Sifat ihsan dalam kalangan masyarakat Muslim di Singapura kekal utuh, kata Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.
Beliau berkongsi bahawa masyarakat Islam di sini menjalankan ibadah dengan mengambil kira kemaslahatan antara satu sama lain.
Beliau berkata demikian kepada pihak media selepas menunaikan solat Hari Raya Aidiladha pada sesi kedua iaitu 8.45 pagi, di Masjid An-Nur di Admiralty Road pada 17 Jun.
Sesi tersebut dihadiri sekitar 2,000 anggota jemaah. Sesi pertama pada 7.20 pagi dihadiri sekitar 4,500 anggota jemaah.
Turut hadir pada sesi kedua ialah Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Kadir Maideen; Presiden Muis, Encik Saat A. Rahman dan Pengerusi Eksekutif Masjid An-Nur, Encik Juraiman Rahim.
Encik Masagos berkata: “Saya bersyukur bahawa jemaah kita sudah terbiasa dengan masjid-masjid, ada (masjid) yang menjalankan solat Aidiladha sehingga tiga sesi.
“Ini melambangkan sikap keihsanan, seperti yang dipesan dalam khutbah kali ini.”
Solat dan khutbah bagi sesi kedua diimamkan oleh Timbalan Mufti Ustaz Dr Mohd Murat Md Aris.
Ketika menyampaikan khutbah, Ustaz Murat memberi penekanan mengenai “keihsanan terhadap alam sekitar demi kemaslahatan kita dan generasi masa hadapan”.
“Ketika kerakusan manusia telah menyebabkan kebinasaan terhadap kehidupan dan alam sekitar ini, kita bertanggungjawab mengorbankan kerakusan ini.
“Mungkin ada di antara kita bertanggapan bahawa isu perubahan iklim dan pemanasan sejagat tiada kaitannya dengan agama.
“Jika ada pun, hanya dianggap sebagai tanda-tanda akhir zaman. Semua ini adalah ketentuan Allah. Manusia tidak mampu menghalangnya daripada berlaku.
“Benar! Fenomena ini adalah ketentuan Allah swt. Namun, kita sebagai seorang Mukmin berperanan berada di barisan hadapan menangani cabaran ini,” ujarnya.
Di samping itu, Encik Masagos berbesar hati dengan respons masyarakat Islam di sini yang melakukan ibadah korban di luar negara.
Secara khususnya, beliau merujuk kepada inisiatif SalamSG Korban (SSGK) 2024, dengan lebih 4,200 haiwan korban telah ditempah.
Dalam satu kenyataan pada 11 Jun, SalamSG melaporkan sebanyak 4,323 ekor ternakan – termasuk 2,707 kambing, 1,547 kambing biri-biri dan 69 lembu (bersamaan dengan 484 bahagian lembu) – telah dijual menerusi SSGK.
Sejumlah 52 masjid setempat di bawah SSGK menawarkan perkhidmatan korban luar negara iaitu di Australia.
Korban tersebut dilakukan sempena Hari Raya Aidiladha atau hari-hari Tasyrik sebelum dagingnya dibekukan dan diterbangkan serta diagihkan kepada mereka yang memilih melaksanakan ibadah tersebut (sohibul korban) serta penerima lain.
Kenyataan itu menambah penghantaran dijangka mengambil masa sekitar tiga hari bekerja selepas hari Tasyrik dan mungkin berterusan sehingga dua minggu, bergantung pada jadual.
Dalam pada itu, Encik Juraiman berkongsi bahawa kesemua 270 slot bagi haiwan korban – terdiri daripada 120 kambing, 80 kambing biri-biri dan 70 lembu – bagi Masjid An-Nur di bawah SSGK habis ditempah.
Beliau berkata: “Masjid An-Nur mencatatkan tempahan sebanyak 44 peratus lebih banyak daripada 2023 dengan adanya kambing, kambing biri-biri dan juga lembu yang ditawarkan.
“Hasil daripada jualan ini, dianggarkan hampir 3,000 kilogram daging akan diagihkan dalam masa terdekat kepada golongan yang memerlukan seperti penerima zakat, ahli keluarga dengan pencari nafkah di dalam penjara dan lain-lain.”
Dalam catatan Facebooknya pada 17 Jun pula, Encik Masagos berkata jemaah Singapura yang sedang melaksanakan ibadah haji berada dalam keadaan baik.
“Kita tidak putus mendoakan keselamatan dan kesejahteraan mereka. Haji Mabrur. Insya-Allah!” tambah beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg