Persatuan bahasa dan budaya Melayu di universiti tempatan kini menggunakan pendekatan lebih fleksibel, termasuk kegiatan dwibahasa serta kaedah kurang formal untuk menggalakkan penyertaan mahasiswa yang kurang yakin bertutur dalam bahasa Melayu.

Pendekatan itu diambil menyusuli kebimbangan bahawa sesetengah mahasiswa mungkin keberatan menyertai persatuan tersebut kerana mempunyai tanggapan mereka perlu fasih berbahasa Melayu untuk mengambil bahagian dalam kegiatan yang dianjurkan.

Beberapa pemimpin persatuan yang ditemui dalam satu episod NoTapis baru-baru ini berkata terdapat kepentingan dalam menyediakan ruang inklusif agar mahasiswa dapat memupuk minat terhadap bahasa dan budaya Melayu mengikut tahap keselesaan masing-masing.

Antara mereka yang mempunyai pendapat tersebut ialah Presiden Persatuan Bahasa dan Budaya Melayu Universiti Teknologi Nanyang (Perbayu NTU), Encik Naufal Aiman Jasni.

Beliau yang merupakan pelajar bidang bahasa Melayu, berkongsi bahawa persatuan itu mula menggunakan lebih banyak bahasa Inggeris dalam kegiatannya pada tahun akademik ini.

Menurutnya, penggunaan bahasa Melayu yang terlalu formal atau berstruktur boleh menyebabkan sesetengah mahasiswa berasa segan atau takut untuk menyertai kegiatan persatuan, terutama jika mereka kurang yakin dengan penguasaan bahasa tersebut.

“Kalau kita ingin tarik balik minat pelajar di NTU, kita perlu tukar sikit pendekatan kami.

“Jadi kami cuba untuk menerapkan bahasa Inggeris, ‘code-mixing’ atau penggunaan bahasa Melayu dan Inggeris supaya mereka yang mendaftar untuk program yang ditawarkan rasa lebih selesa dan dapat memahami matlamat program yang mereka ingin sampaikan,” kongsi Encik Naufal, 22 tahun.

Menurut Encik Naufal, penggunaan bahasa Melayu yang terlalu formal atau berstruktur boleh menyebabkan sesetengah mahasiswa berasa segan atau takut untuk menyertai kegiatan persatuan, terutama jika mereka kurang yakin dengan penguasaan bahasa tersebut.
Menurut Encik Naufal, penggunaan bahasa Melayu yang terlalu formal atau berstruktur boleh menyebabkan sesetengah mahasiswa berasa segan atau takut untuk menyertai kegiatan persatuan, terutama jika mereka kurang yakin dengan penguasaan bahasa tersebut. - Foto BH oleh KHALID BABA

Mahasiswa tahun kedua itu menambah bahawa pendekatan itu bertujuan menjadikan kegiatan Perbayu lebih mudah didekati, sekali gus menggalakkan mahasiswa mencuba sesuatu yang baharu tanpa berasa tertekan dengan tahap penguasaan bahasa mereka.

Dalam episod itu, beliau turut menegaskan bahawa matlamat utama persatuan itu bukan semata-mata untuk menjadikan mahasiswa fasih berbahasa Melayu, sebaliknya menggalakkan mereka mendekati masyarakat Melayu serta menjalin hubungan dengan mahasiswa lain.

Menurut Encik Naufal, Perbayu turut membuka penyertaan kepada mahasiswa bukan Melayu yang mempunyai minat terhadap bahasa dan budaya Melayu.

Beliau berkata persatuan itu mempunyai anggota bukan Melayu, termasuk dalam kumpulan yang memberi tumpuan kepada kegiatan bahasa dan budaya.

“Minat untuk mengenali dan mempelajari budaya Melayu bagi kami dianggap lebih penting daripada tahap kefasihan seseorang dalam bahasa,” jelasnya.

Pendekatan serupa turut diambil Persatuan Bahasa Melayu Universiti Nasional Singapura (NUS) atau PBMUKS.

Menurut presidennya, Cik Pearl Insyirah Mohd Mubbin, persatuannya bukan sahaja menggunakan bahasa Inggeris untuk mendekati mahasiswa, malah memanfaatkan media sosial serta menganjurkan kegiatan yang lebih dekat dengan minat golongan belia.

Media sosial ujar beliau, menjadi antara wadah penting untuk menarik perhatian mahasiswa, memandangkan golongan muda kini banyak mendapatkan maklumat menerusi wadah digital.

Kini, PBMUKS turut mengikuti trend terkini di media sosial, termasuk menggunakan muzik dan kandungan popular dalam hantaran mereka bagi menjadikan persatuan itu lebih mudah didekati.

“Kita harus mengikuti peredaran zaman sekarang dan memahami bagaimana anak muda kini mendapatkan maklumat,” kata Cik Pearl, 21 tahun.

“Jadi kita harus manfaatkan platform media sosial dengan cara yang berlainan termasuk menampilkan ahli jawatankuasa melalui pos dan juga menghasilkan video mengikuti trend tertentu,” tambah mahasiswa tahun ketiga dalam bidang pengajian Melayu.

Menurut Cik Pearl persatuan PBMUKS bukan sahaja menggunakan bahasa Inggeris untuk mendekati mahasiswa, malah memanfaatkan media sosial serta menganjurkan kegiatan yang lebih dekat dengan minat golongan belia.
Menurut Cik Pearl persatuan PBMUKS bukan sahaja menggunakan bahasa Inggeris untuk mendekati mahasiswa, malah memanfaatkan media sosial serta menganjurkan kegiatan yang lebih dekat dengan minat golongan belia. - Foto BH oleh KHALID BABA

Selain memanfaatkan media sosial, PBMUKS turut bekerjasama bersama persatuan berlainan di kampus supaya dapat menarik perhatian lebih ramai pelajar mendekati bahasa dan budaya ibunda masyarakat Melayu.

Antara persatuan yang sering bekerjasama dengan PBMUKS termasuk Persatuan Mahasiswa Islam NUS (NUSMS) dan Persatuan Pengajian Melayu (MSS).

“Walaupun persatuan yang berbeza ini mempunyai matlamat lain, kadangkala, terdapat banyak acara yang kita boleh bekerjasama untuk meraikan lagi acara yang kita anjurkan dan memberi manfaat kepada lebih ramai mahasiswa di universiti kami.

“Dengan kerjasama ini, kita juga dapat memanfaatkan kekuatan dan juga kepakaran persatuan yang lain,” katanya.

Dalam pada itu, Cik Pearl menegaskan bahawa usaha menjadikan kegiatan persatuan lebih santai dan mudah didekati tidak bermakna bahasa Melayu diketepikan.

Sebaliknya, penggunaan bahasa Inggeris dan pendekatan yang lebih dekat dengan minat mahasiswa dapat menjadi langkah awal untuk memperkenalkan mereka kepada bahasa dan budaya Melayu.

“Dengan medium (bahasa Inggeris) ini mereka dapat mempelajari lebih sedikit tentang budaya Melayu.

“Saya berpegang kepada frasa ‘slowly but surely’ (perlahan tetapi pasti) agar mereka dapat secara perlahan-lahan meningkatkan penguasaan bahasa Melayu yang kita cuba sisipkan dalam acara kita sebaik mungkin,” kongsinya.