Acara seperti korban secara langsung yang diadakan di Rumah Peralihan Pertapis merupakan peluang mengetengahkan sikap rahmah masyarakat Islam di sini.
Ia juga memberi peluang kepada anggota masyarakat menggembleng tenaga dan memikirkan kemaslahatan satu sama lain, kata Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Beliau hadir di Rumah Peralihan Pertapis di Lorong 34, Geylang, pada 17 Jun untuk menyaksikan penyembelihan kambing korban secara langsung sempena Hari Raya Aidiladha.
Selain menyaksikan korban, Dr Faishal turut mengagihkan daging korban kepada para penerima bantuan di sana.
Seramai 250 penerima bantuan yang terdiri daripada keluarga memerlukan telah masing-masing menerima dua kilogram daging korban dan barangan dapur, antara lainnya.
Bertemu media, Dr Faishal berkata:
“Acara seperti ini memberi peluang bagi kita untuk menggembleng tenaga... untuk membangunkan masyarakat yang lebih kohesif, yang memikirkan kemaslahatan antara satu sama lain dan terus membangunkan negara kita yang kohesif.
“(Ia juga) memberi ruang bagi masyarakat untuk memainkan peranan bagi membangunkan sebuah masyarakat yang selalu memikirkan apakah kehidupan yang dijalani (orang lain) dan adakah cabaran itu sesuatu yang boleh kita kongsi bersama dan beri pertolongan.
“Ini terus memaparkan rahmah yang boleh ditonjolkan oleh masyarakat kita. Ia bukan sahaja meringankan beban mereka yang memerlukan tetapi sekali gus mencetuskan... rasa yang mereka disokong.”
“Apabila kita datang bersama, bergotong-royong... memberi pertolongan kepada masyarakat yang memerlukan, kita menonjolkan nilai seperti keihsanan, bagaimana kita boleh melayari kehidupan bersama, memberi ruang pertolongan dan kita tidak hidup berseorangan di Singapura,” tambah beliau.
Pertapis mengadakan acara korban secara langsung itu setelah 10 tahun tidak melakukannya. Dalam tempoh tersebut, Pertapis hanya melakukan korban di Australia dengan dagingnya kemudian dibawa masuk ke Singapura untuk diagihkan.
Menurut Presiden Pertapis, Encik Mohamed Shaharin Mohamed Nordin, keputusan tersebut merupakan “satu komitmen penting untuk menghidupkan semula dan mengekalkan tradisi, meningkatkan penglibatan masyarakat dan melestarikan budaya”.
“Kami rasa bahawa ia amat penting bagi masyarakat kami terutama generasi muda untuk memahami dan menghargai nilai dan makna yang terkandung dalam melaksanakan ibadah korban.
“Kami juga harap kami dapat memperkuat konsep rahmah yang menekankan kasih sayang dan... korban dalam membantu golongan memerlukan di Singapura,” ujarnya.
Menurut Encik Mohamed Shaharin, seramai 270 sukarelawan dan kakitangan Pertapis terlibat dalam menjayakan acara korban tersebut.
Mereka terlebih dahulu telah mengikuti kursus, termasuk di Malaysia, untuk mempersiapkan diri bagi menjalankan ibadah korban dengan sempurna dan beretika.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg