Sebanyak $354,000 telah berjaya dikumpulkan oleh Humanity Matters (HM) sejak 14 September dalam usaha membantu mangsa banjir dan tanah runtuh di Nepal.

Jumlah ini termasuk sumbangan $254,000 oleh 12 pertubuhan agama setempat, di mana $183,000 adalah daripada pertubuhan Singapore Buddhist Lodge, Tabernacle Church & Mission dan Geeta Ashram Singapore.

Sumbangan itu disalurkan sedang usaha bantuan kemanusiaan di negara tersebut kini beralih daripada operasi mencari dan menyelamat kepada fasa pemulihan dan pembinaan semula.

Demikian diumumkan badan bukan pemerintah (NGO), HM, pada 13 Oktober, sempena Hari Antarabangsa bagi Pengurangan Risiko Bencana yang diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Langkah tiga pertubuhan itu menyusuli sumbangan beberapa pertubuhan lain termasuk Simply Islam, Masjid Bencoolen, AMP Singapura, Taoist Mission dan Mahakaruna Buddhist Society, yang telah menghulurkan sumbangan sejak September lalu.

Pengerusi Bukan Eksekutif SimplyIslam Group, Encik Mohamed Nassir Abdul Sukkur, berkata: “Pertubuhan berasaskan agama berkongsi tanggungjawab moral untuk berkhidmat kepada masyarakat, khususnya golongan yang paling memerlukan bantuan.

“Dengan menyumbang kepada usaha kemanusiaan antarabangsa bersama rakan kerjasama yang dipercayai seperti HM, sama ada bagi Gaza sebelum ini mahupun Nepal, kami dapat menterjemahkan nilai empati dan perpaduan yang dikongsi bersama kepada tindakan nyata.

“Kerjasama merentas agama ini juga menunjukkan bahawa kepercayaan agama boleh menjadi pemangkin kepada perpaduan, keharmonian sosial dan kesejahteraan bersama.”

Beliau berharap sumbangan tersebut dapat meringankan beban masyarakat yang terjejas akibat banjir dan bencana lain di Nepal, di samping memperkukuh semangat kerjasama antara agama, tambahnya.

Sumbangan yang dikumpulkan itu akan menyokong usaha pemulihan jangka panjang HM di Nepal, termasuk pembinaan blok tambahan di rumah anak yatim COU-IRO (Anak-Anak Sejagat-Pertubuhan Antara Agama).

Pada masa yang sama, HM juga telah mula melibatkan pakar psikologi menjalankan pendekatan dengan anak-anak yatim COU-IRO, dalam usaha memenuhi keperluan psikologi serta sosioemosi mereka.

Rumah anak yatim tersebut dibina pada 2016 menyusuli ‘bencana Gurkha’ yang melanda Nepal pada 2015.

Projek peluasan itu dijangka menggandakan kapasiti rumah anak yatim berkenaan daripada 30 kepada 60 kanak-kanak, dengan kerja pembinaan disasarkan siap antara Disember 2026 dengan Januari 2027, ujar Penasihat Khas HM, Encik Hassan Ahmad.

HM turut mengatur penghantaran bekalan bantuan yang merangkumi 5,000 bekas air boleh lipat, 3,000 bantal angin dan 500 selimut musim sejuk.

Bagi menyelaraskan pengagihan bekalan tersebut, satu lagi pasukan HM dijadual berlepas ke Nepal pada 26 Oktober.

Mengulas mengenai sokongan yang diterima setakat ini, Encik Hassan menyifatkan kerjasama berterusan antara pertubuhan pelbagai agama itu sebagai cerminan semangat perpaduan dan keprihatinan masyarakat Singapura terhadap mangsa bencana di luar negara.

“Perpaduan pelbagai pertubuhan agama yang mengetepikan perbezaan kepercayaan demi menjunjung nilai sejagat seperti belas ihsan dan kemanusiaan amat bermakna.

“Ia bukan sahaja memperlihatkan semangat kemanusiaan Singapura yang melangkaui sempadan negara, budaya dan agama, malah menjadi teladan kepada generasi muda tentang pentingnya nilai-nilai tersebut,” katanya.

Encik Hassan turut menyambut baik sokongan berterusan daripada pertubuhan tempatan, lebih-lebih lagi apabila usaha bantuan kini memasuki fasa pemulihan jangka panjang.

“Apa yang menarik, sumbangan ini bukan diberikan sekali sahaja, sebaliknya berterusan. Malah, ada pertubuhan yang tampil menyumbang buat kali kedua selepas mengetahui keadaan sebenar di lapangan.

“Kita amat bertuah kerana mempunyai masyarakat Singapura yang terus menghulurkan bantuan secara konsisten, meskipun bagi tujuan kemanusiaan yang sama,” ujarnya.