Amanah yang digalas bukan ringan. Kesungguhan dan keprihatinan diutamakan.
Begitulah Pertapis, badan amal berdedikasi dalam urusan kebajikan. Dengan hadirnya bulan Ramadan, Pertapis amat menyedari keperluan yang semakin meningkat bagi kumpulan yang rentan di Singapura.
Pertapis mengendalikan empat buah rumah kebajikan. Rumah kebajikan tersebut ialah Rumah Kanak-Kanak Pertapis (PCH), Pusat Wanita dan Remaja Perempuan Pertapis (PCWG), Rumah Peralihan Pertapis (PHH) dan Rumah Warga Emas Pertapis (PSCFH). Sumbangan derma dan zakat amat dialu-alukan bagi penyelenggaraan rumah-rumah kebajikan ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Pertapis, Encik Firdaus D’Cruz, berkata:
“Ramadan disambut penuh semangat dan gembira di keempat-empat rumah kebajikan. Para penghuni Pertapis akan menunaikan salah satu rukun Islam dan menikmati kemanisan Ramadan seperti bertarawih, menikmati hidangan iftar/buka puasa yang berbeza dan menyemai amalan yang menggalakkan disiplin, penjagaan diri dan rasa kesyukuran.”
Tambah Encik Firdaus lagi:
“Acara khas Iftar@Homes yang dianjurkan khusus untuk penghuni rumah kebajikan, memberi peluang kepada ahli keluarga penghuni melawat rumah kebajikan, berbuka puasa bersama, di samping merapatkan silaturahim.
“Ini aspek penting yang dipegang oleh Pertapis demi mengekalkan dan mengukuhkan struktur keluarga. Kami rasakan ini penting untuk menyepadukan penghuni bersama keluarga mereka dan masyarakat.”
Selain itu, Pertapis juga membantu 500 keluarga, termasuk ibu tunggal, keluarga yang berpendapatan rendah, serta individu yang mempunyai keperluan khas dan kurang upaya.
”Wang zakat yang kami terima membantu kami dalam pelaksanaan pelbagai program yang mampan, seperti penjagaan khusus, menyediakan kemudahan yang lebih baik untuk rumah-rumah kebajikan kami, keperluan asas seperti catuan makanan dan juga menghulurkan bantuan alternatif kepada keluarga berpendapatan rendah,” jelas Encik Firdaus.
Pertapis juga memohon sumbangan derma bagi membiayai kerja naik taraf rumah kebajikan.
Rumah Kanak-Kanak Pertapis dan Rumah Peralihan Pertapis memerlukan $8 juta untuk pengubahsuaian.
Program naik taraf ini penting bagi memastikan ruang kediaman yang lebih sesuai dan selesa.
“Pertapis dengan rendah hati ingin meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan derma dan zakat, serta impak langsung sumbangan masyarakat setempat kepada penghuni rumah kebajikan dan penerima bantuan tersebut.
“Sumbangan masyarakat membantu menangani cabaran yang dihadapi penerima bantuan dan membiayai program bantuan seperti pendidikan, tempat tinggal sementara dan pemulihan,’‘ ujar Encik Firdaus.
SEKILAS
1. Orang ramai boleh menunaikan zakat di pejabat Pertapis di Blok 1, Joo Chiat Road, #04-1001, Singapura 420001 atau di reruai Pertapis di Bazar Geylang Serai.
2. Untuk keterangan lanjut, sila lungsuri laman https://www.pertapis.org.sg/
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg