Topik diikuti
Pergi ke BHkuPertubuhan agama kumpul $354,000 bantu mangsa banjir, tanah runtuh Nepal
Pertubuhan agama kumpul $354,000 bantu mangsa banjir, tanah runtuh Nepal
Sebanyak $354,000 telah berjaya dikumpulkan oleh Humanity Matters sejak 14 September dalam usaha membantu mangsa banjir dan tanah runtuh di Nepal.
Jumlah Ini termasuk sumbangan $254,000 dari 12 pertubuhan agama setempat, di mana $183,000 diserahkan dari pertubuhan Singapore Buddhist Lodge, Tabernacle Church & Mission, dan Geeta Ashram Singapore.
Sumbangan itu disalurkan sedang usaha bantuan kemanusiaan di negara tersebut kini beralih daripada operasi mencari dan menyelamat kepada fasa pemulihan dan pembinaan semula, demikian menurut badan bukan pemerintah (NGO), Humanity Matters (HM).
Demikian diumumkan HM pada 13 Oktober, bersempena Hari Antarabangsa bagi Pengurangan Risiko Bencana yang diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Langkah tiga pertubuhan itu menyusuli sumbangan beberapa pertubuhan lain termasuk Simply Islam, Masjid Bencoolen, AMP Singapura, Taoist Mission dan Mahakaruna Buddhist Society, yang telah menghulurkan sumbangan sejak September 2026.
Pengerusi Bukan Eksekutif SimplyIslam Group, Encik Mohamed Nassir Abdul Sukkur, berkata pertubuhan berasaskan agama mempunyai tanggungjawab moral untuk membantu golongan memerlukan, khususnya mereka yang paling terdedah kepada kesan bencana.
“Pertubuhan berasaskan agama berkongsi tanggungjawab moral untuk berkhidmat kepada masyarakat, khususnya golongan yang paling memerlukan bantuan.
“Dengan menyumbang kepada usaha kemanusiaan antarabangsa bersama rakan kerjasama yang dipercayai seperti Humanity Matters, sama ada bagi Gaza sebelum ini mahupun Nepal sekarang, kami dapat menterjemahkan nilai empati dan perpaduan yang dikongsi bersama kepada tindakan nyata.
“Kerjasama merentas agama ini juga menunjukkan bahawa kepercayaan agama boleh menjadi pemangkin kepada perpaduan, keharmonian sosial dan kesejahteraan bersama,” kata Encik Nassir.
Beliau berharap sumbangan tersebut dapat meringankan beban masyarakat yang terjejas akibat banjir dan bencana lain di Nepal, di samping memperkukuh semangat kerjasama antara agama, tambahnya.
Sumbangan yang dikumpulkan itu akan menyokong usaha pemulihan jangka panjang HM di Nepal, termasuk pembinaan blok tambahan di Rumah Anak Yatim COU-IRO (Children of the Universe–Inter-Religious Organisation).
Rumah anak yatim tersebut dibina pada 2016 menyusuli ‘bencana Gurkha’ yang melanda Nepal pada 2015.
Projek peluasan itu dijangka menggandakan kapasiti rumah anak yatim berkenaan daripada 30 kepada 60 kanak-kanak, dengan kerja pembinaan disasarkan siap antara Disember 2026 dengan Januari 2027, menurut Penasihat Khas HM, Encik Hassan Ahmad.
HM turut mengatur penghantaran bekalan bantuan yang merangkumi 5,000 bekas air boleh lipat, 3,000 bantal angin dan 500 selimut musim sejuk.
Bagi menyelaraskan pengagihan bekalan tersebut, satu lagi pasukan HM dijadualkan berlepas ke Nepal pada 26 Oktober.
Mengulas mengenai sokongan yang diterima setakat ini, Encik Hassan menyifatkan kerjasama berterusan antara pertubuhan pelbagai agama itu sebagai cerminan semangat perpaduan dan keprihatinan masyarakat Singapura terhadap mangsa bencana di luar negara.
“Perpaduan pelbagai pertubuhan agama yang mengetepikan perbezaan kepercayaan demi menjunjung nilai sejagat seperti belas ihsan dan kemanusiaan amat bermakna.
“Ia bukan sahaja memperlihatkan semangat kemanusiaan Singapura yang melangkaui sempadan negara, budaya dan agama, malah menjadi teladan kepada generasi muda tentang pentingnya nilai-nilai tersebut,” katanya.
Encik Hassan turut menyambut baik sokongan berterusan daripada pertubuhan tempatan, lebih-lebih lagi apabila usaha bantuan kini memasuki fasa pemulihan jangka panjang.
“Apa yang menarik, sumbangan ini bukan diberikan sekali sahaja, sebaliknya berterusan. Malah, ada pertubuhan yang tampil menyumbang buat kali kedua selepas mengetahui keadaan sebenar di lapangan.
“Kita amat bertuah kerana mempunyai masyarakat Singapura yang terus menghulurkan bantuan secara konsisten, meskipun bagi tujuan kemanusiaan yang sama,” ujarnya.