Bahasa Melayu lebih daripada sekadar kaedah komunikasi rasmi, bahkan mencerminkan budaya yang sarat dengan nilai kekeluargaan, sikap saling menghormati dan keharmonian, sejajar dengan prinsip teras yang dipegang setiap rumah kebajikan Persatuan Taman Pengajian Islam Singapura (Pertapis).
Dalam usaha memberi tumpuan terhadap penggunaan bahasa Melayu dan pada masa yang sama, mengetengahkan potensi serta bakat penghuni Pertapis, satu acara sempena Bulan Bahasa bertemakan Bersama Berbahasa, Bersama Berkeluarga telah diadakan di restoran De Hall pada 4 Oktober.
Acara yang bertujuan meraikan usaha penyepaduan sosial, jati diri budaya dan peranan penting sokongan masyarakat itu dianjurkan Pusat Pertapis Untuk Wanita dan Perempuan (PCWG) bersama Women Empowerment Singapore, De Hall Events and Catering, dengan kerjasama Bulan Bahasa.
Acara tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran Anggota Parlimen (AP) GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah, yang menzahirkan penghargaan terhadap sumbangan sektor khidmat sosial serta peranan penting Pertapis dalam masyarakat Melayu/Islam.
Selain disajikan dengan hidangan makan malam, para hadirin turut dapat menyaksikan persembahan nyanyian oleh para penghuni yang memaparkan bakat mereka.
Acara itu turut memberi peluang kepada penghuni dan benefisiari Pertapis untuk beramah mesra dan memperluas rangkaian hubungan mereka.
Menekankan kepentingan acara itu, Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pertapis, Cik Murshida Mohamed Kadir berkata ia bukan sahaja meraikan Bulan Bahasa, tetapi juga keluarga, masyarakat dan yang paling utama, kejayaan serta potensi penghuni di PCWG.
Cik Murshida menambah bahawa penglibatan secara langsung seperti ini membantu penghuni menimba “kemahiran hidup yang amat berharga” serta “mempersiapkan mereka untuk menghadapi cabaran dan membina masa depan yang lebih cerah”.
Peranan penting bahasa dalam memperkukuh jati diri orang Melayu turut ditonjolkan dalam acara tersebut.
Selain itu, acara tersebut menyediakan wadah bagi masyarakat untuk mengiktiraf bakat dan potensi para penghuni, menurut kenyataan media yang dikeluarkan Pertapis.
Tema kekeluargaan menjadi teras utama, dengan penekanan terhadap peranan penting ibu bapa, adik-beradik, serta ahli keluarga terdekat dalam menyokong pemulihan dan perkembangan para penghuni.
Kini, Pertapis mengendalikan empat rumah kediaman, termasuk Rumah Tumpangan Kanak-Kanak Pertapis (PCH), PCWG, Rumah Pemulihan Pertapis dan Rumah Warga Emas Pertapis (PSCFH).
Selain itu, Pertapis turut menyokong seramai 500 keluarga berpendapatan rendah melalui pengagihan bekalan makanan secara bulanan, baucar pasar raya, khidmat pembersihan rumah dan tuisyen.
Dalam melaksanakan perkhidmatan serta bantuan tersebut, Pertapis menanggung perbelanjaan tahunan sekitar $15 juta.
Pertapis berhasrat meningkatkan kesedaran tentang pelbagai cabaran yang dihadapi masyarakat Melayu, dan mengalu-alu sumbangan, sokongan, serta penglibatan sukarelawan bagi memastikan kelangsungan dan perkembangan inisiatif pentingnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg