Keputusan pemerintah untuk mempertimbangkan pembinaan rumah di kawasan hijau atau tapak warisan tidak diambil secara ringan, dan hanya dilakukan sekiranya tiada tapak sedia ada atau tapak yang pernah dibangunkan tetapi terbiar yang sesuai, kata Menteri Kedua (Pembangunan Negara merangkap Kewangan), Cik Indranee Rajah. 

Beliau menambah pihak berkuasa menangani isu tanah terhad menerusi dua cara.

Pertama, dengan mengambil kira keperluan dalam setiap keputusan mengenai penggunaan tanah.

Kedua, dengan membesarkan ruang seperti menambak tanah, membina bangunan lebih tinggi atau meneroka ruang bawah tanah untuk generasi masa kini dan akan datang.

Demikian kata Cik Indranee kepada hadirin yang merangkumi golongan muda pada 14 September menjelang sesi dialog tertutup mengenai perumahan. 

Sesi anjuran bersama Kementerian Pembangunan Negara (MND) dan Majlis Belia Kebangsaan (NYC) itu diadakan di *Scape Ground Theatre di Orchard Link.

Dalam ucapannya, Cik Indranee yang juga Menteri di Pejabat Perdana Menteri, menyatakan bahawa masyarakat kini hidup lebih lama, dengan ramai warga emas memilih untuk meluangkan usia tua di kediaman masing-masing.

Sementara itu, lebih ramai golongan muda dan individu bujang inginkan rumah sendiri, katanya.

Hasilnya, purata saiz isi rumah bagi satu unit Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) merosot daripada hampir lima orang pada 1980, kepada kurang daripada tiga orang pada 2025.

Dengan peningkatan permintaan terhadap unit flat, pihak berkuasa perlu mencari lebih banyak tapak untuk membina kediaman, kata Cik Indranee.

Bagi memanfaatkan penggunaan tapak yang pernah dibangunkan, strateginya adalah dengan membina bangunan lebih tinggi.

Sebagai contoh, flat yang bakal dibangunkan di kaki bukit Pearl’s Hill di Outram Park akan melebihi 60 tingkat.

Pihak berkuasa juga sedang membangunkan semula beberapa padang golf selepas tempoh pajakannya tamat.

Menjelang 2030, pemerintah bakal mengambil semula lebih 400 hektar tanah padang golf – dengan saiz bersamaan hampir 600 padang bola sepak – bagi tujuan pembangunan semula.

Ini termasuk tapak lama padang golf Keppel Club di mana perumahan baharu Berlayar akan dibina, sebagai sebahagian daripada Greater Southern Waterfront.

“Sekiranya tiada tapak sedia ada atau tapak yang pernah digunakan yang sesuai, kami perlu mempertimbangkan pembangunan perumahan di kawasan hijau atau tapak yang telah wujud sekian lama,” kata Cik Indranee.

Pemerintah turut berusaha mengehadkan dan mengurangkan sebarang kesan terhadap alam sekitar atau warisan berkenaan.

“Oleh itu, sedang kami melakukan lebih banyak pembangunan bagi memenuhi keperluan perumahan, kami akan melaksanakannya secara cermat dan bertanggungjawab, serta membuat keputusan demi kepentingan Singapura dan rakyatnya,” kata Cik Indranee.

Pada Julai, HDB menerbitkan laporan kajian alam sekitar bagi Gillman Barracks dan Sunset Way di Clementi, di mana sebahagian kawasan hutan dijangka dibangunkan bagi perumahan awam.

Menyusuli maklum balas orang ramai, Menteri Negara (Pembangunan Negara merangkap Ehwal Luar), Encik Alvin Tan, berkata lebih banyak kawasan hijau di Gillman Barracks dan Hutan Maju di Sunset Way akan dikekalkan, meskipun ini bermakna jumlah unit rumah yang dapat dibina di kawasan berkenaan akan berkurangan.