Persatuan Muslim Cina kerjasama dengan badan Melayu untuk kekal relevan, sebar kesedaran
Persatuan Muslim Cina kerjasama dengan badan Melayu untuk kekal relevan, sebar kesedaran
Huihui ditubuh untuk tangani salah faham tentang penyatuan budaya Cina, agama Islam
Demi kekal relevan dan terkait dengan masyarakat yang lebih luas di Singapura, Persatuan Kebudayaan Huihui telah aktif mencari peluang menjalin kerjasama bersama pelbagai badan, khususnya pertubuhan Melayu/Islam.
Ini termasuk badan seperti Jamiyah, Persatuan Dana Amanah Muslimin (MTFA) serta masjid setempat seperti Masjid Ba’alwie untuk menganjurkan perayaan Pertengahan Musim Luruh dan juga pernah terlibat dengan acara pasar amal Madrasah Alsagoff Al-Arabiah.
Menurut presiden persatuan tersebut, Cik Kartinah Poh, 73 tahun, ini telah memangkinkan kehadiran dan keterlibatan mereka dengan lebih aktif dalam masyarakat.
Beliau berkata: “Dari tahun ke tahun, kami semakin banyak diundang oleh pertubuhan Melayu/Islam untuk bekerjasama dan ini membantu kami untuk mendekati masyarakat dan dikenali lebih ramai orang.”
Dari situ, mereka juga berpeluang bekerjasama dengan pelbagai badan lain seperti Humanity Matters, Persatuan Kebajikan Wanita Asia (Awwa) dan Pertubuhan Antara Agama (IRO).
Mereka menjadi lebih terlibat dalam kerja kemasyarakatan seperti pengagihan iftar untuk golongan memerlukan dan penyediaan bantuan untuk dihantarkan ke Gaza.
Susulan daripada penglibatan yang semakin aktif ini, lebih ramai orang mula mengenali Huihui dan anggota pertubuhan ini meningkat kepada lebih 150 orang, daripada latar belakang berbeza selain daripada golongan Cina mualaf.
Pada masa yang sama, kerjasama seperti ini telah membuka pintu buat Huihui untuk menyebarkan erti di sebalik menjadi seorang Cina mualaf kepada lapisan masyarakat yang berbeza.
Huihui ditubuhkan pada 2019 untuk menangani lapisan masalah yang dihadapi golongan mualaf tentang penyatuan budaya Cina dan agama Islam yang kurang difahami oleh amggota keluarga mereka yang bukan beragama Islam.
Namun, mereka menyedari bahawa ketidakfahaman ini turut membelenggu kelompok masyarakat yang lebih besar, baik yang beragama Islam mahupun bukan.
Menurut Naib Presiden Huihui, Encik Yahya Mah, 38 tahun, masalah ini berakar daripada salah faham bahawa apabila seseorang itu memeluk agama Islam, mereka akan ‘masuk Melayu’ lantas meninggalkan tradisi dan budaya Cina.
Lantaran bergelut dengan salah tanggapan tersebut, Huihui memikul tanggungjawab untuk ‘mendidik’ masyarakat tentang identiti masyarakat Cina yang tidak terhakis walaupun sudah menganuti Islam.
Pada masa yang sama, mereka juga ingin membangkitkan kesedaran kepada masyarakat Islam di Singapura bahawa Cina mualaf juga tetap berpegang teguh kepada prinsip dan ajaran Islam.
Salah seorang pengasas bersama Huihui, Encik Fauzi Yee, 73 tahun, berkongsi dengan Berita Harian (BH) walaupun mereka berdepan dengan masalah sebegini, mereka tetap berbangga dengan identiti mereka sebagai seorang yang berbangsa Cina dan beragama Islam.
Beliau berkata: “Ia merupakan satu perjuangan yang berterusan untuk memahamkan orang ramai tentang wujudnya integrasi antara budaya Cina dengan agama Islam.
“Demi menyebarkan pemahaman ini, saya menitikberatkan hubungan silaturahim bersama pelbagai golongan orang.”
“Saya akan bercampur dengan saudara-mara atau kawan berbangsa Cina yang bukan beragama Islam.
“Saya juga bercampur dengan masyarakat Islam daripada pelbagai kaum untuk memberikan pencerahan tentang hal ini.
“Bagi saya, ini juga merupakan satu dakwah,” tambah Encik Yee.
Yang jelas, para anggota Huihui tetap merasakan bahawa mereka tetap sebahagian daripada masyarakat Islam yang lebih besar di Singapura.
Cik Nur Aadila Teo, Setiausaha Huihui, berkata:
“Kami tetap sebahagian daripada masyarakat Islam di Singapura. Kami beriman dan beribadah dengan cara yang sama.
“Justeru, kini kami makin kerap dijemput oleh beberapa masjid di Singapura untuk bekerjasama dan adakan sesi perkongsian tentang golongan Cina mualaf kepada masyarakat.”
Bagi mereka, terdapat banyak nilai dalam tradisi Cina yang sehaluan dengan ajaran Islam seperti nilai taat kepada ibu bapa.
Nilai seperti inilah yang mereka ingin paparkan untuk membuktikan bahawa budaya Cina dan agama Islam dapat diharmonikan bersama.
Sempena Tahun Baru Cina yang bertembung dengan Ramadan 2026, mereka tetap akan mengadakan sambutan perayaan Tahun Baru Cina bersama para anggota pertubuhan mereka.
Huihui juga bakal adakan majlis iftar sewaktu Ramadan nanti di pusat persatuan mereka yang terletak di 40 Margoliouth Road berdekatan stesen MRT Stevens.

