Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Persatuan Belia Bedok sasar raih $220,500 bantu insan kurang upaya 

Sempena Ramadan, BYSD atur beberapa kegiatan kumpul dana termasuk sediakan biskut Raya, majlis iftar, beli-belah di pasar raya Giant di Tampines, jualan kupon Arnolds, jualan snek amal dan pungutan zakat
Mar 14, 2025 | 5:30 AM
Salah seorang insan OKU berbelanja Raya dengan bantuan BYSD.
Salah seorang insan OKU berbelanja Raya dengan bantuan BYSD. - Foto PERSATUAN BELIA BEDOK INSAN KURANG UPAYA (BYSD)

Ramadan untuk semua, yang berupaya, juga yang kurang upaya.

Bedok Youth Society for the Disabled, atau Persatuan Belia Bedok untuk Insan Kurang Upaya (BYSD), adalah badan yang prihatin akan kebajikan golongan muda dan yang kurang upaya.

Sempena Ramadan ini, BYSD telah mengatur beberapa kegiatan untuk mengumpul dana. Kegiatan-kegiatan tersebut termasuk menyediakan biskut Raya, majlis iftar, beli-belah di pasar raya Giant di Tampines, jualan kupon-kupon Arnolds, jualan snek amal dan pungutan zakat.

Pengurus Pembangunan Perniagaan BYSD, Cik Shiffa Khumaira Abdul Khaliq, berkata:

”Kami telah susun dan senaraikan kegiatan dalam usaha mengumpul dana untuk membantu mereka yang kurang upaya. Sasaran kami ialah meraih $220,500 untuk dana Ramadan BYSD.”

Salah satu kegiatannya ialah membuat biskut Raya di IncuBaker Studio. Acara yang bermula dari 10 pagi hingga 2 petang ini melibatkan 10 murid daripada Lil Changemakers, yang berusia dari empat tahun hingga 12 tahun dan 10 orang kurang upaya daripada BYSD.

Mereka akan bekerjasama membakar biskut Raya untuk diisikan ke dalam 100 botol kuih. Botol berisi biskut Raya ini akan diagihkan kepada golongan penerima bantuan pada majlis iftar, yang akan berlangsung pada 15 Mac 2025.

Majlis iftar berkenaan bakal diadakan di De Hall Ballroom, Tai Seng Centre bermula 7 malam hingga 10 malam. Acara ini ditaja bersama oleh De Hall dan disokong oleh penganjur acara Usrah.

Seramai 80 tetamu pelbagai kaum daripada BYSD termasuk ahli orang kurang upaya, pengasuh mereka, sukarelawan dan kakitangan BYSD akan hadir pada acara tertutup ini.

Habuan Raya dan 100 botol biskut Raya akan diagihkan kepada golongan kurang upaya. Bagi memudahkan perjalanan mereka yang berkerusi roda ke majlis iftar istimewa ini, pengangkutan dua hala turut disediakan.

Membeli-belah di Giant Tampines merupakan satu lagi kegiatan yang bakal berlangsung pada 22 Mac dari 10 pagi hingga 1 tengah hari. Seramai 30 penerima bantuan BYSD yang terdiri daripada pelbagai kaum termasuk dalam usaha ini.

Baucar Giant bernilai $100 akan diberikan kepada setiap penerima beragama Islam untuk perbelanjaan persiapan Raya dan perbelanjaan keperluan asas bagi penerima bantuan bukan Islam.

Penjualan kupon Arnold’s turut dilakukan untuk projek pengumpulan dana, selama hampir enam bulan. Tempoh penebusan adalah dari 15 November 2024 hingga 30 April 2025. Para penderma boleh mendapatkan satu buku kecil yang berisi lima kupon berharga $90. Hasil derma akan digunakan untuk membiayai program BYSD untuk OKU.

BYSD juga menganjurkan jualan amal snek dan sampul duit Raya bagi tujuan mengumpul dana. Antara snek Raya yang boleh didapatkan ialah kuih kapit coklat atau kacang mentega, muruku dan popiah mini.

Pungutan zakat juga tersenarai dalam kegiatan mengumpul dana BYSD. Wang zakat diagihkan kepada OKU yang tergolong dalam kategori fakir dan miskin.

Bagi anda yang ingin menyokong kegiatan ini, sila layari laman https://www.bysd.sg/donation

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg