Dilahirkan sempurna, namun pada usia dua tahun, beliau jatuh sakit akibat terkena jangkitan virus polio yang kemudian menjejas saraf tunjangnya.
Mengingat kembali, Cik Aisah Ibrahim, kini 78 tahun, berkata beliau tidak boleh berjalan semasa kecil akibat polio sehinggalah ibunya digesa membawanya berjumpa doktor empat tahun kemudian.
“Waktu itu, orang tak biasa pergi ke doktor apabila sakit, jadi dibiarkan saja. Tetapi ibu saya yang pada masa itu bekerja sebagai amah di rumah orang putih, diberitahu majikannya supaya membawa saya berjumpa doktor.
Kata majikannya, ‘Ajarkan dia untuk berdikari, bagaimana nasibnya kalau kamu sudah tidak ada nanti?’”
Cik Aisah diberi sepasang ‘calipers’ – alat bantuan untuk beliau bergerak – dan ini merubah nasibnya.
Beliau akhirnya dapat berdikari, rajin ke sekolah dan pernah bercita-cita untuk menjadi seorang guru.
“Saya dapat habiskan pengajian sehingga sekolah menengah, tetapi permintaan saya untuk menjadi seorang guru ditolak disebabkan kecacatan saya,” kata beliau.
Meskipun begitu, Cik Aisah yang lebih senang dipanggi ‘Mama Aisyah’, tidak pernah berasa kekurangan yang ada pada dirinya penghalang untuk beliau meneruskan kehidupan yang bermakna.
Cik Aisah berkahwin pada usia 30 tahun dan dikurniakan tiga cahaya mata.
Namun takdir yang menentukan – suaminya meninggal dunia ketika berumur 41 tahun akibat serangan jantung.
Beliau kemudian mendirikan rumah tangga sekali lagi dengan Encik Sulong Kemat dan perkahwinan mereka bertahan selama 25 tahun sehingga suaminya menghembus nafas terakhir pada 2023 setelah empat tahun menghidap strok.
Sekitar 2017, Cik Aisah terjatuh di dapur rumahnya dan mengalami keretakan pinggang, dan sejak itu beliau tidak lagi boleh berjalan.
Cik Aisah memerlukan kerusi roda untuk bergerak dan tinggal seorang diri di flat di Dover Road, dengan seorang pembantu rumah yang menguruskan keperluannya.
“Hidup harus berani, tak boleh takut. Positif selalu, kalau tidak, kita tidak boleh maju ke depan.
“Nyawa, rezeki di tangan Allah,” kata wanita yang masih aktif dalam pelbagai kegiatan untuk mengisi masa lapangnya.
Sejak muda lagi, Cik Asiah aktif bergiat dalam kegiatan sukarela.
Beliau kini merupakan presiden Persatuan Belia Bedok untuk Insan Kurang Upaya (BYSD) dan mengajar membaca Al-Quran dari rumah.
Beliau juga yang menubuhkan madrasah untuk orang kurang upaya dan memastikan golongan ini tidak terkecuali dalam mendapatkan bimbingan agama.
“Hampir setiap hari saya ajar mengaji di rumah, jadi jadual saya padat.
“Hari yang tidak mengajar, saya penuhi dengan aktiviti lain,” kata wanita yang mempunyai sijil Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS), kelulusan yang diperlukan untuk mengajar mengaji di Singapura.
Di masa lapang beliau mengikuti pasukan dayung bot naga, belajar bermain alat muzik papan nada atau keyboard, menyanyi bersama kumpulan yang dinamakan Very Inclusive Band dan pernah menjuarai sukan paralimpik dalam boling.
“Alhamdulillah walaupun tidak boleh jalan, saya tidak ada penyakit lain. Saya tak mahu bersedih. Hidup ini datang dengan pelbagai dugaan. Saya mahu kekal aktif untuk membuat hati saya senang,” kata nenek lima cucu ini.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg