Basmi buta huruf dalam pendidikan Al-Quran dan membantu mereka yang memerlukan, khususnya pada Ramadan.
Itulah misi murni pusat pendidikan Islam setempat, Persatuan Guru-Guru Al-Quran (Pergeraq), dalam mendekati masyarakat Melayu/Islam di sini.
Pada masa ini, lebih 300 individu, termasuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU), mengikuti pembelajaran secara percuma di Pergeraq dan lima masjid.
Ia termasuk Masjid Darul Ghufran, Masjid En-Naeem, Masjid Sallim Mattar, Masjid Mujahidin dan Masjid Jamiyah Ar-Rabitah.
Program yang ditawarkan merangkumi Kempen Celik Al-Quran (KCQ) serta kelas asas pengetahuan agama atau fardu ain, bagi membantu peserta mendalami ilmu agama dengan lebih baik.
Antara mereka yang mengikuti pembelajaran ini termasuk keluarga berpendapatan rendah, anak yatim, ibu atau bapa tunggal, pesakit kronik, serta pembantu rumah beragama Islam.
Menurut Setiausaha Eksekutif Pergeraq, Encik Mohammad Hanafiah Tumin, Pergeraq perlu membelanjakan sekurang-kurangnya $150,000 setahun untuk membiayai program percuma ini.
Setiap tahun, bersempena Ramadan, badan bantu diri ini turut membantu lebih 100 benefisiari dengan menyediakan makanan asas dan baucar makanan melalui kempen Ramadan Charity.
Selain itu, 10 pelajar setempat akan menerima subsidi pembelajaran daripada Pergeraq.
Pergeraq juga menawarkan Biasiswa Al-Quran & Qira’at bernilai $5,000 bagi setiap pelajar terpilih yang sedang mengikuti pengajian Al-Quran dan Qira’at di institusi pengajian tinggi yang diiktiraf.
“Pergeraq membelanjakan sekitar $150,000 setiap tahun untuk membiayai kelas KCQ kami yang diadakan tanpa bayaran.
“Perbelanjaan ini termasuk bayaran tenaga pengajar, kos sewa dan bayaran kos pengurusan serta kewangan.
“Pada setiap Ramadan, kami menyalurkan sumbangan wang tunai dan makanan asas kepada lebih 120 benefisiari Pergeraq, termasuk golongan kurang upaya, keluarga berpendapatan rendah, serta mereka yang memerlukan.
“Ini semua kami lakukan demi untuk membantu mereka yang memerlukan, selain membentuk ummah yang celik Al-Quran serta mengukuhkan lagi landskap pembelajaran Al-Quran di negara kita,” jelas Encik Mohammad Hanafiah.
Pergeraq bakal menganjurkan program, ‘Klinik Al-Quran Ramadan 1446 Hijrah’ secara dalam talian, bermula pada 3 Mac, atau 2 Ramadan ini.
Tazkirah Ramadan dan Majlis Khatam Al-Quran & Tahlil juga bakal diadakan pada 23 Mac.
Encik Mohammad Hanafiah berkata Pergeraq amat menghargai sokongan yang diterima daripada orang ramai selama ini dan sentiasa mengalu-alukan sumbangan masyarakat.
“Sumbangan anda merupakan satu amal jariah yang dapat membantu masyarakat Islam yang memerlukan dana untuk mendalami pembelajaran Al-Quran, di samping menyantuni warga yang memerlukan,” tambahnya.
SEKILAS
1. Untuk pemindahan bank ke dalam akaun semasa DBS 017-903204-0, sila kunjungi laman web, https://donate.pergeraq.sg. WhatsApp untuk resit @ 9030-7057. Tulis nama anda/zakat atau derma.
2. PayNow kepada UEN T06SS0040C. Di ruang ‘rujukan’, sila tulis nama anda/zakat atau derma.
3. Untuk pendaftaran atau keterangan lanjut, lungsuri pautan, https://tinyurl.com/PENDAFTARAN-KLINIK-AL-QURAN
4. Pergeraq terletak di 218E Changi Road, #03-10, PKMS Building, Singapura 419737.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg