Topik diikuti
Pergi ke BHkuAlvin Tan: Lebih banyak kawasan hijau di Gillman Barracks, Hutan Maju akan dikekalkan
Ini susuli maklum balas orang ramai, namun jumlah rumah yang dapat dibina akan berkurang
Lebih banyak kawasan hijau di Gillman Barracks dan Hutan Maju akan dikekalkan menyusuli maklum balas orang ramai mengenai rancangan pembangunan dua kawasan itu.
Namun, ini bermakna jumlah rumah yang dapat dibina di kawasan berkenaan akan berkurangan, kata Menteri Negara (Pembangunan Negara merangkap Ehwal Luar), Encik Alvin Tan, kepada wartawan pada 14 Ogos.
“Dengan perubahan ini, lebih banyak kawasan hijau akan dikekalkan di kedua-dua kawasan berbanding rancangan asal.
“Jumlah tambahannya akan ditentukan, tetapi kita perlu menerima bahawa ini bermakna jumlah rumah yang dapat dibina di kedua-dua kawasan untuk rakyat Singapura adalah kurang sedikit,” katanya.
Pihak berkuasa akan terus mendapatkan pandangan rakyat Singapura dan berusaha menyelesaikan rancangan itu dalam tempoh sebulan, tambahnya.
Rancangan awal mengekalkan 40 peratus kawasan hijau di Gillman Barracks dan 35 peratus di Hutan Maju, katanya, sambil mengatakan rancangan itu dibangunkan bersama kumpulan pencinta alam.
“Rancangan semasa belum muktamad,” kata Encik Tan.
Encik Tan berkata kumpulan pencinta alam meminta koridor hijau tengah di Gillman Barracks diperluas bagi menghubungkannya dengan kawasan hijau lain, seperti Taman Bukit Telok Blangah, Kawasan Simpanan Alam Semula Jadi Labrador dan HortPark.
Bagi Hutan Maju, kumpulan itu meminta koridor hijau diperluas bagi mewujudkan kawasan tumbuhan yang lebih luas dan berterusan untuk haiwan mencari makanan.
Penduduk berhampiran dan orang ramai turut meminta lebih banyak kawasan hijau dikekalkan.
“Kita akan mengambil kira saranan ini dalam membuat penyesuaian,” kata Encik Tan.
Presiden Persatuan Alam Semula Jadi (NSS), Encik Leong Kwok Peng, berharap pihak berkuasa mengekalkan dua pertiga Hutan Maju, berbanding satu pertiga dalam rancangan semasa.
Katanya, anak sungai air tawar di utara hutan itu boleh digabungkan dengan bahagian selatan untuk mewujudkan hutan yang lebih luas.
Namun, langkah itu masih boleh menjejaskan biodiversiti, tambahnya.
Encik Leong berkata beliau terkejut dengan sambutan luas terhadap Hutan Maju.
“Agak menggembirakan melihat golongan belia dan Anggota Parlimen (AP) begitu giat mendekati penduduk mengenai perkara ini,” katanya.
Encik Tan sebelum ini memberitahu Parlimen bahawa rancangan bagi kawasan itu belum dimuktamadkan, tetapi perlu dibangunkan bagi memenuhi keperluan perumahan Singapura sepanjang dekad akan datang.
Seramai 19 AP mengemukakan soalan mengenai pelbagai isu, termasuk keseimbangan antara keperluan perumahan dengan pemeliharaan alam sekitar, keberkesanan maklum balas orang ramai dan ketelusan proses perancangan.
Warga Singapura, khususnya yang tinggal berhampiran kawasan terjejas, bimbang akan kehilangan kawasan yang dianggap penting bagi kejiranan mereka.
Ada yang merangka cadangan, menganjurkan dialog dan menghantar petisyen kepada AP supaya isu itu dibangkitkan di Parlimen.
