Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pertapis kekal relevan melalui kerjasama menyeluruh

Lancar inisiatif naik taraf rumah kebajikan, sasar kumpul $200,000
Oct 31, 2025 | 8:30 PM
Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam (tiga dari kiri) bersama Presiden Pertapis, Encik Shaharin Nordin (tiga dari kanan) dan lembaga pengarah badan tersebut di Majlis Makan Malam Amal sempena ulang tahun Pertapis yang ke-55 pada 31 Oktober di Hotel Furama RiverFront.
Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam (tiga dari kiri) bersama Presiden Pertapis, Encik Shaharin Nordin (tiga dari kanan) dan lembaga pengarah badan tersebut di Majlis Makan Malam Amal sempena ulang tahun Pertapis yang ke-55 pada 31 Oktober di Hotel Furama RiverFront. - Foto PERTAPIS

Komitmen Pertapis terhadap kerjasama – dengan pemerintah, masyarakat dan rakan kongsi lain – membantu pertubuhan tersebut kekal relevan dalam usaha menangani cabaran yang dihadapi masyarakat.

Pertubuhan tersebut juga telah memastikan ia terus berubah demi memenuhi keperluan berbeza masyarakat, termasuk dalam bidang pendidikan, pemulihan dan pemerkasaan.

Demikian ditekankan Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, dalam ucapannya semasa Majlis Makan Malam Amal sempena ulang tahun Pertapis yang ke-55 pada 31 Oktober di Hotel Furama RiverFront.

“Apa yang menjadikan Pertapis benar-benar istimewa ialah komitmennya terhadap kerjasama. Pertubuhan ini telah bekerjasama rapat dengan pemerintah, masyarakat dan rakan kongsi penjagaan kesihatan untuk meluaskan impaknya.

“Kerjasama sebegini menonjolkan bagaimana Pertapis terus kekal relevan, menangani cabaran sosial dan kesihatan, serta memastikan penjagaan yang lebih menyeluruh dan mampan untuk individu dan keluarga,” kata Cik Rahayu.

Beliau menekankan bagaimana Pertapis telah bekerjasama dengan Diabetes Singapura semasa Ramadan untuk meningkatkan kesedaran tentang penyakit kencing manis dan menggalak masyarakat agar menjaga kesihatan mereka.

Beliau turut memberi contoh inisiatif, Maybank Kindness Week, di mana agensi pemerintah, rakan kongsi korporat, dan 14 pertubuhan tidak meraih untung, termasuk Pertapis dan badan-badan Melayu/Islam (MMO) yang lain, bekerjasama untuk meningkatkan taraf keluarga yang kurang bernasib baik.

“Ia merupakan contoh yang hebat tentang bagaimana, apabila kita bertindak sebagai satu masyarakat dengan satu hati, belas kasihan kita berlipat ganda, dan impaknya berkekalan,” kata Cik Rahayu.

Memandangkan cabaran masyarakat semakin rumit, Cik Rahayu berkata tugas pertubuhan seperti Pertapis menjadi lebih kritikal dan sokongan mereka kini semakin penting.

Memetik kata-kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim sebelum ini, Cik Rahayu menekankan pentingnya kerjasama antara MMO dalam mewujudkan impak berkekalan terhadap masyarakat.

“Wujud peluang yang besar untuk memperdalam kerjasama antara badan-badan seperti Pertapis dan ekosistem M3 sedia ada.

“Dengan memanfaatkan kekuatan, rangkaian dan kepakaran masing-masing, kita dapat meningkatkan lebih ramai individu dan keluarga secara bermakna.

“Dengan berbuat demikian, kita akan maju bersama dengan perkongsian yang lebih mendalam dan semangat baru untuk mencapai matlamat, bukan sahaja untuk masyarakat bahkan juga negara secara keseluruhan,” kata Cik Rahayu.

Dalam ucapannya, Cik Rahayu berkongsi bahawa Pertapis akan memulakan inisiatif pengumpulan dana untuk menaik taraf rumah-rumah kebajikannya.

Pertapis mengendalikan empat rumah kebajikan, termasuk Rumah Tumpangan Kanak-Kanak Pertapis, Pusat Pertapis Untuk Wanita dan Remaja Perempuan, Rumah Pemulihan Pertapis, dan Rumah Warga Emas Pertapis.

Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH), Pertapis berkata inisiatif pengumpulan dana itu telah dilancarkan pada 1 Oktober dan bertujuan mengumpul $200,000 untuk mengubah suai dan menaik taraf rumah kebajikan mereka.

Perubahan itu termasuk menambah baik ruang tidur dan ruang tamu untuk kanak-kanak, wanita, bekas pesalah dan warga emas, mempertingkat kawasan pembelajaran dan program pengayaan, serta menaik taraf kawasan komunal dan riadah.

Berucap semasa acara tersebut, Presiden Pertapis, Encik Shaharin Nordin, memberikan penghargaan kepada penderma, penaja dan rakan kongsi masyarakat atas sokongan dan sumbangan mereka.

“Sumbangan anda telah memberi kesan langsung kepada kehidupan kanak-kanak, keluarga dan warga emas di bawah jagaan kami.

“Kerjasama anda menunjukkan bahawa tanggungjawab sosial bukan sekadar memberi, bahkan juga membina masyarakat yang lebih baik dan lebih bertimbang rasa bersama,” kata Encik Shaharin.

Yayasan Salleh Marican tampil sebagai penderma utama dengan sumbangan $55,000 di acara amal yang dihadiri oleh kira-kira 350 tetamu itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg