Sebuah hab bagi sumber berkaitan seni dibuka di aras 5 bangunan Perpustakaan Negara di Victoria Street mulai 12 Disember.
Diberi nama Perpustakaan Seni Sentral (CAL), ia menawarkan koleksi menyeluruh berkaitan seni, persembahan seni secara berkala dan bilik atau ruang bagi pengunjung mengembangkan minat mereka dalam muzik.
Terletak di tengah-tengah pusat seni dan warisan Singapura, lokasi strategik CAL berdekatan Akademi Seni Halus Nanyang (Nafa), Sekolah Seni Singapura (Sota) dan Maktab Seni LaSalle itu dapat memperkukuhkan lagi hubungan dan kerjasamanya dengan masyarakat seni, menurut Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) dalam satu kenyataan media pada 12 Disember.
Perpustakaan itu menyediakan sumbernya di dua lokasi utama – NLB dan Pusat Reka Bentuk Nasional, sebuah perpustakaan munculan (pop-up) tanpa kakitangan.
Lokasi CAL di Pusat Reka Bentuk Nasional merupakan hasil kerjasama dengan Universiti Seni Singapura (UAS).
Jurucakap UAS berkata kerjasama dengan CAL adalah satu perkongsian dinamik yang berkembang untuk memenuhi keperluan pelajar dan masyarakat seni yang sentiasa berubah.
Kegiatan yang sedang diterokai termasuk daya usaha bagi memacu dialog dan pertukaran idea demi memberikan manfaat kepada pihak berkepentingan dalam bidang pendidikan, masyarakat seni serta umum.
Buat julung-julung kalinya, pengunjung juga boleh meminjam buku rujukan daripada Koleksi Rujukan Am Perpustakaan Negara melalui inisiatif perintis RefToGo.
Semasa perasmian CAL pada 12 Disember, Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, berkata:
“Seni adalah bahagian penting dalam kehidupan sehari-hari kita yang dapat mencetus imaginasi, memacu semangat dan menggalak inovasi.
“Dengan perasmian Perpustakaan Seni Sentral, kami berharap koleksi seni yang kaya dan sedia ada ini dapat meningkatkan penghargaan terhadap seni tempatan, sekali gus menginspirasikan lebih ramai untuk berkarya dan menyumbang kepada masyarakat seni tanah air.”
Sumber rujukan seni yang ada di perpustakaan baru itu turut menggabungkan koleksi buku rujukan seni persembahan dari library@esplanade lama dan koleksi seni reka bentuk serta gunaan dari library@orchard.
Kemudahan dari bekas library@esplanade seperti bilik latihan piano, studio senyap, iaitu studio rakaman untuk sesi ‘jamming’, dan bilik tayangan juga akan kembali tersedia untuk kegunaan ramai di CAL di NLB.
Ini dapat menyemarakkan lagi pengalaman seni yang lebih menyeluruh kepada pengunjung, ujar NLB.
Ketika diwawancara Berita Harian (BH) mengenai bahan bahasa Melayu di CAL, Pustakawan (Bahasa Melayu), Encik Herman Rothman, berkata:
“Kita mempunyai bahan yang boleh dimanfaatkan oleh masyarakat Melayu seperti buku bertemakan seni, skor muzik, skrip drama mahupun cakera padat.
“Kini, dengan adanya bahan rujukan berkaitan seni dalam satu bangunan (di NLB), ia memudahkan bukan hanya bangsa kita, bahkan setiap lapisan masyarakat untuk menjana informasi dan ilmu menerusi sumber yang pelbagai.
“Selain penuntut atau mahasiswa dalam jurusan seni, ia juga dapat dimanfaatkan pengkaji, penggiat dan pencinta seni.
“Saya juga sangat mengalu-alukan pengunjung menggunakan kemudahan seperti bilik latihan piano, studio rakaman dan bilik tayangan sedia ada, memberi peluang kepada masyarakat mencuba dan menemui kemahiran baru.”
Dari 12 hingga 15 Disember, pengunjung dapat menikmati pelbagai kegiatan menarik sempena pembukaan CAL, seperti maraton filem bertemakan sekuel, persembahan improvisasi dan permainan arked.
CAL akan terus menganjurkan kegiatan seni secara berkala, seperti tayangan filem, bengkel seni persembahan dan pementasan karya muzik dalam usaha mendekatkan seni kepada masyarakat.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg