Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trauma buli jejas kesihatan mental dan emosi remaja

May 31, 2025 | 5:30 AM
mangsa buli, cyber bully
Encik Zane (bukan nama sebenar) mengalami trauma mendalam dan serangan panik akibat dibuli semasa di sekolah rendah lebih sedekad lalu. Ia satu pengalaman yang terus menghantuinya hingga ke politeknik dan ketika menjalani Perkhidmatan Negara (NS). - Foto BH oleh IZWANDI AZMAN

Bagi kebanyakan murid, tamat sekolah rendah bermakna mengucapkan selamat tinggal kepada rakan lama dan berasa teruja untuk memulakan alam sekolah menengah.

Namun, bagi Encik Zane (bukan nama sebenar), beliau meninggalkan sekolah rendah keseorangan pada 2014 walaupun dikelilingi rakan sekolah.

“Saya rasa terasing kerana tiada sesiapa di sekolah yang saya anggap sebagai kawan,” kongsinya ketika mengimbas zaman silam itu.

Encik Zane, 22 tahun, merupakan mangsa buli siber dan fizikal dari Darjah 4 hingga Darjah 6.

Beliau diejek menerusi wadah media sosial seperti Twitter (kini dikenali sebagai X), Instagram dan WhatsApp, dan turut menjadi mangsa pemerasan wang serta tohmahan oleh pelajar lebih tua.

Usahanya untuk mendapatkan bantuan daripada guru dan ibu bapa tidak membuahkan hasil, dengan mereka sama ada tidak percaya atau mengabaikannya.

Pengalaman Encik Zane adalah antara yang dikongsi dalam dapatan kajian terbaru dijalankan pertubuhan bukan pemerintah (NGO), SG Her Empowerment (SHE), yang ditubuhkan pada 2022 untuk memperjuangkan kesaksamaan jantina.

Dapatan kajian itu dibentangkan pada satu sidang media di Pusat Reka Bentuk Nasional, di Middle Road, pada 29 Mei.

Dalam kajian yang dijalankan pada Oktober 2024 itu, seramai 25 mangsa berumur antara 18 dengan 45 tahun ditemu bual mengenai kesan bahaya dalam talian terhadap kesihatan mental dan emosi mereka.

Pengalaman buli itu turut menjejas prestasi akademik Encik Zane di sekolah rendah.

Menurutnya, beliau pada mulanya menunjukkan prestasi yang baik pada peringkat awal sekolah rendah, tetapi apabila kejadian buli siber berlaku, prestasinya menjunam dengan ketara.

Trauma dialaminya semasa kecil terus menghantuinya sehingga di politeknik, apabila maklumat peribadinya didedahkan (doxing) oleh seorang bekas rakan sekelas.

Akibatnya, beliau mengalami trauma mendalam.

“Saya tidak benar-benar sembuh daripada pengalaman itu.

“Selepas insiden tersebut, saya sibukkan diri dengan kerja, tugasan sekolah, kegiatan kokurikulum (CCA), kerja sambilan dan keluar bersama kawan-kawan.

“Saya cuba pastikan diri sentiasa sibuk supaya tiada masa untuk memikirkannya. Sehingga hari ini, kesannya masih terasa,” jelasnya kepada Berita Harian (BH).

Tidak seperti semasa di sekolah rendah, Encik Zane berkata rangkaian sosialnya yang kukuh di politeknik membantunya pulih secara emosi dan mengatasi tekanan akibat kejadian tersebut.

Walaupun mendapat sokongan rakan dan pelaku akhirnya dibuang daripada politeknik, beliau mengalami tekanan sekali lagi ketika menjalani Perkhidmatan Negara (NS).

“(Semasa) menjalani NS… saya teringat balik… serangan panik… walaupun tiada kaitan langsung dengan insiden di sekolah rendah… memori itu tiba-tiba kembali,” jelasnya.

Encik Zane berharap agar institusi pendidikan mendengar dahulu apa kata mangsa, terutama pelajar muda, sebelum mengambil sebarang tindakan.

Apabila ditanya tentang nasihatnya kepada pelajar lain yang melalui pengalaman serupa, Encik Zane, menambah:

“Jangan hadapi semuanya seorang diri. Kalau ada orang suruh kamu lupakan sahaja, jangan ikut cakap mereka sebab saya dah cuba jalan itu. Dan jujurnya, ia bukan jalan yang baik.

“Ia sangat menjejas diri kamu. Ia boleh menjejaskan hubungan kamu dengan kawan dan keluarga, malah cara kamu berfikir juga berubah.

“Jadi, jangan hadapi semua ini seorang diri. Jika ada seseorang yang kamu percayai, luahkanlah kepada mereka.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg