Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18

Perpustakaan Central dibuka semula dengan ruang biodiversiti marin baru, penceritaan AI

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Perpustakaan Central dibuka semula dengan ruang biodiversiti marin baru, penceritaan AI

Jan 12, 2024 | 07:12 PM



Perpustakaan Awam Central Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) telah membuka semula pintunya selepas menjalani ubah elok selama 18 bulan.

Ia sekarang mempunyai, antara lain, bilik pembelajaran bertemakan biodiversiti marin untuk kanak-kanak, dan menyediakan pengalaman bercerita menggunakan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi realiti.

Berucap semasa perasmian perpustakaan itu pada 12 Januari, Menteri Perhubungan dan Penerangan, Cik Josephine Teo, berkata perpustakaan adalah tempat khazanah ilmu dan mempunyai tempat istimewa dalam masyarakat.

“Perpustakaan boleh berkembang dan terus menjadi hab pengetahuan dan penemuan... untuk generasi akan datang. Dalam dunia hari ini yang dikuasai oleh platform digital dan peningkatan kandungan, perpustakaan harus mencari cara baru untuk memperkasa orang untuk belajar dan berhubung,” kata beliau.

NLB melancarkan Pelan Tindakan Perpustakaan dan Arkib 2025 (LAB25) pada Oktober 2021 sebagai usaha mencipta pengalaman membaca, pembelajaran dan penemuan yang bermakna di perpustakaan untuk semua orang.

“Hari ini, kita mengorak langkah seterusnya dalam perjalanan transformasi perpustakaan kita.

“Perpustakaan Awam Central telah diperbaharui dengan banyak ciri baru. Tiada yang lebih baik daripada merasai sendiri ciri-ciri baru ini dalam perpustakaan yang telah diubah elok,” kata Cik Teo.

Rakan kongsi antarabangsa NLB menyumbangkan 2,000 judul kepada koleksi buku antarabangsa perpustakaan itu.

Perpustakaan Biodiversiti Kanak-Kanak oleh Akuarium S.E.A. – kerjasama antara NLB dan Resorts World Sentosa RWS – akan menawarkan pelbagai inisiatif, termasuk program bulanan, untuk ibu bapa dan anak-anak belajar tentang biologi marin dan pemuliharaan.

Program tersebut akan dipimpin oleh sukarelawan terlatih di ruang khusus di perpustakaan itu yang direka bentuk menyerupai sebuah kapal selam.

Satu lagi ciri inovatif dalam perpustakaan itu ialah Bilik ‘Immersive’, yang menggabungkan elemen multimedia untuk memberikan nafas baru kepada pengalaman penceritaan.

Dihasilkan oleh NLB dan Perkhidmatan Amazon Web, aplikasi ‘StoryGen’, yang menggunakan kecerdasan buatan (AI) generatif yang pertama seumpamanya, membolehkan pengguna membentuk dan menukar naratif berdasarkan cerita sedia ada, mengikut keinginan masing-masing.

Contohnya, pengguna dapat memilih watak, genre, dan lokasi cerita berdasarkan enam cerita yang popular, seperti Sang Nila Utama.

Cerita tersebut akan dipaparkan melalui enam panel visual pada tembok yang melengkung. Pengguna juga mempunyai pilihan untuk memuat turun kandungan cerita tersebut pada peranti masing-masing melalui kod QR.

Selain itu, ruang ‘Alkof Singapura’ menampilkan kios digital interaktif dan artifak fizikal serta koleksi buku Singapura tentang warisan dan sejarah.

Pengguna perpustakaan boleh mengambil kuiz personaliti atau mencari saranan buku di empat kios digital interaktif tersebut.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >