Pada Ramadan 2025 ini, Persatuan Muhammadiyah akan menghulurkan zakat kepada 700 keluarga dan mengagihkan juadah berbuka puasa kepada 350 keluarga memerlukan dan berisiko tinggi, setiap minggu.
Sehubungan itu, Muhammadiyah mengalu-alukan masyarakat agar bersama-sama beramal dan menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan pada bulan yang mulia ini.
Sejak ditubuhkan pada tahun 1957, Muhammadiyah, sebagai persatuan dakwah, telah menyebarkan khidmat kepada masyarakat dengan menubuhkan enam institusi pendidikan dan kebajikan.
Ini termasuk tadika, madrasah mingguan dan sepenuh masa, kolej Islam, rumah kebajikan bagi anak remaja, pusat jagaan siang untuk warga tua, dan pusat penuaan aktif.
“Ini sejajar dengan misi kami yang diinspirasikan oleh Surah Ali Imran, ayat 104. Inti surah ini mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.
“Seperti lazimnya pada bulan Ramadan, kami mempertingkatkan daya usaha kebajikan untuk menghulur bantuan kepada mereka yang memerlukan,” jelas Setiausaha Umum Persatuan Muhammadiyah, Cik Roszanah Abdul Salim.
Secara purata, setiap tahun, Muhammadiyah mengagihkan zakat dan barangan keperluan harian kepada 700 keluarga pada bulan Ramadan.
Permohonan bagi zakat untuk keluarga berpendapatan rendah telah dibuka pada bulan Disember 2024 lalu, dan kini telah menerima lebih daripada 700 permohonan.
“Dari situ, kami juga mengenal pasti mereka yang berisiko tinggi, yang juga akan menerima bantuan bulanan dalam bentuk baucar, makanan atau barangan keperluan asas, lampin dan susu,” jelas Cik Roszanah.
Beliau menambah bahawa kebanyakan penerima ini tidak mampu bekerja kerana masalah kesihatan yang berpanjangan atau bersifat sementara.
Menurut Cik Roszanah lagi:
“Kami juga melibatkan lebih daripada 200 sukarelawan sepanjang Ramadan, dalam membantu kami dengan pelbagai kegiatan seperti membungkus, menghantar makanan kepada penerima atau menyediakan tenaga kerja untuk program-program dan acara kami.”
Pada setiap bulan Ramadan, Muhammadiyah mengagihkan sebahagian daripada zakat yang diterima kepada benefisiari dalam bentuk wang tunai dalam acara pengagihan zakat yang biasanya diadakan seminggu sebelum Hari Raya.
Sumbangan ini dapat membantu meringankan beban dan perbelanjaan mereka dalam membuat persiapan Raya dan perbelanjaan bulanan mereka juga.
“Untuk usaha dakwah kami, kami menawarkan kelas mengaji percuma kepada mereka yang ingin belajar atau memperbaiki bacaan Al-Quran mereka,” katanya lagi.
Semua usaha tidak dapat dilaksanakan dengan baik tanpa sokongan dan sumbangan daripada masyarakat.
“Zakat dan infak yang kami terima juga membolehkan kami menjalankan program dakwah dan pendidikan sepanjang tahun.
“Ini termasuk kelas agama percuma, kursus dan bengkel untuk orang dewasa dan belia, menjalankan sekolah dan madrasah kami dan menyediakan subsidi untuk pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah,” tambah Cik Roszanah.
Pada masa yang sama, Muhammadiyah mengalu-alukan sumbangan infak daripada orang ramai untuk membiayai Projek Wahdah iaitu projek naik taraf bagi bangunan pusat Persatuan Muhammadiyah yang beralamat di 14 Jalan Selamat.
SEKILAS:
Untuk sumbangan zakat, infak dan fidyah kepada Muhammadiyah, orang ramai:
1. Boleh bayar melalui PayNow ke: S58SS0020C.
2. Datang ke pejabat Muhammadiyah atau ke di Bazar Geylang Serai.
3. Bayar melalui dalam talian.
4. Menghantar cek.
5. Kutipan bayaran dari rumah.
* Orang ramai juga boleh menghubungi talian WhatsApp di 8408- 4326.
* Sila ke laman muhammadiyah.org.sg/ramadan2025 untuk butiran lanjut mengenai usaha dan program Muhammadiyah.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg