaan awam di Ang Mo Kio, Queenstown akan tutup sementara
Perpustakaan awam di Ang Mo Kio, Queenstown akan tutup sementara
Perpustakaan awam di Ang Mo Kio, Queenstown akan tutup sementara
Perpustakaan awam di Ang Mo Kio dan Queenstown akan ditutup buat sementara waktu pada separuh kedua 2026.
Perpustakaan Ang Mo Kio akan berpindah, manakala Perpustakaan Queenstown pula akan menjalani pengubahsuaian.
Ini didedahkan Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) pada 22 Jun melalui satu catatan Facebook.
Hari terakhir operasi Perpustakaan Ang Mo Kio di premisnya kini di 4300 Ang Mo Kio Avenue 6 adalah 31 Julai.
Perpustakaan Ang Mo Kio yang baharu akan dibuka semula pada 20 November di AMK Hub, menawarkan pengunjung “ketersambungan yang lebih baik dan pengalaman perpustakaan yang baharu, diinspirasikan oleh ruang hijau”, kata NLB.
Ruang baharu itu akan menampilkan rak-rak buku yang tinggi dan ciri-ciri reka bentuk yang diilhamkan oleh mercu tanda ikonik kawasan tersebut, kata NLB sebelum ini, sambil menambah, pengunjung perpustakaan boleh menantikan pengalaman interaktif baharu.
Sementara itu, pengunjung perpustakaan digalakkan menggunakan kios layan diri ‘Browse-n-Borrow’ dan ‘Sit-n-Read Node’ di tingkat 4 AMK Hub, atau mengunjungi perpustakaan awam di Bishan, Yishun dan Toa Payoh untuk terus mendapatkan sumber perpustakaan.
Hari terakhir operasi Perpustakaan Queenstown di 53 Margaret Drive adalah pada 30 Ogos, dan dijangka dibuka semula pada akhir 2028 selepas pengubahsuaiannya.
Pemukaan ikonik perpustakaan awam tertua Singapura itu akan dikekalkan, sementara warisan perpustakaan yang kaya dan masyarakat Queenstown di sekelilingnya akan dijalin ke dalam reka bentuk dan tawaran baharu perpustakaan itu, kata NLB dalam catatan pada 22 Jun.
Perpustakaan Queenstown dibuka pada 1970 dan diwartakan untuk pemuliharaan pada 2013, yang mensyaratkan permukaan luarannya dikekalkan.
Penutupan sementaranya selepas 30 Ogos adalah susulan “kerja persediaan yang menyeluruh memandangkan statusnya sebagai bangunan pemuliharaan yang diwartakan”, tambah NLB.
Perpustakaan itu pada asalnya dijadualkan ditutup untuk pengubahsuaian pada suku pertama 2025, sebagai sebahagian pelan transformasi yang lebih luas untuk perpustakaan awam di Singapura.
Penutupan sementara Perpustakaan Ang Mo Kio dan Queenstown itu berlaku selepas Perpustakaan Bukit Batok yang baru diubah suai dibuka semula lebih awal pada 2026 sebagai perpustakaan pertama di Singapura yang menampilkan landskap bunyi imersif.
