Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pertapis mahu bekerjasama dengan lebih ramai rakan demi bantu masyarakat

Mar 2, 2024 | 4:44 PM
Presiden Pertapis, Encik Mohamed Shaharin Mohamed Nordin (dua dari kiri) kelihatan membungkus habuan bersama Anggota Parlimen (AP) GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat (kemeja biru, dua dari kanan) dan Ketua Jabatan Perbankan Islam, Maybank Singapura, Encik Sazzali Sabandi (kemeja polo hitam).
Presiden Pertapis, Encik Mohamed Shaharin Mohamed Nordin (dua dari kiri) kelihatan membungkus habuan bersama Anggota Parlimen (AP) GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat (kemeja biru, dua dari kanan) dan Ketua Jabatan Perbankan Islam, Maybank Singapura, Encik Sazzali Sabandi (kemeja polo hitam). - Foto BM oleh HARITH MUSTAFFA

Menjalin hubungan dengan lebih ramai rakan kerjasama adalah penting bagi Persatuan Taman Pengajian Islam Singapura (Pertapis), demi mencapai hasrat mempertingkat daya usaha kebajikannya untuk disalur kepada lebih ramai anggota masyarakat.

Demikian dinyatakan Presiden baru Pertapis, Encik Mohamed Shaharin Mohamed Nordin ketika ditemui Berita Minggu (BM) dalam satu acara pembungkusan dan pengagihan habuan Ramadan kepada lebih 600 keluarga di Rumah Peralihan Pertapis, pagi 2 Mac.

Acara Food on Wheels itu, melibatkan lebih 120 relawan daripada Pertapis dan Maybank, termasuk sekitar 40 pelajar dan guru daripada Madrasah Aljunied Al-Islamiah, Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah, Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah dan Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah.

Relawan perempuan terdiri daripada pelajar madrasah kelihatan memeriksa habuan Ramadan ‘Food on Wheels’, yang bakal diagihkan kepada seramai 613 keluarga pada 2 Mac.
Relawan perempuan terdiri daripada pelajar madrasah kelihatan memeriksa habuan Ramadan ‘Food on Wheels’, yang bakal diagihkan kepada seramai 613 keluarga pada 2 Mac. - Foto BM oleh HARITH MUSTAFFA

Encik Shaharin berkata kerjasama sebegini, menandakan orak langkah ketara bagi Pertapis mencapai sasarannya.

“Ini yang saya dan ahli lembaga baru kami mahukan, iaitu untuk menjadi sebuah institusi yang bukan sahaja tertumpu kepada khidmat yang kami berikan kepada penerima dan penghuni di pusat-pusat kami, tetapi juga kepada masyarakat secara keseluruhannya,” katanya kepada wartawan.

“Kami mahu membuka pintu kepada lebih ramai rakan, seperti hari ini, Maybank, untuk melihat apa lagi yang kami boleh lakukan demi masyarakat setempat,” ujarnya lagi.

Presiden Pertapis, Encik Mohamed Shaharin Mohamed Nordin (tengah) dan Setiausaha Agung Pertapis, Encik Fazil Abdul Hamid (kiri) menerima cek berjumlah $20,000 daripada Maybank yang diwakili Ketua Jabatan Perbankan Islam, Maybank Singapura, Encik Sazzali Sabandi (kanan).
Presiden Pertapis, Encik Mohamed Shaharin Mohamed Nordin (tengah) dan Setiausaha Agung Pertapis, Encik Fazil Abdul Hamid (kiri) menerima cek berjumlah $20,000 daripada Maybank yang diwakili Ketua Jabatan Perbankan Islam, Maybank Singapura, Encik Sazzali Sabandi (kanan). - Foto BM oleh HARITH MUSTAFFA

Program Food on Wheels itu bertujuan menawarkan bahan keperluan dapur seperti antaranya biskut, bijirin, gula dan minyak masak, bagi membantu penerima membuat persiapan menjelang Ramadan yang bakal menjelang.

Golongan penerima terdiri daripada 500 keluarga golongan memerlukan dan 113 keluarga penghuni Rumah Peralihan, Rumah Tumpangan Kanak-Kanak dan Rumah Muhibah Warga Tua Pertapis serta Pusat Pertapis bagi Wanita dan Perempuan.

Maybank telah menaja sebanyak $20,000 kepada projek itu termasuk baucar barang keperluan bernilai $50 bagi setiap penerima.

Relawan daripada Pertapis, Maybank dan madrasah telah hadir di tempat acara seawal 8.30 pagi bagi membungkus habuan itu dalam ratusan beg tersedia.

Mereka kemudian menghantar habuan-habuan itu secara bersemuka kepada penerima dengan menggunakan kenderaan sendiri di beberapa lokasi termasuk Jurong, Clementi, Bedok, Woodlands, Tampines dan Ang Mo Kio.

Pelajar Madrasah Aljunied Al-Islamiah, Muhammad Salim (tiga dari kiri), kelihatan membungkus habuan Ramadan di Rumah Peralihan Pertapis pada pagi 2 Mac.
Pelajar Madrasah Aljunied Al-Islamiah, Muhammad Salim (tiga dari kiri), kelihatan membungkus habuan Ramadan di Rumah Peralihan Pertapis pada pagi 2 Mac. - Foto BM oleh HARITH MUSTAFFA

Seorang relawan, pelajar Madrasah Aljunied Al-Islamiah, Muhammad Salim, 17 tahun, berkata beliau berasa rendah hati diberi peluang melakukan kerja amal sebegitu bersama 13 lagi temannya yang lain.

“Walaupun kita rasa letih apabila melakukan program seperti ini, setiap titisan peluh itu, Insya-Allah, dikira sebagai amalan,” katanya yang kerap terlibat dalam acara amal.

Ketua Pembangunan Pelajar, Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah, Ustazah Nurhidia Suzieyanti Sulaimee, yang melibatkan seramai lapan pelajarnya ke acara itu berkata ia satu pendedahan yang baik kepada pelajarnya melakukan kerja amal sebelum tibanya Ramadan.

Ketua Pembangunan Pelajar, Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah, Ustazah Nurhidia Suzieyanti Sulaimee (kanan) kelihatan memeriksa habuan bersama murid-muridnya pada acara ‘Food on Wheels’ anjuran Pertapis pada 2 Mac.
Ketua Pembangunan Pelajar, Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah, Ustazah Nurhidia Suzieyanti Sulaimee (kanan) kelihatan memeriksa habuan bersama murid-muridnya pada acara ‘Food on Wheels’ anjuran Pertapis pada 2 Mac. - Foto BM oleh HARITH MUSTAFFA

Anggota Parlimen (AP) GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat yang hadir pada acara itu menyifatkannya sebagai satu nada baru dengan penglibatan kerjasama pihak korporat, sekolah dan masyarakat.

“Saya harap kerjasama seperti ini dapat berterusan kerana ini contoh yang baik sebab kami lihat, ia bukan sahaja satu program yang mana satu pihak hanya menawarkan sokongan dalam bentuk wang sahaja, tetapi juga melibatkan sumbangan dari segi masa dan tenaga manusia untuk sama-sama menjayakan acara ini,” katanya.

Projek ‘Food on Wheels’ dijayakan seramai 120 relawan yang terdiri daripada pelajar dan guru empat madrasah tempatan, Pertapis dan Maybank.
Projek ‘Food on Wheels’ dijayakan seramai 120 relawan yang terdiri daripada pelajar dan guru empat madrasah tempatan, Pertapis dan Maybank. - Foto BM oleh HARITH MUSTAFFA
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg