Jumlah penduduk Singapura yang tinggal di flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) telah meningkat, dengan keluarga terus membentuk majoriti.
Namun, saiz purata isi rumah terus menurun, yang menurut HDB disebabkan perubahan sosial seperti penuaan penduduk dan perubahan dalam pilihan hidup.
Bilangan warga Singapura dan Penduduk Tetap (PR) yang tinggal di flat HDB meningkat daripada 3.15 juta orang pada 2018 kepada 3.18 juta orang pada 2023, dengan flat HDB menjadi kediaman bagi hampir 80 peratus penduduk Singapura.
Walaupun isi rumah yang merangkumi keluarga kekal sebagai jenis isi rumah utama pada kadar 83.0 peratus pada 2023/24, angka ini merosot berbanding 86.6 peratus pada 2018.
Sementara itu, isi rumah dengan seorang penghuni meningkat daripada kira-kira 1 dalam 8 atau sebanyak 12.6 peratus pada 2018 kepada hampir 1 dalam 6 atau 15.6 peratus pada 2023/24.
Perangkaan tersebut didedahkan oleh HDB dalam Tinjauan Sampel Isi Rumah (SHS) 2023/2024 yang dikeluarkan pada 25 November.
Diadakan setiap lima tahun sejak 1968, tinjauan itu bertujuan mengumpul maklumat mengenai perumahan awam dan mengenal pasti keperluan dan jangkaan penduduk yang berubah, kata HDB dalam kenyataannya.
Seramai 7,000 isi rumah dan lebih 1,600 penghuni yang tinggal bersendirian di semua estet dan bandar HDB telah ditinjau antara Oktober 2023 dengan April 2024.
Penghuni yang tinggal bersendirian merujuk kepada golongan bujang warga Singapura yang menghuni flat HDB yang dijual atau flat HDB yang disewa, dan berusia 21 tahun hingga 54 tahun.
“Daripada kira-kira 1.1 juta isi rumah yang tinggal di flat HDB, kadar pemilikan rumah kekal tinggi, dengan lebih 9 dalam 10 memiliki rumah mereka sendiri,” kata HDB.
Tinjauan itu juga menunjukkan lebih banyak keluarga memilih untuk tinggal berhampiran antara satu sama lain.
Sebanyak 64.5 peratus daripada pasangan muda tinggal bersama atau berhampiran dengan ibu bapa mereka, meningkat daripada hampir 6 dalam 10 atau 57.4 peratus pasangan muda pada 2018.
Jarak berdekatan antara keluarga juga membolehkan keluarga muda lebih bergantung kepada ibu bapa mereka bagi sokongan fizikal dan emosi.
Dalam pada itu, Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat, berkongsi bahawa dasar HDB adalah untuk membantu mengeratkan hubungan keluarga.
“Hampir dua pertiga daripada penduduk lebih muda yang telah berkahwin kini tinggal bersama atau berdekatan ibu bapa mereka, meningkat daripada lebih separuh pada 2018.
“Ini menyokong penjagaan bagi kededua kumpulan. Datuk dan nenek boleh membantu menjaga cucu dan keluarga boleh menyokong ibu bapa dan datuk nenek mereka yang semakin tua,” ujar Encik Chee.
Lebih 8 dalam 10, atau 84.1 peratus penduduk muda yang sudah berumahtangga, dan tidak tinggal bersama ibu bapa mereka, mengunjungi satu sama lain sekurang-kurangnya sekali sebulan.
Sekitar 3 dalam 4 atau 75.1 peratus mengunjungi sekurang-kurangnya sekali seminggu, berbanding kurang daripada separuh, 45.9 peratus, yang menetap di kawasan berlainan.
Bagi penduduk lebih muda yang telah berkahwin dan menetap dengan ibu bapa, sebab utama adalah untuk menjaga ibu bapa, saling membantu dalam penjagaan, atau menerima bantuan menjaga anak.
Seramai 88 peratus warga emas atau hampir 9 dalam 10 puas hati dengan kawasan kediaman mereka berkaitan dengan anak mereka yang telah berkahwin.
Sementara itu, 86.1 peratus atau lebih daripada 8 dalam 10 penduduk lebih muda yang telah berkahwin berpuas hati dengan tempat tinggal mereka berkaitan dengan ibu bapa mereka.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg