Persatuan Belia Bedok untuk Insan Kurang Upaya (BYSD) mengendalikan Program Islamik khas setiap Ahad bertempat di Masjid Al-Istighfar, di Pasir Ris Walk.
Program ini dijalankan dari 10 pagi hingga 1 tengah hari, dengan setiap sesi berlangsung selama sejam setengah. Ia diadakan secara mingguan bagi memberi ruang kepada peserta – khususnya individu kurang upaya – untuk mendalami ilmu agama dalam suasana yang terangkum dan mesra.
Madrasah untuk Insan Kurang Upaya (MIKU), kendalian Persatuan Belia Bedok untuk Insan Kurang Upaya (BYSD) sejak 2008, bertujuan membimbing golongan insan kurang upaya agar mereka tidak terpinggir atau ketinggalan dalam menuntut ilmu agama.
Kelas madrasah ini dikendalikan oleh seorang tenaga pengajar yang bertauliah, dengan sokongan 10 sukarelawan.
Sesi pengajaran dijalankan setiap Ahad, dari 10 pagi hingga 11.30 pagi, di Masjid Al-Istighfar.
BYSD mengalu-alukan lebih ramai individu yang berminat agar turut serta sebagai sukarelawan, bagi memperkukuh lagi usaha memperkasa golongan insan kurang upaya melalui pendidikan agama yang bersifat terangkum dan penuh kasih sayang.
Seramai 30 pelajar yang terdiri daripada individu kurang daya penglihatan, pengguna kerusi roda serta mereka yang mengalami kekurangan daya intelek telah meraih manfaat daripada Program Madrasah untuk Insan Kurang Upaya (MIKU).
Bagi memudahkan proses pembelajaran, asatizah MIKU menyesuaikan tajuk serta inti pati pengajaran mengikut tahap keupayaan dan daya pemahaman peserta.
Kandungan agama disampaikan secara ringkas, praktikal dan mudah difahami, agar golongan kurang upaya dapat menghayati dan mengamalkannya dalam kehidupan harian mereka.
Sementara itu, bagi peserta yang kurang daya penglihatan, sesi khas pembacaan Al-Quran Braille diadakan dari 11.30 pagi hingga 1 tengah hari.
Program ini dianjurkan oleh BYSD atas permintaan khusus daripada golongan tersebut memandangkan peluang mengikuti kelas sebegitu amat terhad dan jarang disediakan oleh mana-mana pertubuhan.
Setakat ini, seramai 13 peserta telah meraih manfaat daripada sesi Al-Quran khas ini – satu usaha yang dianggap sangat bermakna dalam memastikan golongan ini tidak terpinggir daripada arus pendidikan agama.
Pengurus Pembangunan Perniagaan BYSD, Cik Shiffa Khumaira Abdul Khaliq, berkata:
“Kami hanya ada dua orang tenaga pengajar yang mengendalikan kelas membaca Al-Quran dalam kaedah Braille. Kami sangat mengalu-alukan asatizah yang berminat agar tampil menyertai program kami.
“Kami juga perlukan sokongan masyarakat dalam program ini. Ia akan membantu lebih ramai asatizah mengenal dan meningkatkan kemahiran mereka mengajar Al-Quran Braille.”
OKU yang tiada masalah penglihatan boleh menyertai kelas membaca Al-Quran yang biasa dengan asatizah yang disediakan.
Berkaitan sokongan penderma, Cik Shiffa amat berbesar hati dan berterima kasih atas sumbangan yang diterima BYSD selama ini.
“BYSD amat berterima kasih kepada penderma atas sumbangan infak, makanan bagi madrasah mingguan kami. Sumbangan derma kepada program ini amat dialu-alukan. Kami harap agar lebih ramai lagi sudi menderma untuk menjayakan dana bagi projek ini.
“Dana yang dikumpulkan ini juga akan membantu BYSD menyediakan lebih banyak mashaf (naskhah) Al-Quran Braille dan biasa untuk pelajar kami.
“Kaedah Braille ini menggunakan titik-titik timbul yang menggunakan abjad atau huruf tertentu, yang dapat dibaca dengan menyentuhnya dengan jari, khususnya bagi mereka yang tidak dapat melihat atau buta.
“Tentunya, dana yang terkumpul membantu kami menyediakan tempat yang sesuai dan selesa untuk mengendalikan kelas tersebut setiap minggu.
“Dana ini turut membantu membiayai kos pengangkutan van inklusif untuk golongan kurang upaya yang berkerusi roda,” tambah Cik Shiffa.
BYSD amat mengalu-alukan mereka yang ingin menunaikan pembayaran zakat kepada persatuan itu.
Sasaran kutipan zakat BYSD adalah sebanyak $100,000. Jumlah ini dapat membantu persatuan amal itu menyediakan kegiatan pendidikan, program inklusif dan menjaga kebajikan golongan kurang upaya di Singapura secara berterusan.
Anda yang ingin menyokong kegiatan Persatuan Belia Bedok untuk Insan Kurang Upaya (BYSD) boleh melayari laman web: https://www.bysd.sg/donation


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg